Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu ( MTEM ) menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Usaha ini lahir di tengah-tengah jurang pendapatan antara kaum di negara ini yang semakin melebar.

Pada tahun 1989 jurang pendapatan antara etnik Bumiputera berbanding Cina adalah RM497 sebulan. Pada tahun 2016, jurang tersebut meningkat kepada RM1,736 sebulan. Manakala Pada tahun 1989 jurang pendapatan antara etnik India berbanding Cina adalah RM286 sebulan.

Pada tahun 2016, jurang tersebut meningkat kepada RM1,154 sebulan. Disamping itu, anggaran jurang kekayaan terkumpul antara Bumiputera dengan kumpulan etnik lain sudah mencecah lebih RM1 trilion sejak 1989.

Dalam masa yang sama walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan Negara meningkat, namun kemakmuran dan kesaksamaan ini tidak dirasai oleh masyarakat yang menyeluruh.

Malah pemilikan ekuiti Bumiputera masih belum mencapai sasaran 30 peratus. Angka-angka yang diberi hanya beberapa contoh manifestasi kesenjangan ekonomi yang masih melebar luas antara kaum di Malaysia ini.

Justeru MTEM percaya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 mampu memastikan Bumiputera yang masih di belakang, diangkat dan dimartabatkan seiring dengan kumpulan etnik lain di bumi Malaysia ini.

Bagaimanapun usaha ini hanya mampu dicapai dengan pelaksanaan dasar yang disusuli dengan rangka tindakan yang memastikan pengagihan ekonomi yang lebih saksama.

Wawasan ini juga perlu diterjemah kepada pembangunan ekonomi, industri, pendidikan yang akan memajukan negara dan meningkattkan pendapatan semua rakyat khususnya Orang Melayu di bandar atau luar bandar, yang makan gaji atau pun pengusaha.

Bumiputera perlu diberi peluang menyeluruh untuk diberi insentif, pembangunan kapasiti serta bantuan strategik bagi menguasai penggunaan teknologi tinggi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Tumpuan perlu diberikan juga agar Bumiputera di beri peluang menguasai juga kepada sumber-sumber pertumbuhan baharu yang merangkumi ekonomi digital, industri aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan sokongan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Dalam masa yang sama kerajaan juga perlu menetapkan satu ukuran baharu bagi mengukur kejayaan ekonomi Bumiputera pada masa akan datang bagi membantu kerajaan merangka polisi bersesuaian dalam mengatasi jurang pendapatan antara kaum yang semakin melebar ketika ini.

Ia termasuklah nilai-tambah sebagai parameter utama, pendapatan isi rumah, gaji dan pekerjaan, pencapaian pendidikan dan pengagihan intra-kaum.

MTEM juga percaya bahawa agenda ekonomi Bumiputera akan diperhalusi dengan sasaran yang ditakrif jelas dan mampu dilaksanakan di dalam tempoh waktu yang realistik serta mempunyai impak yang mampan kepada ekonomi Malaysia.

Sasaran dalam bentuk kuantitatif dan kualitatif juga perlu dilakukan. Sebagai contoh mensasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar Bumiputera pada tahun 2030 mencapai 70 peratus daripada purata KDNK Malaysia, yang mana pada masa ini hanya sekitar 45 peratus.

Manakala sumbangan pampasan pekerja atau jumlah gaji & Upah kepada KDNK disasarkan 50 peratus pada tahun 2030, yang mana pada masa ini hanya 35 peratus sahaja.

Penekanan kepada Bumiputera yang diberikan bukan bermaksud untuk mengenepikan kaum-kaum lain, namun melihat kepada betapa terkebelakangnya golongan itu dari aspek pendapatan, kekayaan dan ekonomi.

Wawasan Kemakmuran Bersama ini, kita jangka akan menyeluruh dan mengutamakan keberhasilan dan mempunyai impak lebih besar dan lebih pantas. Kami yakin Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum, peningkatan pemilikan ekuiti dan saham Bumiputera.

Hal ini juga akan mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Ini kerana perpaduan masyarakat dan kestabilan politik hanya akan berlaku apabila keadilan ekonomi dirasakan oleh semua kaum.


AHMAD YAZID OTHMAN ialah ketua pegawai eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS