Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hasrat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mengunakan khidmat Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bagi mengesan kegiatan pembuangan sisa toksik secara haram adalah satu tindakan yang wajar.

Kegiatan pembuangan sisa toksik semakin menjadi-jadi di Malaysia akibat kurangnya pemantauan. Cukuplah penyeksaan yang dialami oleh penduduk Sungai Gatom yang merana dengan kehadiran gas beracun amnonia sehingga menganggu urusan hidup harian mereka.

JAS kononya mempunyai sistem canggih iaitu Sistem Penjejakan Sisa Berjadual (E-Swiss) yang akan memastikan sisa-sisa toksik tiba di destinasi terakhir di Loji Pelupusannya di Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Nenas, Negeri Sembilan tetapi ia gagal berfungsi .

Rakyat Malaysia bosan dengan isu alam sekitar yang menyelubungi hidup mereka saban hari. Sudah banyak rencana telah ditulis, sudah banyak laporan khas di televisyen, rungutan dan aduan orang ramai tetapi tiada jaminan daripada pihak Kementerian, Jabatan Alam Sekitar, kerajaan negeri dan pihak berkuasa untuk mengotakan janji bertindak tegas.

Isu sungai kotor, pengondolan tanah bukit, sisa toksik dan macam-macam lagi telah menjadi berita panas dalam media massa. Rakyat sudah muak dengan JAS yang lemah dan gagal menjalankan peranannya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid diminta menangani kelemahan JAS ini. Cuba lihat apa yang dilaksanakan dan perancangan yang dibuat oleh JAS negeri sehingga mereka gagal berfungsi sepenuhnya .

JAS perlu diperkasakan agar tiada lagi pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk membuang sampah secara haram dan sisa toksik di merata tempat. Kini di warung-warung kopi orang ramai sudah pandai bercerita tentang alam sekitar yang dimusnahkan. Apa sudah episod kemerosotan alam sekitar di Malaysia?

Ini bergantung kepada kewibawaan Menteri yang terbabit samada beliau bersungguh-sungguh atau sekadar membuat kenyataan beramaran tegas di akhbar. Rakyat kini memantau isu alam sekitar dengan penuh minat kerana ingin melihat sejauh mana keupayaan pihak berkuasa menangani isu ini.

Kita mahukan menteri kita bersuara dan mempunyai kredibiliti sehingga pihak tertentu tidak berani mengambil kesempatan. Rakyat sudah nampak sedikit kesungguhan Datuk Seri Azmi Khalid turun padang dalam menangani isu alam sekitar terutamanya isu pelupusan sampah yang berhampiran dengan sungai. Namun begitu rakyat amat berharap kesungguhan tersebut berterusan kerana isu alam sekitar tidak boleh diremehkan.

Budaya pemuafakatan penting dalam mengenal pasti isu alam sekitar. Masyarakat dan media massa perlu bersatu dalam mengutaran isu alam sekitar bagi menyedarkan pihak tertentu agar membaiki sistem pengurusan yang sedia ada. Semua pihak harus bersuara agar tiada lagi tindakan a lemah dalam menguatkuasakan penyangak alam sekitar.

Azmi harus melihat aspek perundangan yang sudah lapuk kerana undang-undang yang sedia ada tidak pernah menakutkan pesalah alam sekitar. Tambahan pula, tiada tindakan diambil terhadap pesalah alam sekitar sehingga kini kerana kebanyakan kes-kes telah lenyap dan pihak yang bersalah dibiarkan bebas.

Rakyat mahukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bertaring agar pihak-pihak tertentu tidak berani lagi mencemarkan alam sekitar sesuka hati.

Begitu juga kerajaan negeri perlu memperkasakan alam sekitar masing-masing supaya kejadian pencrobohan Taman pertanian Bukit Cerakah di Selangor tidak berulang.

Rakyat akan bersuara lagi jika kerajaan negeri "tutup mata" apabila melihat hutan simpan dan tanah digondolkan. Rakyat ingin menikmati kualiti alam sekitar yang nyaman dan selesa kerana ia mempengaruhi kualiti hidup rakyat Malaysia.

Penulis adalah timbalan presiden Persatuan Pemuda Negara Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS