Saya merupakan peniaga yang setiap tahun berniaga di Ekspo Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Di ekspo ini, ramai juga peniaga lain yang datang dari seluruh tanah air untuk berniaga dan mengikut pengalaman saya, lebih kurang 200 peniaga akan terlibat setiap kali ekspo konvokesyen tiba.

Setiap tahun ekspo ini diuruskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar. Selama ini pegurusannya berjalan dengan baik sekali. Namun apa yang tahun ini, amat menyakitkan hati kami dan menyebabkan ramai peniaga kerugian wang.

Majlis Perwakilan Pelajar yang menguruskan Ekspo Konvokesyen Ke 36 pada 23 Mac yang akan datang ini tidak serius dalam berurusan dengan para peniaga yang datang dari jauh.

Kami dimaklumkan oleh pihak mereka bahawa penjualan lot gerai akan dibuat pada hari Jumaat (24 Febuari), namun apabila kami semua sampai, kami dimaklumkan bahawa tarikh penjualan lot gerai ditangguhkan ke tarikh yang lain. Kami rasa cukup terkilan dan kecewa kerana dipermain- mainkan begitu.

Saya yang datang dari Melaka dan ada juga peniaga yang datang dari Kelantan terpaksa pulang hampa. Setelah itu, kami juga gagal untuk menghubungi pihak Majlis Perwakilan Pelajar UTM untuk urusan lanjut.

Kami mohon penjelasan tentang perkara ini sebaik dan secepat mungkin. Saya bimbang perkara yang merugikan masa dan wang para peniaga ini akan berulang lagi lain kali.