Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Surat
Jumpa Najib di luar negara lebih senang dari dalam negara

Pada 2 April 2020, saya menulis betapa pentingnya Anwar Ibrahim menulis kisah hidupnya semasa melalui proses penjara. Oleh kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berterusan, untuk berlaku adil, saya juga ingin menulis sisi Najib Razak pula dengan tujuan supaya kita boleh melihat daripada pelbagai sudut.

Semasa Najib dilantik sebagai perdana menteri pada hari pertama (2009), saya dan ramai lagi kakitangan awam meraikannya di halaman Jabatan Perdana Menteri, sambil mengucapkan salam perpisahan kepada Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi). Saya juga menjadi pegawai kerajaan pertama muncul di Bernama TV (2009) untuk mempromosikan slogan 1Malaysia yang baharu dua minggu dilancarkan.

Sebagai pegawai kerajaan, menjadi tanggungjawab utama untuk memastikan dasar-dasar kerajaan semasa dapat diimplementasikan dengan bersungguh-sungguh.

Semasa Pakatan Harapan memerintah, saya juga turut menulis mengenai konsep Malaysia Baharu di NST.

Serupa juga slogan 1Malaysia, saya turut menyampaikan ceramah mengenai Malaysia Baharu. Saya pernah tersentak apabila disoal oleh seorang pengetua sekolah bahawa Malaysia Baharu itu adalah ancaman kepada keselamatan negara!

Berbalik kepada sisi Najib, saya melihat beliau seorang yang sederhana. Semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri, saya dan rombongan dari Sabah melawat rumah beliau di Pekan (2008). Saya agak terkejut kerana rumah kayu Najib amat sederhana, tidak nampak kemewahan dalam dan luar rumah. Malahan, saya boleh melihat reputan kayu ketika solat Zohor di ruang solat.

Saya masih ingat sekitar 2009, saya naik ke tingkat 12, Kementerian Kewangan untuk membawa satu permohonan rakyat Sabah. Walaupun surat itu telah diminitkan oleh Najib sebagai perdana menteri, saya akhirnya mendapat tahu Kementerian Kewangan menolak cadangan tersebut.

Di sini menunjukkan bahawa pegawai-pegawai tadbir yang telah dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) khususnya pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) adalah berintegriti, amanah dan tidak tergugat untuk mempertahankan integriti mereka.

Pada tahun 2013, saya menulis surat untuk berjumpa Najib bagi menyampaikan beberapa perkara penting termasuk menyampaikan amanah pemimpin-pemimpin dari luar negara. Namun begitu, ia ditukar di saat akhir dan hanya setpol (setiausaha politik) datang bertemu saya di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu, setpol Najib menyatakan kepada saya ramai orang di sekeliling Najib tidak bercakap benar di hadapan Najib dan menggunakan hasil kerja saya untuk bermuka-muka kepada Najib kononnya itu kerja mereka, arahan mereka dan sebagainya.

Saya tidak berputus asa, pada tahun 2015, semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), saya menyewa sebuah kereta di Universiti Pennsylvania (Upenn) menuju ke New York untuk bertemu Najib. Akhirnya kami dapat bercakap dalam setengah jam, saya berjaya menyampaikan amanah dan salam pemimpin luar negara walaupun cuba dihalang oleh pegawai dan pengawal Najib ketika itu.

Sebaliknya duta besar Malaysia di Amerika Syarikat, Dr Awang Adek memberi sokongan kepada saya dan sempat mengusik saya, "Wah, lama bercerita dengan PM.”

Dalam perbualan kami, Najib dapat mengingati saya apabila saya menceritakan hal-hal yang berkaitan. Dari riak wajah, Najib kelihatan gembira mendengar cerita saya. Beliau berpesan jika balik ke Malaysia datang berjumpa di pejabat. Namun begitu, seperti biasa halangan di peringkat pegawai akan berlaku.

Satu perkara yang saya hendak selitkan di sini, anak perempuan Najib belajar di Universiti Pennyslavania ketika itu. Saya pernah melihat anak Najib dan suaminya melintas dewan kuliah dan menaiki bas atau teksi sahaja. Malah dalam bilik kuliah, anak Najib merendah diri dengan berusaha tidak menonjolkan diri sebagai anak perdana menteri Malaysia. Seorang pelajar postdoc dari UKM sempat menegurnya dan turut memberi komen, anak Najib sangat sederhana.

Beza anak Najib dengan saya ialah mereka anak bangsawan sejak sekian lama, maka tidak menghairankan boleh belajar di Upenn dan Harvard Universiti Boston. Sebenarnya, kami juga mendapat tawaran di Universiti Havard, tetapi kami hanya mampu bertahan seminggu sahaja kerana kos hidup di Boston terlalu tinggi, kami tidak mampu dan terpaksa kembali semula ke Upenn.

Eksklusif bersama Tun

Berbeza dengan Dr Mahathir Mohamad, selepas saya menulis sepucuk surat kepada Tun M, dalam tujuh hari sahaja Tun M sendiri membalas surat saya dan bersetuju untuk bertemu saya di tingkat 88, bangunan Petronas (2012). Serupa dengan pertemuan saya dengan Najib di New York (2015), bertemu Tun M pun bukan tujuan meminta projek, saya hanya melontarkan idea bagaimana mengukuhkan negara.

Saya telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting negara di Putrajaya. Saya melihat negara dan rakyat sedang melalui fasa baharu yakni proses kematangan berpolitik dan bernegara.

Najib, walaupun tidak lagi menjawat jawatan perdana menteri, tetapi pengalaman mentadbir negara yang beliau tulis ketika menjawab isu-isu negara di FB menampakkan tahap beliau yang sangat jauh berbeza dengan orang lain.

Ramai yang tidak tahu bahawa Najib seorang yang sangat prihatin. Satu contoh paling mudah, pada tahun 2017, saya bertemu dengan orang kanan Anwar di rumahnya, kami bersembang bagaimana Najib boleh membantu Anwar di penjara Sungai Buloh. Beliau meminta saya menyampaikan kepada Najib supaya membantu Anwar. Ketika itu, katanya Anwar tidak berapa sihat seperti sakit belakang dan memerlukan tempat tidur yang sesuai.

Dipendekkan cerita, kata orang kanan Anwar itu, dengan hanya satu panggilan telefon sahaja Najib telah membantu Anwar dengan mengarahkan kepada pihak berkenaan supaya Anwar diberi keselesaan yang sepatutnya di dalam penjara.

Mungkin pembaca akan bertanya kenapa saya tidak menulis hal 1MDB dan SRC. Jawapan saya mudah, saya tidak terlibat dan tidak tahu kisah di sebalik kedua-dua isu itu. Itu kerja ahli ekonomi, kerja saya membina negara, cinta kepada negara.

Semasa saya bertugas di Dubai dan UAE, ramai yang bertanya apakah isu Al-Abrar yang mempunyai kaitan dengan Bangunan Burj Khalifa itu (sambil dia menunjuk bangunan tertinggi itu kepada saya) sudah selesai? Saya kata “no comments”, saya datang ke Dubai untuk mengukuhkan jati diri, menguatkan semangat patriotik dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan semasa kepada rakyat Malaysia di Dubai.

Serupa juga apabila saya bermastautin sekejap di Amerika Syarikat (2015-2016), ada pertanyaan tentang 1MDB dan bank Wells Fargo. Jawapan saya serupa, saya datang ke Amerika Syarikat untuk belajar.

Pada awal 2017, saya bertemu dengan kedua-dua imam Masjid Madinah untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai perpaduan, patriotisme dan keamanan negara. Serupa juga di mana-mana saya pergi, rakyat Malaysia ada yang bertanya derma kerabat diraja Arab Saudi dan 1MDB. Sekali lagi saya menjauhkan diri dari kedua-dua isu itu kerana saya tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya.

Putrajaya

"Duduk dalam rumah"


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI ialah penganalisis politik kerajaan juga merupakan penceramah dasar-dasar kerajaan dalam bidang kenegaraan, keselamatan dan patriotik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS