Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kami kesal dan mengambil perhatian serius berkenaan laporan berita perangai membuang sampah di kalangan rakyat dan orang luar di negara ini.

Berita yang menandakan sikap yang sangat tidak wajar di kalangan rakyat ialah apabila Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip sembilan tan sampah sarap dalam masa lapan jam, dibuang orang ramai di lokasi tumpuan di ibu kota ketika menyambut ambang tahun baru.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Mohd Zain Hassan, sampah dikutip di kawasan KLCC sebanyak empat tan, Bukit Bintang (2.5 tan) dan Dataran Merdeka (2.5 tan).

Selepas sedemikian banyak perbahasan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui pelbagai peraturan dan penguatkuasaan undang-undang, Malaysia masih jauh daripada mencapai tahap negara bersih yang diharapkan.

Negara terpaksa berbelanja jutaan ringgit hanya untuk melayan sikap buruk masyarakat yang tidak kisah membuang sampah tanpa peduli akan kesannya kepada kualiti kehidupan.

Di Kuala Lumpur sahaja kerajaan membelanjakan RM200,000 sebulan hanya untuk mengurus sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.

Soalnya apakah dalam abad serba maju ini, Malaysia akan menuju kepada status negara sampah?

Rakyat Malaysia masih lembab melihat isu sampah sebagai perkara yang sangat serius.

Dalam hal memisahkan sampah untuk kitar semula pun rakyat masih tidak peduli. Kadar kitar semula Malaysia masih rendah iaitu 28 peratus sahaja. Pada 2020 dikatakan akan diusahakan agar kadar tersebut meningkat kepada 30 peratus.

Pada masa sama tahun lalu purata seorang rakyat Malaysia menghasilkan 1.17kg sampah setiap hari berbanding 0.8kg pada 2005.

Menurut agensi pengurusan sampah SWCorp, pada 2018 rakyat Malaysia menghasilkan 38.142 tan sampah sehari, berbanding 19 tan sehari pada 2005.

Menurut laporan itu, 44.5 peratus adalah sisa makanan, sisa plastik (13.2 peratus) dan lampin pakai buang (12.1 peratus). Kini sampah plastik meningkat kepada 20 peratus.

Kami mengesa perubahan sikap, selain program plastik untuk mengubah sikap kisah terhadap isu sampah.

Sudah 63 tahun merdeka. Jika sikap membuang sampah merata-mata masih tidak boleh diatasi di kalangan rakyat, erti kemerdekaan tidak membawa makna seperti yang diharapkan.

Semua pihak perlu mengembleng tenaga untuk menjadikan agenda membangunkan "Malaysia negara bersih" sebagai satu kenyataan.


Mohd Azmi Abdul Hamid ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS