Paling Popular
Terkini

Hari ini negara kita menghasilkan sampah sebanyak 47,218 tan sehari. Dengan purata kadar peningkatan 5.19% setahun, kita bakal menjadi tuan rumah sebuah negara yang menghasilkan beban sampah sejumlah 49,670 tan sehari menjelang tahun 2020.

Science Magazine (2015) mewartakan bahawa Malaysia menduduki tangga kelapan sebagai negara yang mempunyai perairan paling tercemar di dunia, di mana pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 1 tan sisa plastik mencemari perairan di Malaysia dan jumlah itu meningkat secara mendadak dari hari ke hari.

Menurut seorang ahli eco-industri, Roland Geyer, dunia telah menghasilkan sebanyak 8.3 bilion tan plastik sejak tahun 1950 hingga ke hari ini dan daripada jumlah itu, hanya 9% sahaja yang dikitar semula.

Pada tahun 2018 pula, hampir 14,000 botol plastik, 6,200 beg plastik dan 1,700 straw dipungut di pulau Tioman oleh para sukarelawan yang diketuai oleh Reef Check Malaysia.

Hal yang demikian ini membuktikan bahawa sistem pengurusan sampah dan kesedaran komuniti awam terhadap alam sekitar masih berada di tahap yang lemah.

Sisa sampah yang diurus tanpa piawaian akan mengakibatkan derita yang ditanggung oleh bumi beratus-ratus tahun lamanya.

Misalnya, tin aluminium memerlukan 80-200 tahun untuk dinyahkan sepenuhnya. Kertas, sampah yang paling mudah terurai pula memerlukan masa penguraian sekitar dua hingga enam minggu.

Namun begitu sesetengah sisa buangan tidak boleh terlupus sepenuhnya seperti sisa buangan plastik yang mengambil masa 10-100 tahun untuk menjadi mikroplastik, manakala botol plastik pula memerlukan 450 tahun sebelum berubah menjadi mikroplastik.

Perkakas Biodegradasi

Peralatan biodegradasi atau mudah difahami sebagai peralatan mudah urai merupakan sinar harapan buat bumi bertuah yang kita diami ini. Pinggan mangkuk biodegradasi dihasilkan menggunakan bahan organik sepenuhnya, seperti tepung jagung, kanji kentang dan hampas tebu (bagasse).

Penghasilan perkakas biodegradasi akan melalui beberapa proses utama seperti proses pengasingan, proses pelembapan dan pengeringan bentuk, pembasmian kuman ultraungu dan proses pengesanan bahan logam.

Selain pinggan mangkuk, produk biodegradasi yang lain termasuklah plastik sampah, sudu, garpu, sarung tangan, kertas palet, panel solar, dan lain-lain.

Tidak seperti peralatan plastik dan polistirena yang mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai, perkakas biodegradasi yang bersifat organik ini cuma memerlukan tempoh sebulan sahaja untuk terlupus.

Selain bersifat mesra alam, peralatan biodegradasi juga mempunyai kelebihan dari segi daya ketahanan. Peralatan ini boleh berada pada suhu 140 darjah Celsius selama 1 jam (dalam ketuhar biasa atau ketuhar gelombang mikro) dan pada darjah beku -5 Celsius selama lebih daripada 24 jam.

Pun begitu penggunaan peralatan biodegradasi belum cukup popular kerana kurang galakkan melalui kempen dan kosnya yang mahal berbanding peralatan plastik dan polistirena.

Perkara ini perlu diberi perhatian oleh syarikat pengeluar dan pihak bertanggungjawab untuk memudahkan masyarakat untuk ambil tahu dan memperolehi peralatan ini dengan harga murah.

Rumah terbuka Aidilfitri

Rumah terbuka Aidilfitri merupakan sebuah manifestasi terhadap cinta dan persaudaraan. Namun sayangnya, atas nama cinta dan persaudaraan inilah kita terus gasak menyeksa alam sekitar dengan melonggokkan bebanan sampah sarap berupa plastik, tin minuman dan polistirena.

Sikap ambil mudah ini akan menimbulkan bencana yang maha besar buat generasi akan datang.

Oleh yang demikian, sebagai ahli masyarakat yang menjunjung prinsip manusiawi dan cakna terhadap alam sekitar, kita perlu segera menukar kiblat pengamalan daripada masyarakat ambil mudah kepada masyarakat cermat.

Saya amat teruja apabila hadir ke rumah terbuka Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, ketika perayaan Aidilfitri lalu di kediaman rasmi beliau dan melihat sendiri bagaimanakah sampah dan sisa makanan diurus dengan cermat dan baik. Beliau juga menggunakan pinggan, mangkuk, sudu dan garpu biodegradasi yang dihasilkan daripada hampas tebu.

Berduyun-duyun tong sampah yang ditampal pelbagai label disusun rapi bersebelahan khemah bagi memudahkan pengunjung dan petugas membuang sampah mengikut kategori sisa.

Saya memuji sikap komited menteri terhadap kesedaran pengurusan sampah seperti ini dan sebagai menteri pendidikan, secara tidak langsung beliau telah mengambil tanggungjawab mendidik masyarakat mengurus sisa buangan dengan cermat dan sistematik.

Rumah terbuka yang dihadiri beribu-ribu tetamu itu membuktikan bahawa penggunaan peralatan biodegradasi dan pengurusan sampah secara sistematik mampu dilaksanakan dalam skala yang besar.

Maka itu, pada hari ini kita tidak mempunyai alasan untuk tidak bersama-sama menggembleng kudrat dan sedaya tenaga untuk menanam kesedaran ini ke relung hati rakyat Malaysia.

Semaikan dalam sanubari kita bahawa harapan dan kelestarian kehidupan hari ini dan generasi akan datang terletak di bahu kita semua.




TEAM HYGIENE DJKL merupakan unit urus sisa yang menguruskan sisa buangan dan komposisi ketika sesi DJKL pada hari Ahad setiap minggu di Jalan Panggong, Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS