Malaysiakini Surat

Melaka dari pelbagai sumber dan kaca mata

Fahmi Mustaffa

Diterbitkan  |  Dikemaskini

George Orwell menulis, bahawasanya sesiapa yang mengawal masa lalu, akan mengawal masa hadapan. Dan sesiapa yang mengawal masa kini, pastilah ia mengawal masa lalu.

Pergelutan dalam mentafsir reka bentuk dan rupa bentuk sejarah tidak lain adalah sebuah pertempuran yang mengunjur kepada gerak kerja pendokumentasian salasilah, peristiwa, hubungan diplomatik, kekuasaan dan identiti kebangsaan.

Instrumen untuk mencapai pemahaman sebegitu dengan jelas tentulah ilmu sejarah, yang seadilnya dipertimbang melalui usaha-usaha pengkajian, penggalian, pemahaman dan menekuni perbandingan antara teks secara berterusan.

Menggagas caknaan sedemikian, organisasi penyelidikan Melaka in Fact buat julung kalinya menghimpunkan sarjana sejarah, sastera dan budaya dalam sebuah persidangan “Melaka in The Long 15th Century” pada 2 - 4 Ogos 2019.

Pengarah Melaka in Fact, Saidah Rastam menyatakan bahawa projek khusus ini bertujuan untuk mencari, menggali dan menyerlahkan lapisan-lapisan sejarah Melaka yang mewah dengan ilmu maklumat, agar kita mengetahui betapa sofistikated dan kompleksnya sebuah jaringan kota Melaka.

Segala macam kaedah pemahaman terpakai dalam persidangan ini, dengan mendokumentasi sumber oral sejarah, peta budaya yang berjaya digitalkan, pameran, dialog dan pelbagai aktiviti interpersonal dan menimbang tara kepelbagaian sumber yang menyokong rup a bentuk dan reka bentuk sebuah kota Melaka.

Melaka tidak harus dinilai tohor sekadar sebuah pohon yang disandar Parameswara. Kegemilangan kota Melaka pula, harus dicerna dan dicerakinkan kepada pembuktian yang meraikan kekayaan teks.

Dari hal yang demikian, persidangan Melaka in Fact melalui empat tema asas (sumber rujukan Melaka; mengenang Melaka dan warisannya; Melaka sebagai fabrik sosial dan Melaka dalam perdagangan) membawa pembentangan yang menarik dalam memperkukuh kefahaman kita akan sejarah Melaka.

Profesor Derek Heng dari Northern Arizona University dan Elke Papelitzky masing-masing membawa sumber dari teks negara China dari kurun ke 15 - 18, yakni bagaimana China merekod kajian kota Melaka dari segi politik, sains dan demografi.

Iklim ruang persidangan sudah tentu diraikan dengan kerencaman sumber sejarah dari negara China, Arab, Turki, Siam, Portugis dan pastinya, melalui sumber dari Asia Tenggara, termasuklah dari naskah Sulalatu’s-Salatin ataupun Sejarah Melayu dari Profesur Emeritus Dr Ahmat Adam.

Rupa Melaka

Siapakah yang mula-mula membuka kota Melaka? Bila, dan apakah rupanya sebuah tanah Melaka ketika itu? Bagaimana pula dengan rakyat-rakyat tempatan yang terlebih dahulu mendiami tanah ini?

Dengan cara apa Melaka yang menjadi terlalu-lalu mewah dan gemilang baik dari segala segi perdagangan, kepelbagaian kaum, pelaksanaan undang-undang dan hubungan diplomatik, akhirnya terlebih dahulu runtuh dari Majapahit?

Adakah Melaka sebuah kota metropolitan, begitu canggih dengan jujukan pelabuhan, kapal-kapal layar yang datang dan pergi saban hari, serta rakyat-rakyat berbaga-bagai jenis rupa, warna kulit, kepercayaan, peribadi, dan mereka pula berkahwin-kahwin campur semuanya?

Sisi hibrid Melaka jarang sekali diperdengung, melainkan tentang romantisme zaman kesultanan Melaka yang diketuai etnik Melayu, serta betapa strategiknya kedudukan Kota Melaka, penyambung Timur dan Barat.

Orientalis Winstedt dalam bukunya The Fall of Srivijaya in the Malay World menyatakan bahawa Melaka diasaskan pada 1400 oleh sekumpulan kelana beretnik Melayu yang berasal dari Sumatera.

Melalui Ming Shilu pada tahun 1405, ada dinyatakan bahawa ketika pelayar dari China mendarat di Melaka, penguasa Melaka ketika itu mengambil peluang untuk merapatkan jurang diplomasi dalam usaha mengekang serangan dari Siam dengan membuka Melaka untuk perdagangan, yang mana menguntungkan kedua-dua pihak melalui hubungan uftian ini.

China bergedung di Selat Melaka, Melaka terlindung dari Siam dan musuh lainnya. Dari sebuah kawasan tempat orang mengail ikan, seperti yang direkod Ma Huan (seorang dari empat peneman Cheng Ho yang ditugas berlayar singgah ke Melaka), hubungan diplomasi dan uftian inilah yang membuah jalan lebih luas untuk Melaka menjadi sebuah kosmopolitan perdangangan, seterusnya menjemput lebih banyak percambahan pelbagai budaya dan kehidupan berdiversiti.

Ketika menunggu angin selatan berkelakuan baik, kapal-kapal dagang China akan berlabuh di Melaka, maka dengan itu, bermusimlah pedagang dan orang-orang cina, dalam dekad terawal penubuhannya.

Ia tak terhenti di situ, jaringan perdagangan dan hubungan diplomasi Melaka juga rinci, dari hal ehwal pertahanan dan kekuasaan, sehinggalah kepada hal pengurusan sumber makanan, seperti yang dicatat oleh João de Barros pada tahun 1552 dalam Décadas da Ásia Primeira Década, bahawa tanah Melaka tidaklah begitu subur.

Tanah Jawa mengeksport bekalan beras (selain sagu yang merupakan makanan ruji ketika itu) sehingga kurun ke-19.

Fabrik sosial

Shawnakim Lowey-Ball dari Universiti Utah membentang perihal budaya multi budaya Melaka pada kurun ke-15, yang menjadi fabrik sosial dari orang Melayu, Cina, Jawa, Tamil, Luzon, Arab, Eropah dan lain-lain; kebanyakannnya masih mengamalkan adat berbudaya serta kepercayaan masing-masing.

Hal ini membawa kepada kejayaan Melaka sebagai sebuah kota dagangan dengan pelabuhan yang rancak dari serata dunia. Melaka pada kurun ke-15, adalah sebuah kota metropolitan, dan pada zaman kegemilanggannya, ia menampung paling tidak, 200,000 - 300,000 penduduk (saiznya lebih besar daripada beberapa kota terkenal Eropah pada ketika itu).

Apa itu etnik pada kurun ke-15 di Melaka? Menurut Shawnakim, perihal etnik adalah satu mekanisme yang bersangkutan dengan proses birokrasi dan geografi, yang setiap etnik ditempatkan di kawasan mereka dengan timbang tara yang fleksibel.

Shawnakim Lowey-Ball

Sesetengahnya, ditentukan dari segi penampilan apabila seseorang itu muncul di pintu kota Melaka.

Dengan kota tertua yang didiami oleh tiga majoriti utama iaitu dari etnik Melayu, Cina dan Jawa, sehinggalah pada pertengahan kurun ke-15, perihal etnik tidak langsung menjadi faktor utama seseorang itu berpeluang berkerja dan lain-lain.

Mereka malah bercinta, berkahwin dan kemudiannya beranak-pinak merentas label etnik.

Merenung Melaka bukanlah satu tugas yang mudah, tetapi ia tak pernah mustahil. Oleh sebab renungan adalah sebuah perjalanan berbanding proses mencapai destinasi, sebuah perjalanan itu harus tampil meraikan pelbagai sisi rupa bentuk dan reka bentuk sejarah Melaka.

Profesor Andrew Peacock dari Universiti St Andrews menggali teks-teks Arab, Parsi dan Turki, termasuklah dalam catatan puisi atau urjuza pelayar Arab, Ibn Majid bertajuk al-Mal’aqiyya, yang menggambarakan kota Melaka sebagai jalan serta pusat perdagangan.

Profesor Gakusho Nakajima dari Kyushu pula meninjau Melaka pada kurun ke-15 sehingga awal kurun ke-16, ketika Melaka muncul sebagai gergasi entrepot di Asia Tenggara.

Koleksi dokumen diplomatik Rekidai Hōan merakam 19 dokumen perhubungan antara Kerajaan Ryukyu dengan Kerajaan Kesultanan Melaka dari tahun 1463 -1511.

Meneliti teks Sejarah Melayu yang dibentang oleh Profesor Emeritus Ahmat Adam yang mengandungi keraguan kesahihan terjemahan lantas mengelaskan naskah itu lebih kepada pautan sastera berbanding data sejarah, sehinggalah jujukan pembentangan baik dari dalam dan luar rantau Asia Tengga, sekalung tahniah atas kerja keras Melaka in Fact dalam mengembeling data, maklumat, rekod-rekod dan statistik di bibir dan mata sarjana seluruh dunia.

Ia tugas mencabar (dan menyeronokkan) dalam usaha membina satu ilmu sejarah yang bersifat holistik tanpa pautan agenda, melainkan untuk membebaskan minda dari naratif yang tidak mendukung kepelbagain sumber sejarah.

Begitulah, seperti yang dikhabar Dr Burhanuddin al-Helmi, “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka.”


FAHMI MUSTAFFA adalah penulis, pelukis dan artis persembahaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.