Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Exco Felda United, pengurus pasukan PDRM, apa cerita Rara?

Beberapa minggu lepas saya dikhabarkan tentang pelantikan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang Young Syefura atau Rara yang dilantik sebagai salah seorang ahli exco lembaga pengarah kelab bola sepak Felda United.

Beliau juga difahamkan turut dilantik menjadi pengurus persatuan bola sepak PDRM.

Tindakan ini bagaimanapun tidak selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq ketika awal pelantikannya melarang mana-mana ahli politik untuk mempunyai jawatan dalam mana-mana persatuan sukan untuk mengelakkan daripada timbulnya konflik dalam isu pengagihan peruntukan untuk persatuan sukan tertentu.

Hal ini ada disebut ketika pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat penghujung Oktober lalu, dalam celahannya ketika menjawab soalan anggota parlimen Kangar.

Sebagai peminat sukan negara, sudah pastinya saya kecewa dengan pelantikan ini yang secara jelas berunsurkan politik.

Kita semua sedia maklum Young Syefura adalah ahli politik dan pelantikannya hanya menimbulkan conflict of interest dalam tugasnya sebagai wakil rakyat.

Tindakan Adun Ketari, Young Syefura menerima jawatan tersebut seolah-olah tidak menghormati cadangan yang dikemukakan oleh menteri yang komited untuk mereformasikan institusi sukan negara dalam memastikan sukan bebas daripada campur tangan ahli politik.

Sebelum ini sistem sukan negara kita telah banyak dirosakkan oleh tangan-tangan ‘hantu’ yang banyak membantutkan pembangunan sukan negara hasil lantikan politik dalam persatuan sukan-sukan tertentu.

Oleh itu, kita tidak mahu kerajaan hari ini mengulangi perbuatan yang sama dilakukan oleh pentadbiran kerajaan yang terdahulu.

Jika benar Young Syefura ingin membantu meningkatkan mutu sukan negara kita beliau harus memulakan dengan menggalakkan pelbagai kejohanan sukan di peringkat akar umbi menggunakan kedudukannya sebagai seorang wakil rakyat.

Beliau juga boleh membantu atlet kebangsaan yang memerlukan bantuan tanpa perlu masuk campur dalam persatuan bola sepak, yang nyatanya tidak memberi impak dalam agenda memperkasakan atlet wanita negara.

Apakah agenda pembaharuan yang sebenarnya ingin dibawa oleh Young Syefura jika benar beliau inginkan perubahan dalam landskap bola sepak wanita negara?

Apa idea Young Syefura?

Jika sekadar ingin menggunakan platform beliau sebagai ahli politik saya kira beliau wajar menolak pelantikan ini.

Saya masih belum mendengar apa-apa idea penambahbaikan daripada beliau malah beliau juga seperti tidak tahu akan kewujudan pasukan bola sepak wanita Felda United sebelum ini.

Felda United FC sebelum ini pernah diturunkan ke Liga Perdana ekoran kegagalan memperoleh lesen kelab yang ditetapkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia(FMLLP) sekitar tahun 2017 malah dimaklumkan kelab ini masih mempunyai isu tunggakan gaji pemain.

Beliau juga boleh memberi lontaran idea tentang nasib pemain futsal wanita negara yang pernah tersenarai dalam Lima Terbaik Asia sekitar tahun 2015, namun prestasi mereka merudum ekoran pertukaran jurulatih dan pihak pengurusan FAM yang sering mengabaikan nasib atlet wanita dalam sukan ini.

Malah saya difahamkan kebanyakan atlet bola sepak wanita negara juga bertukar arah daripada sukan bola sepak kepada futsal namun FAM masih juga mengabaikan pemain wanita negara dalam kedua-dua sukan ini.

Hal ini jelas menunjukkan ada faktor diskriminasi gender dalam sukan yang sering dikuasai kaum lelaki ini.

Saya kira seorang wakil rakyat seperti beliau yang mempunyai minat mendalam dalam bidang sukan harus menggunakan platform yang dimiliki untuk membuat desakan kepada pemegang taruh sukan memberi peluang dan ruang yang sama adil terhadap atlet lelaki dan wanita terutamanya dalam sukan bola sepak.

Saya menyambut baik hasrat beliau yang ingin menepis stigma masyarakat bahawa sukan bola sepak hanya dikuasai oleh lelaki.

Namun malangnya, beliau seolah-olah hilang punca kerana Malaysia sebenarnya sudah mempunyai pasukan bola sepak wanita sejak dahulu lagi namun FAM sering memfokuskan kepada pasukan lelaki sahaja.

Pasukan bola sepak wanita negara saya kira hanya memerlukan penekanan dari segi aspek kepelbagaian kejohanan dalam dan luar negara untuk atlet bola sepak wanita serta memperbanyakkan kelab-kelab tempatan untuk pemain bola sepak wanita.

Saya berpendapat Young Syefura perlu mendalami masalah akar umbi pengurusan bola sepak serta polisi sukan negara jika benar ingin serius membantu menteri belia dan sukan, Syed Saddiq dalam mengangkat martabat kaum wanita dalam sukan negara.

Sebagai contoh, beliau juga boleh mendokong aspirasi KBS yang mengangkat atlet wanita dalam Program Jelajah Le Tour de Femina.

Program ini bakal berlangsung pada September tahun ini di mana KBS giat untuk memperkasakan kaum wanita dalam sukan negara.

Pada pandangan saya, beliau hanya perlu mengambil inisiatif untuk menghasilkan program jangka panjang yang dapat mengangkat atlet-atlet wanita negara bukannya menerima pelantikan jawatan yang tidak memberi impak langsung dalam usahanya untuk membuang stigma masyarakat bahawa sesuatu sukan hanya dikuasai oleh atlet lelaki sahaja.

Saya percaya tanpa pelantikan beliau dalam kelab Felda United tersebut, beliau masih menyumbang dalam mengangkat suara atlet-atlet wanita negara khususnya pemain bola sepak wanita negara yang sering disisihkan selama ini.

Akhir kata saya bersetuju dengan ulasan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah yang menegaskan bahawa orang yang terlibat dalam persatuan sukan perlu membawa nilai tambah bukan sekadar untuk mencari populariti.


LENY AZMI, alumni Sekolah Demokrasi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS