Paling Popular
Terkini

Wan Ji Wan Hussin, 37, dijatuhkan hukuman penjara satu tahun di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai 2019, atas kesalahan menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor melalui laman Facebooknya pada 5 November 2012.

Kes ini diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018, dengan hukuman penjara 9 bulan.

Pihak pendakwaraya membuat rayuan untuk menambah hukuman, sementara peguam bela membuat rayuan terhadap sabitan salah dan hukuman.

Rayuan peguam bela ditolak, dan hukuman ditingkatkan kepada penjara satu tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam bela Wan Ji sedang memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara, juga rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Wan Ji menyertai Saudara (Pusat Penyelidikan Sosio-Budaya) sebagai Pengarah Akademik pada September 2018. Pengamatan kami mendapati masyarakat Malaysia semakin dirobek dengan isu politik identiti, terutamanya agama, etnik, bahasa dan budaya.

Menyedari perbezaan pandangan komuniti masing-masing semakin melebar, kami mengambil inisiatif untuk menjalin persefahaman dalam masyarakat yang berbilang latar belakang ini.

Meraikan perbezaan

Sesungguhnya perbezaan itu harus diraikan, namun tembok yang memisahkan kita harus diruntuhkan. Kami mengambil pendekatan untuk berdialog secara rasional, demi mencari perdamaian dalam perbezaan.

Banyak idea yang dilontarkan Wan Ji, tetapi sering dijawab dengan lontaran label. Wan Ji dilabel sebagai petualang, pengkhianat, malah 'ulama DAP' hanya kerana beliau pernah bertugas sebagai pegawai penerangan di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2017.

Tidak ramai yang menghargai sumbangan Wan Ji dalam mencetuskan idea-idea yang progresif, mewarnai jalur pemikiran agama di tanah air, dan yang paling penting, membina jambatan dalam masyarakat majmuk ini.

Dalam tempoh setahun kebelakangan, Wan Ji merangka kursus “Memahami Islam dan Muslim” untuk non-muslim, dan telah menjelajah ke Pantai Timur, Pulau Pinang untuk tujuan ini, selain memberi kuliah di Kuala Lumpur.

Kita sedia maklum, prejudis menebal kerana kejahilan dan salah faham, lebih-lebih lagi apabila pengalaman dalam realiti mengesahkan persepsi sebegitu.

Wan Ji tampil sebagai pensyarah yang sabar, jujur dan ikhlas ketika memberi penerangan kepada non-muslim berhubung Islam.

Pendekatan sedemikian lebih diyakini dan diterima oleh non-muslim yang mengikuti kursusnya. Kemusykilan dirungkaikan, dan ramai sebenarnya yang terkagum dengan keindahan agama Islam sebagaimana yang ditafsir oleh Wan Ji.

Malah Wan Ji membuka kolumnya di akhbar bahasa Cina tempatan, Oriental Daily, mengulas isu-isu agama yang timbul dari masa ke masa. Setiap pertikaian ada konteks sejarahnya.

Cetusan idea baru

Sememangnya, bukan semua pandangan dan idea yang dilontar Wan Ji itu diterima sepenuhnya, tetapi pandangan itu dianggap sebagai salah satu perspektif lain yang wajar diiktiraf.

Beliau cuba memberi gambaran kepada masyarakat non-muslim, tentang apa sebenarnya yang berlegar-legar dalam minda masyarakat muslim.

Mungkin usaha ini diperlekehkan sesetengah pihak, tanpa menyedari bahawa masyarakat kita sebenarnya sedang diasuh untuk menjadi lebih matang – menerima perbezaan pandangan tanpa perlu menggunakan kekerasan atau ugutan.

Saudara berbesar hati dan menghargai sumbangan Wan Ji dalam usaha tersebut. Kami sedar dan akur, bahawa manusia tidak sempurna, dan tidak adil jikalau kita terlebih menghukum seseorang insan atas kesilapan yang dilakukan.

Kami ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan, bahawa gaji bulanan Wan Ji sebagai Pengarah Akademik Saudara adalah komitmen kami, pada saat-saat yang genting buat Wan Ji dan keluarganya. Wan Ji tetap anggota Saudara yang tidak dipisahkan.

Sesungguhnya, masyarakat kita sedang mengalami peralihan ke arah sebuah negara yang lebih demokratik. Kami mengambil kira kegusaran sesetengah komuniti yang bimbang seandainya negara kita menjadi kacau-bilau jikalau diberi kebebasan yang melampau.

Namun, harus juga kita sedar, bahawa sejarah menyaksikan bagaimana tamadun manusia maju ke depan dengan cetusan idea-idea baru yang mempertikaikan status quo.

Mustahil idea baru dicetuskan seandainya kebebasan bersuara dikongkong dengan Akta Hasutan. Kita perlu belajar untuk bersikap terbuka kepada perbezaan, menyanggah hujah dengan hujah seandainya tidak bersetuju antara satu sama lain.

Idea yang tidak matang akan gugur dengan sendiri seandainya penguasa mempertahankan kehormatannya dengan integriti, dan berjiwa besar ketika berdepan dengan pertikaian.

Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Tiada insan bebas dan merdeka yang harus dipenjarakan kerana pandangan yang dilontarkannya.

Dengan ini, Saudara bersolidariti bersama Wan Ji, semoga beliau dan keluarganya kekal tabah untuk berdepan dengan ujian dan dugaan ini.

Saudara ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan aktivis yang berkumpul di luar Penjara Kajang untuk solidariti bersama Wan Ji, semalam. Bersama kita berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.


Tulisan ini dipetik dari kenyataan di Facebook Saudara.

Pandangan yang dilontarkan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS