Saya merujuk kepada berita bertajuk Menteri PN akan jadi bahan ketawa kalau... yang telah tersiar di Malaysiakini pada 17 April 2020.
Berita tersebut adalah berdasarkan kenyataan akhbar saya bertajuk "Peringatan untuk kerajaan Perikatan Nasional: Jangan pijak periuk api" yang dikeluarkan semalam.
Di sini saya ingin membuat beberapa pembetulan kepada berita tersebut yang saya anggap tidak begitu tepat:
1. Saya tidak pernah berkata Menteri PN akan menjadi bahan lawak.
Saya hanya menyatakan jika "Menteri-Menteri menjadi bahan lawak ketawa (seperti di zaman PH)" maka "rakyat tidak akan berdiam diri".
2. Berita itu juga memberi gambaran seolah-olah kenyataan saya memberi tumpuan utama kepada isu perlantikan di dalam agensi kerajaan dan GLC.
Walau bagaimanapun isu tersebut adalah hanya sebahagian dari kenyataan saya.
Saya hanya menyebut jika "pelantikan jawatan-jawatan di dalam kerajaan dan agensi kerajaan di atas pertimbangan politik semata-mata" maka "sudah tentu rakyat tidak akan berdiam diri".
Kenyataan saya adalah teguran umum untuk Kerajaan PN yang menyentuh juga perkara-perkara lain.
Selepas membaca berita itu saya teringat cerita tentang orang buta dan gajah. Salah seorang buta telah memegang ekor gajah dan membuat kesimpulan gajah itu seperti seekor ular. Begitulah Malaysiakini yang hanya memetik sebahagian dari kenyataan akhbar saya.
Bagaimanapun saya tidak bimbang dengan kekeliruan yang timbul akibat berita yang disiarkan kerana orang ramai telah sedia maklum akan kecenderungan Malaysiakini.
Saya telah mendapat maklum balas dari orang ramai tentang kenyataan saya, justeru itu mengucapkan terima kasih kepada Malaysiakini kerana telah memberikan publisiti kepadanya. Kontroversi kecil yang dicetuskan telah berjaya menarik minat umum.
ISKANDAR ABDUL SAMAD adalah ketua pengarah Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach).
Isi kandungan surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
