Saya masih ingat lagi perasaan yang dialami semasa mendapat keputusan UPU (Unit Pengurusan Universiti) lima tahun yang lalu. Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana mendapat kursus dan universiti pilihan pertama.
Namun demikian, saya juga berasa sedih kerana beberapa rakan saya kurang bernasib baik, walaupun saya berani mengatakan kebolehan dan ketekunan kami adalah sama darjahnya.
Mereka ditawarkan kursus yang tidak dipohon, akhirnya seorang terpaksa ke luar negeri untuk melanjutkan kursus perubatan kerana tidak diterima di negara sendiri. Setelah setahun di fakulti perubatan, saya mendapati bahawa rakan-rakan saya yang diketepikan oleh UPU jauh lebih layak dan lebih bersungguh-sungguh daripada sebilangan pelajar perubatan di fakulti saya.
Rasanya amat kurang puas hati dan saya berasa 'marah' bagi pihak rakan-rakan yang diketepikan. Saya rasa seolah-olah mereka teraniaya oleh UPU. Itu lima tahun yang lalu. Dua tahun yang lalu, ingatkah lagi semua tentang isu 128 pelajar STPM yang tidak dapat kursus perubatan walaupun mereka layak?
Pada hari ini, keputusan UPU untuk kemasukan sesi akademik baru tahun ini telah diumumkan. Walaupun media arus perdana tidak banyak menyiarkan kes-kes tidak adil lagi menyedihkan mengenai ketidakwajaran sesetengah keputusan UPU ke atas pemohon-pemohon yang diketepikan, saya mendapat tahu bahawa seorang pelajar STPM yang berjaya mendapat 1A 3B (suatu keputusan yang bagus dan patut dibanggakan) tidak ditawarkan sebarang kursus di mana-mana universiti tempatan!
Ini boleh diibaratkan sebagai satu tragedi. Ini adalah suatu perkara yang tidak patut berlaku. Walaupun, pelajar ini akan mendapat tempat setelah membuat rayuan, dia sepatutnya tidak perlu membuat sebarang rayuan kerana keputusan STPMnya cukup baik..
Kursus pra-universiti tingkatan enam yang menawarkan kelayakan STPM sebenarnya merupakan suatu kursus yang cukup baik dan berkualiti. Kelayakan ini turut diiktiraf oleh universiti luar negeri termasuklah di Singapura, Australia dan United Kingdom. Saya amat menghargai ilmu dan pengalaman yang ditimba semasa berada di tingkatan enam.
Bukan itu sahaja, kursus STPM ini bukan mudah dan untuk mendapat keputusan yang baik, seorang pelajar perlu tekun belajar dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa!
Saya selalu memberitahu kawan-kawan saya adakalanya saya berasa untuk berjaya dalam peperiksaan STPM adalah lebih sukar daripada peperiksaan professional MBBS pertama dan kedua.
Namun demikian, pihak UPU seolah-olah semakin mengenepikan pelajar-pelajar STPM. Dengan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke kolej matrikulasi yang jelas lebih mudah daripada STPM, pelajar-pelajar STPM semakin sukar untuk berjaya mendapat tempat dalam kursus-kursus yang kompetitif seperti perubatan, pergigian dan undang-undang.
Mungkin sebab ini juga, ada pelajar STPM yang mendapat 1A 3B yang tidak berjaya masuk universiti!
Tujuan surat ini bukan untuk mengutuk mana-mana pihak kerana sudah bertahun-tahun rasa kurang puas hati, kemarahan dan tuduhan ketidakadilan telah dilemparkan ke atas pihak UPU. Artikel ini ditulis untuk sekali lagi mengutarakan masalah pelajar-pelajar tidak dapat masuk universiti ataupun kursus yang dikehendaki bukan kerana tidak layak tetapi kerana masalah pengurusan UPU yang kurang sempurna dan juga kerana sistem dwi-kelayakan melalui matrikulasi dan STPM yang akan menjanakan banyak ketidakseimbangan.
Artikel ini juga tidak bertujuan untuk memutikkan isu perkauman ataupun menyoal isu meritokrasi, tetapi penulis ini ingin merayu kepada pihak UPU supaya jangan terbawa-bawa oleh sikap berat sebelah sehingga lalai melaksanakan tanggungjawab sebagai badan yang menguruskan kemasukan mahasiswa-mahasiswi baru ke menara gading kita.
Pendidikan, seperti pertahanan negara dan kesihatan negara, adalah amat penting buat semua rakyat Malaysia.
Tidak wajar bagi sesiapa yang tidak dapat ke universiti kerana kesilapan teknikal, ataupun dasar-dasar yang tidak adil, dan kerana ketidakseimbangan sistem dwi-kelayakan ini. Pada saya, amat sedih sekiranya seorang pelajar tingkatan enam bertungkus-lumus untuk mendapat keputusan baik dalam STPM tetapi tidak mendapat kursus yang diidamkan sedangkan rakannya yang kurang sedikit pencapaiannya berjaya kerana melalui matrikulasi dia lebih mudah mendapat CGPA 4.0.
Pihak UPU juga akan membawa kembali sistem penilaian 90+10 yang mengutamakan pencapaian ko-kurikulum. Ini adalah suatu keputusan yang baik tetapi UPU perlu memastikan penilain 10 peratus adalah saksama, wajar dan tidak memberi peluang kepada penyelewengan.
Pendek kata, penilaian perlu diperlihat ketelusan. Sebenarnya, UPU sepatutnya berusaha ke arah ketelusan dalam cara mereka mengagihkan tempat-tempat di universiti. Ini akan memuaskan hati semua pemohon termasuklah yang tidak layak.
Jikalau betul ada dasar berat-sebelah, biarlah ia menjadi dasar yang rasmi dan bukan berpura- pura di sebalik tirai dasar meritokrasi yang palsu!
UPU juga berusaha kerana sistem satu jenis kelayakan. Oleh kerana STPM merupakan kelayakan yang diiktiraf oleh universiti-universiti di seluruh dunia, memang wajar sekiranya UPU bersama dengan tenaga pengajar dan pihak universiti untuk merangka suatu pelan jangka masa untuk menyatukan kursus pra-universiti di negara ini.
Pendek kata, STPM patut dijadikan satu-satunya kelayakan pra-universiti di negara ini, dengan pemansuhan sistem kelayakan lain yang lebih mudah supaya boleh mengelakkan apa-apa ketidakseimbangan.
Pihak UPU juga perlu sedia membantu semua pemohon yang tidak berjaya semasa mereka membuat rayuan. Mereka perlu sedia membantu mereka seolah-olah mereka adalah anak mereka ataupun adik mereka yang kini berasa amat hampa dan sedih. Tidak patut jika UPU melemparkan karenah birokrasi ke atas mereka dan hanya membuka mata telinga apabila parti politik campur tangan.
Pengajian tinggi adalah amat penting untuk membina sumber manusia untuk negara. Perdana Menteri Abdullah yang selalu beria-ia mahu membina 'human capital' yang kuat untuk Malaysia patut memastikan UPU di bawah Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan meninggalkan pelajar-pelajar yang layak dan sedia berusaha untuk kejayaan kendiri dan kejayaan negara.