Paling Popular
Terkini

Pendidikan adalah elemen terpenting dalam pembinaan identiti sesebuah negara. Jika perpaduan adalah kunci kepada keamanan dan keharmonian sesebuah negara, maka pendidikan harus menjadi wahana untuk mencapai objektif tersebut. Apatahlagi untuk negara yang berbilang bangsa.

Malaysia secara umumnya memiliki tiga komposisi kaum yang utama; bangsa Melayu, kaum Cina dan kaum India. Untuk mencapai perpaduan, elemen terpenting iaitu pendidikan harus disatukan dan diselarikan, tidak perlu ada perbezaan.

Perkara paling asas, adalah menyatukan bahasa untuk semua. Sebab itu antara matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama selari seperti apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.

Dasar sudah cantik, namun pelaksanaannya tempang. Pelaksanaan dasar ini sememangnya memerlukan keberanian dan kejujuran, selain semangat patriotisme dan taat setia yang tinggi terhadap negara.

Sudah tiba masanya untuk kita bertanya kembali di atas semangat taat setia pada tanah air tercinta ini, sampai bila kita harus memisah-misahkan anak-anak kita di bawah bumbung-bumbung yang berbeza, di sebalik dinding-dinding yang terpisah?

Sedarkah kita sedang kita mengharap Malaysia yang lebih harmoni, dalam masa yang sama, kita sedang mengajar generasi masa hadapan sejak umur mereka 7 tahun untuk belajar dan bermain di kelas dan padang yang berbeza-beza.

Wahai Abu, Ah Chong & Ravi, mengapa kita tidak boleh bersetuju untuk kita satukan anak-anak kita di bawah bumbung yang sama? Berkongsi dinding yang rapat bersatu? Bermain di padang yang sama?

Wahai Siti, Yin Yen & Rani, boleh kan jika kita letakkan anak-anak di sekolah yang sama? Siti dan Rani boleh belajar Mandarin dalam kelas Mandarin dan Yin Yen juga boleh belajar Tamil.

PIBG akan lebih diperkasa. Tan Sri Chong boleh bantu beri komputer yang kurang di sekolah, Datuk Samy boleh beri peruntukan untuk cat bangunan dan Pak Cik Talib boleh bantu beri wang untuk jamuan makan.

Saya hanya bebelkan beberapa situasi contoh yang berlaku dalam sekolah idaman buat generasi masa hadapan. Saya hanya bermimpikan sebuah negara tanpa ada pemisahan dalam sistem pendidikannya. Sama seperti negara jiran kita Singapura, Indonesia, Thailand, dan juga seluruh negara lain yang hanya punya satu sistem pendidikan, untuk semua.


HAZWAN MOHAMAD merupakan ketua penerangan Berjasa Pusat.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS