Malaysiakini Surat

Masanya untuk Hari Tanah Melayu pula?

Nik Jidan

Diterbitkan

Bagi saya kempen "Hari Tanah Melayu Bertanjak" ini baik juga tapi ia memfokuskan hanya pada pemakaian tanjak.

Ini mungkin permulaan kepada kempen yang lebih besar iaitu Hari Tanah Melayu. Hari Tanah Melayu ini lebih luas lingkarannya, bukan seluas lingkar saiz tanjak di kepala saja.

Ia dapat secara langsung membuka mata penghuni, pedagang dan musafir yang datang ke Tanah Melayu ini untuk mengenal bahasa, budaya serta adab Timur yang diwarisi oleh bangsa Melayu. 

Maksud saya bangsa yang lahir di tanah Melayu.

Nama jalan, nama sekolah, nama bandar, nama kampung, nama gedung-gedung perniagaan, nama penduduk yang tinggal atau lahir di semenanjung dan Sabah-Sarawak menjelang 2020 mestilah digalakkan memakai nama Melayu.

Nama-nama jalan misalnya, lebih elok kita tukar kepada nama Jalan Tun Mahathir atau Abdullah Badawi atau Jalan Siti Nurhaliza. Anak baru lahir digalakkan diberi nama Melayu.

Saya setuju dengan nama Pandikar Amin Mulia, ia gagah. Saya setuju juga dengan nama Seri Purnama, ia bersih. Kawan saya pula menamakan anaknya dengan nama Teguh Suri Fajar, ia unik.

Sekolah satu aliran adalah paling mustahak di laksanakan.

Ini untuk memulihkan semula persahabatan semua kaum sejak di bangku sekolah. 

Agar anak-anak kecil ini mendewasa bercampur bermain belajar bersama, tidak terpisah oleh ras bangsanya.

Kalau hanya Dong Zhong yang tidak setuju, perdana menteri harus berani mematahkan tengkuk seladang ini.

Maknanya haramkan pertubuhan ini kerana memecahbelahkan sistem persekolahan di Tanah Melayu. Jika ini dapat kita realisasikan sudah pastilah isu perseteruan dan perpecahan kaum di Tanah Melayu dapat dipulihkan secara beransur-ansur.

Agama dan bangsa

Agama dan bangsa itu berbeza. Ada Melayu yang agamanya Kristian, ada Cina dan India yang beragama Islam dan sebaliknya. Memilih agama dan kepercayaan itu adalah hak individu.

Agama dan kepercayaan tidak boleh dipaksakan ke atas seseorang. Manusia bebas memilih agama masing-masing. Ada yang memilih percaya tuhan tapi tidak beragama.

Ada yang tidak percaya tuhan dan tidak juga beragama. Ini hak peribadi masing-masing.

Paling melucukan, hanya di Tanah Melayu kaum feudal diberi tugas menjaga agama. 

Bahkan perompakan rasuah pembelitan dalam kalangan ini bermaharajalela.

Kita membaca dan mengetahui juga dalam kes skandal 1MDB. Umpamanya kita masih terlingkung dalam satu kapal dua nakhoda.

Keperibadian sikap jujur sosial sivik yang perlu dianjurkan pemerintah haruslah dilebarluaskan. 

Kedai-kedai makan yang menggunakan nama Melayu yang menjual makanan tidak halal mestilah dibezakan.

Ini supaya orang yang tidak makan makanan tidak halal dapat mengenal kedai itu menjual makanan tidak halal.

Selain itu, harus juga di pasang tanda restoran makanan tidak halal supaya tidak mengelirukan pelanggan.

Kesedaran ini hendaklah dipertingkatkan dari masa ke semasa.


NIK JIDAN ialah seorang penyanyi bebas dan pemuzik jalanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.