Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Abdullah Bin Bayyah di Malaysia pada masa tepat

Berikut ialah kandungan syarahan ringkas Syeikh Abdullah bin Bayyah sebaik diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia kategori antarabangsa tahun ini:

“Islam adalah agama rahmat. Untuk memasuki syurga, seorang Muslim perlukan keimanan yang baik dan ia tidak sempurna tanpa sifat kasih sayang.

"Begitulah pentingnya rahmat. Bumi Malaysia mengenali rahmat sejak era Islam mula sampai ke tanah air ini. Setiap zaman ada cabaran khusus. Kewajiban berbeza-beza sepanjang zaman ini terhasil daripada realiti semasa yang terikat dengan kemaslahatan dan kemudaratan.

"Cabaran hari ini ialah menangani sikap melampau dalam kehidupan.

"Kewajiban masa kini ialah mempromosi keamanan, membina ketenangan dalaman dan membasmi terrorisme serta ekstremisme.

"Kita hari ini tiada pilihan melainkan hidup bersama di dunia ini bersama dengan kelompok lain yang bukan seagama dan dari kaum berbeza.”

Saya menulis semula sebahagian inti pati ucapannya dengan sedikit pengubahsuaian pada perkataan dan ayat untuk memudahkan maksudnya difahami dengan tepat.

Penyampaiannya sarat mesej perpaduan, kasih sayang, toleransi dan keamanan. Ia disampaikan hadapan hadirin dalam acara khas pada Ahad lalu, bersamaan 1 Muharam 1441, di Putrajaya.

Menurut buku rasmi yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), falsafah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah berdasarkan falsafah dan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, visi yang dibawa para pejuang negara, agenda reformasi berterusan dan idea-idea pembangunan yang progresif dan demokratik, sesuai dengan realiti zaman moden serta untuk mendepani cabaran mendatang.

Matlamat ini terangkum dalam maqasid syariah yang memandu program pembangunan negara yang akhirnya memberi rahmat dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia.

Syeikh Abdullah dilahirkan pada 1935 di bahagian timur Mauritania. Beliau seorang ulama antarabangsa yang masyhur di kalangan ulama Islam.

Selain itu beliau turut dikenali oleh ilmuan barat serta diiktiraf peranannya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mempromosi keamanan.

Membesar dalam keluarga yang mencintai ilmu, sejak kecil Syeikh Abdullah belajar ilmu agama daripada ayahnya sendiri, Syeikh Mahfuz bin Bayyah. Syeikh Mahfuz pernah mengetuai satu persidangan ulama Mauritania yang ditubuhkan selepas kemerdekaan negara itu pada 1960.

Setelah selesai mendalami ilmu agama, Syeikh Abdullah melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan serta menjalani latihan dalam mahkamah di Tunisia.

Pemilihan Syeikh Abdullah sebagai tokoh Maal Hijrah sangat relevan dan menepati realiti semasa Malaysia yang sedang mempromosikan konsep maqasid syariah dalam pentadbirannya.

Pada 24 Mac lalu, Jakim mengadakan majlis pelancaran program Rahmah peringkat kebangsaan dan penyampaian bantuan untuk sekolah pondok dan tahfiz Kedah di Alor Setar.

Konsep Rahmatan Lil Alamin yang dilancarkan pada hari tersebut adalah manifestasi gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diterapkan oleh kerajaan pada hari ini.

Pasti ramai yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya konsep Rahmatan Lil Alamin dan teori maqasid syariah. Kenapa digagaskan objektif negara Rahmah dan bagaimana ia dikaitkan pula dengan matlamat pemeliharaan lima asas kehidupan iaitu kewajiban memelihara nyawa, agama, harta, keturunan dan akal?

Sebahagian daripada persoalan itu telah dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusuf ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Konvensyen Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (Nunji) 2019 yang diadakan di Melaka bulan lalu.

Sebahagiannya pula telah diperjelaskan dengan baik dan teliti - barangkali secara kebetulan - oleh Syeikh Abdullah dalam ucapannya di Putrajaya tempoh hari.

Selebihnya anda boleh terus meneliti beberapa ucapan Mujahid mengenai konsep itu dan dialog bersama Jakim yang dibukukan.

Pada hari ini, kita menghadapi ujian daripada kumpulan pelampau kaum dan agama di seluruh pelusuk dunia. Tindakan melampau dan jenayah ekstrem tidak memiliki agama secara khusus.

Ia dikaitkan dengan Islam atau Kristian atau Hindu secara tidak langsung kerana itulah agama yang dianuti pelampau tersebut.

Tetapi ia pastinya bukan ajaran mana-mana agama dan dikritik oleh setiap agama di dunia ini.

Hadis yang dibacakan Syeikh Abdullah pada awal ucapannya jelas menggambarkan Islam sebagai agama yang mempromosi keamanan, baik di kalangan umat Islam mahupun melibatkan keseluruhan manusia sejagat.

Kehidupan tanpa aman dan harmoni hanya menatijahkan kerosakan akhlak, pertelingkahan dan akhirnya lemah dan leka sehingga sesuatu bangsa boleh runtuh.

Justeru usaha murni Syeikh Abdullah melalui Forum Mempromosi Keamanan disambut baik oleh umat Islam seluruh dunia yang memahami tuntutan agama berkaitan keamanan melalui teks agama dan penyelarasannya dengan realiti semasa.

Adalah sangat baik jika kita dapat membaca dan menekuni semula mutiara-mutiara ucapan beliau pada sambutan Maal Hijrah yang lalu, yang telahpun diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Berpengalaman sebagai menteri agama, menteri kehakiman, pemimpin parti politik dan memegang pelbagai jawatan penting di Mauritania dan di negara lain, Syeikh Abdullah seorang yang kaya ilmu, pengalaman dan hikmah.

Kupasan beliau terhadap teks agama amat relevan dengan realiti semasa dan pandangannya sentiasa segar. Beliau juga telah mendapat pengiktirafan melalui pelbagai anugerah oleh kerajaan negara Muslim dan Barat, termasuk institusi pendidikan dan kemasyarakatan.

Pemikirannya turut dapat dirasai lewat tulisannya seperti Terrorism: A Diagnosis and Solutions, The Discourse of Security in Islam and the Culture of Tolerance and Harmony dan A Dialogue from Afar: On human rights.

Pemilihan Syeikh Abdullah sangat tepat. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membawa tokoh hebat ini ke tanah air kita sebagai sebahagian daripada usaha menangani ekstremisme gaya Malaysia yang semakin berkembang sejak akhir-akhir ini.


OMAR MOHAMED ialah pembaca Malaysiakini dan pekerja dalam sektor industri kewangan Islam yang aktif menulis secara santai di media sosial.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 

Lihat Komen
ADS