Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Terngiang-ngiang gelaran 'si bodoh besar' oleh pemimpin DAP pada Maszlee

Sehingga hari ini, saya masih tidak boleh menerima Dr Maszlee Malik dengan gampang dan mudah sekali digelar sebagai "si bodoh besar" oleh Teng Chang Khim, salah seorang ADUN DAP di Oriental Daily, 17 Mei yang lalu.

Adilkah hanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan beliau, terus beliau digelar dengan sangat biadab sebegitu rupa?

Di mana etika dan tindakan demokratik yang sangat selalu diperjuangkan oleh parti yang kononnya memperjuangkan demokrasi ini?

Jangan lupa tentang kajian yang dilakukan oleh The Centre for Governance and Political Studies yang dilaporkan oleh beberapa portal seperti Malay Mail pada 2 Mac lalu yang mendedahkan kebenaran wujudnya diskriminasi alam pekerjaan kepada “kaum yang tidak bertutur dalam bahasa Mandarin”.

Saya ingin memetik apa kata penyelidiknya, Zaidel Baharuddin:

"Untuk menguji jika terdapat kecenderungan etnik, Cent-GPS menjadikan semua pemohon menyenaraikan Mandarin sebagai syarat pertengahan. Dengan cara ini, kajian ini dapat melihat sama ada majikan yang mencari prospek berbahasa Mandarin akan mempunyai pilihan berkualiti lain selain bahasa tersebut.”

Hasilnya, Zaidel berkata, adalah mengejutkan. Dari kesemua tujuh calon, pemohon Cina menerima kadar panggilan semula tertinggi dengan perempuan (Nicola) menduduki hampir 50 peratus, diikuti oleh pemohon lelaki (Gabriel) di atas 32 peratus.

Bagi yang ketiga tertinggi, pemohon Melayu wanita bernama Zulaikha, mempunyai kadar panggilan semula jauh lebih rendah sebanyak 13.2 peratus diikuti oleh Nur Sakinah pada 9 peratus.

Antara dua pemohon wanita Melayu, kadar panggilan semula bagi calon yang tidak memakai tudung, Zulaika, kira-kira tiga peratus lebih tinggi, menunjukkan bias majikan terhadap pemohon yang memakai hijab."

Semasa sesi townhall di USM tempoh hari, Dr Maszlee Malik bukan hanya menyebut berkaitan syarat berbahasa Mandarin sahaja, sebaliknya beliau menyebut juga tentang syarat tidak berhijab yang menjadi syarat untuk bekerja di sesebuah syarikat khususnya syarikat yang dimiliki oleh orang Cina.

Saya tahu, bermain isu race ini tidak membawa ke mana, tetapi agak-agaklah hanya kerana marah dan tidak boleh menerima keputusan kabinet yang mahu mengekalkan sistem kuota 90-10, sampai pejam mata terus terhadap realiti yang wujud dalam alam pekerjaan.

Ia memang berlaku dan saya sendiri merupakan salah satu mangsa yang 13 kali terpaksa berulang alik temuduga tetapi tidak ada satu pun yang dipanggil.

Apabila disemak, kerana saya tidak reti bertutur bahasa Mandarin walaupun jawatan tersebut ialah jawatan kerani sahaja dan produknya ialah produk kosmetik. Bukankah Melayu ialah pengguna tertinggi produk kosmetik?

Dan kenapa bahasa kebangsaan kita sentiasa tidak diutamakan sebagai bahasa syarat yang paling asas?

Apa yang disebutkan Dr Maszlee ialah kita tidak boleh melihat isu ini secara terpisah. Saya sangat setuju. Jika pihak di sana melihat diskriminasi dalam sistem kuota, kita pula melihat diskriminasi dalam alam pekerjaan. Isu yang sama juga iaitu diskriminasi kaum.

Dan apabila netizen membangkitkan kempen menghapuskan sekolah vernakular yang merupakan satu-satunya sekolah berasaskan bangsa, mereka melompat dengan pelbagai hujah dan argumen.

YB Dr Maszlee ialah sosok individu yang paling moderate dalam isu-isu bangsa sejak dahulu lagi tetapi sekarang hanya kerana tidak bersetuju dengan beliau yang mempertahankan hak keistimewaan bumiputera dan keputusan kabinet, beliau digelar "si bodoh besar" dan terus menjadi musuh nombor satu negara.

Saya kira, kebebasan bersuara di negara ini telah di-hijack oleh puak yang tidak reti adab bersuara dan tidak sedar diri mewakili parti pemerintah.

Dan kepada Dr Maszlee, setahun pencapaian telah membuktikan banyak perkara. Sistem pendidikan terus direformasikan dengan baik dan menyeluruh. Teruskan bekerja dan abaikan celaan dan makian dari mereka.

Akhir sekali, saya memohon semua yang menyokong Dr Maszlee kekal sebagai menteri pendidikan menandatangani petisyen ini.


NUR IZATI ialah seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS