Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Beberapa pandangan dan surat pembaca yang yang mengkritik pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas pembatalan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor sebelah Malaysia memperlihat kegagalan memahami isu sebenar.

Terdapat tiga isu penting yang digunakan oleh 'spin doctor' (pembina imej) untuk menukar isu sebenar pembatalan jambatan ini, iaitu kebebasan akhbar, referendum, pasir dan ruang udara.

Pertamanya, kebebasan akhbar. Dengan mengungkit kononnya Dr Mahathir tidak layak mempertikaikan kebebasan akhbar kerana pada zaman beliau pun tidak wujud kebebasan media sebenar, sebahagian kita telah tersesat dalam perbincangan.

Kritikan Dr Mahathir ini dilakukan kerana media tertentu (TV3 terutamanya) memutar belitkan kenyataan awal beliau yang seolah-olah menampakan sokongan kepada keputusan kerajaan membatalkan projek tersebut.

Namun yang lebih penting, kebanyakan pengkritik Mahathir terlepas pandang isu utama dalam kebebasan akhbar ini. Mahathir tidak pernah mendakwa ia membawa satu kerajaan yang telus dan kebebasan media seperti kerajaan pimpinan YAB Pak Lah pada hari ini.

Oleh kerana pembina imej YAB Perdana Menteri hari ini menguar-uarkan Pak Lah sebagai seorang Perdana Menteri yang telus dan media yang lebih bebas, maka sewajarnya Dr Mahathir dan juga Mathias Chang mempersoalkan kebebasan media hari ini.

Jelas media hari ini tidak lebih baik pada zaman Dr Mahathir. Malah tiga tahun terawal pemerintahan Dr Mahathir, media lebih bebas berbanding zaman sekarang. Sehingga 1987, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mempunyai kolum khas di dalam The Star. Hari ini bekas Perdana Menteri bukan sahaja sukar mendapat tempat, malah dipotong-potong kenyataan beliau sehingga menimbulkan maksud yang berlainan.

Sesuai dengan dakwaan bahawa media hari ini bebas dan terbuka tentulah Dr Mahathir berhak mendapat layanan yang sama. Jadi mengapa perlu dipersoalkan kenyataan Mahathir mengenai layanan media terhadapnya sedangkan pembina imej kerajaan sendiri yang menguar-uarkan keterbukaan ini?

Isu kedua ialah 'isu referendum'. Memang benar zaman Mahathir juga tidak pernah diadakan referendum atau pungutan suara. Tapi ini bukan bermakna Mahathir salah sepenuhnya bila mencadangkan referendum.

Isu referendum ini timbul kerana kerajaan hari ini mendakwa pembatalan projek jambatan bengkok ini kerana kehendak rakyat.

Ini tentulah menimbulkan kekeliruan yang besar kerana beberapa minggu sebelum ini kita melihat pemimpin dan rakyat dari seluruh negara dan terutamanya Johor menyambut baik langkah kerajaan meneruskan pembinaan jambatan tersebut.

Tidak sampai dua bulan pun dari pengumuman meneruskan pembinaan jambatan tersebut, Perdana Menteri yang sama, kabinet yang sama, memutuskan untuk membatalkan pembinaan tersebut atas alasan kehendak rakyat.

Oleh kerana kerajaan populis hari ini mendakwa kehendak rakyat (bukannya kepentingan rakyat), maka usul mengadakan pungutan suara di Johor tentulah berasas walaupun mungkin tidak praktikal.

Pada zaman Mahathir dulu setiap projek besar yang dilaksanakan berasaskan pertimbangan ekonomi bukannya sentimen rakyat. Jadi tentulah tidak timbul isu pungutan suara ini.

Ketiganya ialah mengaitkan isu penolakan pemberian ruang udara Johor dan penjualan pasir kepada Singapura oleh Johor sebagai bukti penolakan pembinaan jambatan bengkok ini.

Isu ini berbeza sama sekali. Ramai yang tidak faham mengapa kerajaan harus menggunakan hujahan sebegini untuk membatalkan projek jambatan tersebut. Jika dibaca kenyataan kerajaan sejak tahun lalu, isu pasir dan ruang udara hanya timbul jika Malaysia mahu membina jambatan sepenuhnya.

Dengan kata lain, pembinaan jambatan bengkok tidak ada kena mengena dengan langsung dengan isu ruang udara dan pasir sekaligus tidak logik menggunakan persamaan serentak kononnya penolakan terhadap isu ini bermakna penolakan terhadap jambatan bengkok.

Memang benar terdapat sentimen sebahagian rakyat yang menolak projek mega atau projek besar. Mereka berhak atas pandangan ini. Namun jangan kerana kita gembira bahawa kerajaan membatalkan projek besar sehingga menenggelamkan isu penting di sini.

Isu yang penting ialah mengapakah kerajaan hari ini membuat keputusan yangberubah-rubah dalam masa yang singkat? Sekejap tangguh, sekejap teruskan dan kemudiannya batalkan terus. Ini mengelirukan dan memberi gambaran kerajaan tidak menjalankan kajian yang serius sebelum melaksanakan sesuatu projek.

Lebih menarik, apakah faktor sebenar maka jambatan bengkok tersebut dibatalkan?

Sungguhpun kerajaan berhak membatalkan pembinaan tersebut, namun percanggahan pandangan sesama anggota kabinet dan Perdana Menteri mengenai sebab pembatalan tersebut menimbulkan kekeliruan awam.

Dengan kata lain orang ramai yang meneliti isu politik tertanya-tanya adakah ini satu lagi bentuk tindakan kerajaan hari ini yang membuat keputusan terlebih dahulu sebelum mencari alasan.

Adakah kerajaan membatalkan pembinaan ini kerana ada orang tertentu yang gagal untuk menjadi kontraktor jual pasir kepada Singapura atau adakah pembatalan ini bertujuan menekan kerajaan Johor supaya bersetuju dengan penjualan pasir kepada Singapura pada masa akan datang?

Akhir sekali, saya berpendapat Dr Mahathir berhak sepenuhnya untuk mempersoalkan keputusan pembatalan ini kerana kerajaan hari ini seolah-olah menyalahkan kerajaan pimpinan Dr Mahathir kerana tidak melakukan kajian sebelum melaksanakannya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS