Malaysiakini Surat

Tutup lorong tambah nilai Touch ‘n Go susahkan rakyat

Mohd Al Iman Zakaria

Diterbitkan

Yayasan Patriot Negara terpanggil untuk memberi kenyataan berkenaan isu cadangan pemansuhan lorong tambah nilai serta merta membabitkan Touch ‘n Go.

Apabila sesuatu pelaksanaan dibuat, pastinya ia akan memberi impak kepada rakyat khususnya yang melibatkan penyediaan perkhidmatan seperti sistem Touch ‘n Go. 

Pengumuman di laman sesawang Plus dan Touch ‘N Go juga tiada. Hebahan adalah terhad.

Jika dilihat, pemansuhan lorong tambah nilai ini telah menyusahkan rakyat yang sudah biasa berurusan di kaunter tambah nilai.

Yayasan Patriot Negara berpendapat, apabila sistem Touch ‘n Go eWallet diperkenalkan untuk penggantian kaunter tambah nilai secara menyeluruh, ia kurang praktikal, terdedah kepada kerosakan aplikasi, sistem tergendala (offline) malah tidak semua mempunyai telefon pintar mudah alih untuk menambah baki kad. 

Isu juga berbangkit tentang lorong RFID yang tidak meluas. YPN juga berpendapat , sistem “hybrid” ketika ini adalah lebih praktikal.

Penetapan had minimum tambah nilai sebanyak RM10 juga tidak sepatutnya diwujudkan kerana bukan semua pengguna berkemampuan dan hanya menambah nilai kad bila ada keperluan atas sebab bagi mengawal perbelanjaan dan ekonomi mereka. 

Hal ini hanya menguntungkan operator kerana baki yang tinggal didalam kad akan terbiar sekiranya tidak digunakan.

Bayangkan pula masalah yang akan berlaku di plaza tol seperti kesesakan lalu lintas kerana tidak cukup baki, kecemasan yang memerlukan laluan segera oleh pihak ambulans dan pihak berkuasa selain masalah-masalah lain yang tidak dijangka seperti kemalangan di plaza tol yang kerap berlaku ketika ini.

Justeru, Yayasan Patriot Negara menyarankan agar pihak yang berkenaan perlu menyediakan garis panduan dan hebahan yang lebih meluas sebelum pelaksanaan secara menyeluruh agar tidak menyusahkan dan membebankan rakyat khasnya pengguna utama Touch ‘N Go ini. 

YPN berharap agar pihak Kementerian Pengangkutan dapat melihat isu ini dengan serius dan mempertimbangkan semula pelaksanaannya buat sementara waktu.




MOHD AL IMAN ZAKARIA ialah ketua pegawai eksekutif Yayasan Patriot Negara Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.