Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
MB S'gor jangan sekat bantuan rakyat
Diterbitkan:  Jul 30, 2019 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Sidang DUN Selangor kali ke-14 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan memberikan kekesalan kepada rakyat Selangor.

Gerakan Tuntut Malaysia menzahirkan rasa kekecewaan rakyat yang mana telah menyedari bahawa mereka tidak lagi tersenarai sebagai penerima skim bantuan dari kerajaan Negeri Selangor seperti sebelum ini.

Lebih mengejutkan dan menjadi persoalan bila mana sidang DUN Selangor yang membahaskan tentang enakmen perbekalan tambahan yang mengusulkan untuk permohonan peruntukan tambahan dari Kerajaan Persekutuan sebanyak RM123 Juta ini sedangkan dalam belanjawan negeri 2019 telah diluluskan sebanyak RM2.56 bilion tahun lalu.

Untuk tujuan apa kerajaan Selangor perlukan peruntukan tambahan ini?

Kita rujuk kepada beberapa fakta yang dibahaskan oleh Ketua Pembangkang negeri Selangor YB Rizam Ismail merangkap Adun Sg Air Tawar, yang boleh dijadikan kesinambungan berhubung peruntukan tambahan ini tidak dilihat untuk digunakan bagi tujuan menampung kelangsungan terhadap skim bantuan untuk rakyat Selangor seperti:

Skim Mesra Usia Emas (SMUE)

Bantuan khairat kematian untuk rakyat Selangor berjumlah RM2500 yang telah ditamatkan dan digantikan dengan voucher shopping berjumlah RM100 setahun sebagai tanda menghargai warga emas.

Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

Bantuan berjumlah RM200 sebulan yang sebelum ini diberikan Kerajaan Selangor kepada lebih 40,000 orang penerima tetapi penerima bantuan ini berkurangan kepada 20,000 orang untuk tahun 2019.

Skim Peduli Sihat

Bantuan kesihatan RM500 setahun bagi sebuah keluarga yang memberi manfaat kepada 392,000 buah keluarga sebelum ini juga telah diterhadkan kepada 65,000 buah keluarga sahaja bagi tahun ini.

Air Percuma

Menjadi kejutan bila mana diketahui bahawa Kerajaan Selangor mempunyai tunggakan bayaran air percuma sebanyak RM40 Juta bagi tahun 2018 yang masih belum di selesaikan dan juga peruntukan air percuma ini sebanyak RM80 Juta bagi tahun 2019 juga telah habis digunakan walhal kita masih berada di pertengahan tahun 2019.

Oleh itu, Menteri Besar Selangor YAB Amirudin Shari telah membuktikan bahawa beliau gagal membawa arus kemajuan hasil negeri Selangor untuk rakyat terutamanya sehingga mengheret rakyat Selangor untuk rasakan keperitan dan kesusahan yang tidak berkesudahan.

Gerakan Tuntut Malaysia menuntut YAB Menteri Besar Selangor untuk kembalikan semula hak yang sebelum ini layak dan seharusnya diterima oleh rakyat.



A'ZLAN ABU BAKAR ialah Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS