Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Menilai pendirian PAS melalui kempen BMF dan VMF

Sebelum ini ada kempen Buy Muslim-made First (BMF). Dengan adanya PRK Tanjung Piai, muncul pula Vote Muslim First (VMF). Kedua-dua kempen menyasarkan umat Islam.

Banyak ulasan terbit daripada netizen terhadap kedua-dua kempen itu.

Ada yang pro dan ada yang kontra. Demikian juga, pemimpin kerajaan dan pembangkang memberikan pendapat masing-masing, dengan 90 peratus bersifat negatif.

Ia adalah penolakan yang boleh dianggap untuk menjaga dan menyelamatkan status parti dan permainan politik.

Sementara PAS menyokong penuh BMF, kita akan lihat sama ada mereka juga bersedia menyokong VMF di Tanjung Piai ketika permuafakatan dengan UMNO - yang menyokong MCA sudah dimeterai.

VMF akan menjadi titik tolak untuk menilai sama ada sokongan mereka terhadap BMF benar-benar kerana Islam, atau sekadar mahu menari di pentas politik.

Jangan beri alasan kedua-dua kempen itu berbeza, kononnya satu melibatkan produk dan satu lagi manusia. Ianya tiada beza kerana kedua-duanya membabitkan atau menyasarkan umat Islam.

Kedua-dua kempen ada perkataan "Muslim". Produk bukan saja diertikan kepada barangan tetapi juga perkhidmatan. Dan manusia yang bertanding di Tanjung Piai itu juga akan memberi perkhidmatan.

Sehingga kini, terdapat tiga calon bakal bertanding pada PRK Tanjung Piai. Benarkah?

Pecahkan undi orang Islam

Kita belum pasti kerana penamaan calon belum dibuat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga belum mengumumkannya. Namun yang ditumpukan sekarang ialah kepada parti yang telah mengumumkan calon masing-masing iaitu PH, Gerakan dan BN.

PH meletakkan Karmaine Sardini, manakala Gerakan menamakan Wendy Subramaniam. MCA yang mewakili pembangkang pula menampilkan Wee Jeck Seng.

Daripada ketiga-tiga calon itu - jika berpandukan kepada VMF - siapakah yang Muslim? Kalau tahu jawabannya, masalah pun selesai!

Namun, selagi tiada pengumuman rasmi daripada SPR, kita belum dapat memastikan adakah pertandingan hanya terhad kepada tiga penjuru di Tanjung Piai.

Saya berpendapat akan berlaku pertandingan empat penjuru. Seorang lagi calon mungkin akan bertanding dengan strateginya untuk memecahkan undi umat Islam yang menjadi pengundi majoriti di Tanjung Piai. Sekali gus, itu akan memecahkan undi calon VMF yang ada sekarang iaitu Karmaine.

Namun, ini hanya sekadar andaian saja berdasarkan kepada perkembangan politik tanah air yang paling menarik perhatian sejak PRU14.

PH tidak akan meletakkan calon kedua untuk memecah undi Muslim kerana mereka mahu memastikan kemenangan dan mengekalkan kerusi berkenaan.

Saya juga tidak berkata BN atau PAS akan meletakkan calon proksi untuk memecahkan undi Muslim. Tetapi, jika tidak ada individu Islam lain yang bertanding di Tanjung Piai, ia akan menjadi beban buat PAS, sekali gus menerangkan apakah status sokongan mereka kepada kempen BMF.

Dengan kenyataan terbaru Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, bahawa PAS menyokong Wee ia menyebabkan strategi dan usaha tersirat VMF tergugat, kerana saya percaya pemimpin PH yang menjadi kerajaan tahu siapa di belakang kempen itu.

Sebab itu, saya tertanya-tanya (berdasarkan laporan media) kenapa PAS Johor bersiap sedia dengan calon standby?

Awalnya saya tertanya-tanya kenapa mesti ada BMF dan VMF. Jawapan mudah yang saya dapat setakat ini ialah, umat Islam masih tidak sedar kepada tanggungjawab, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat.


Razali Zakaria ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS