Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

SURAT l Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan disusuli dengan pembentukan Malaysia pada 1963, terdapat kaedah pemerintahan tertentu yang diamalkan di negara kita.

Malaysia mengamalkan (i) sistem persekutuan (federalisme), (ii) demokrasi berparlimen, dan (iii) prinsip pemerintahan raja berperlembagaan. Kesemua kaedah ini digabung jalin bagi menghasilkan sistem pentadbiran sekarang yang mengambil kira sejarah dan tradisi yang ada di negara kita. Coretan ringkas ini akan menumpukan mengenai item (iii).

Ketua Negara (Head of State) ialahYang di-Pertuan Agong (YDPA). Baginda adalah seorang raja berperlembagaan. Ini bermaksud, sekalipun baginda ialah raja pemerintah, tetapi baginda tidaklah berada di atas undang-undang.

Baginda bukanlah berkuasa mutlak. Perlembagaan Persekutuan ialah dokumen undang-undang yang memberikan kuasa kepada baginda. Sumpah jawatan YDPA juga menyebut bahawa baginda menjalankan pemerintahan bagi Malaysia dengan adil mengikut undang-undang dan perlembagaan yang telah disahkan. Ini dapat dilihat dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Hal yang sama juga berlaku di peringkat negeri. Bagi Negeri-negeri Melayu jawatan ini disandang oleh sultan, manakala untuk negeri-negeri Selat dan Borneo ia disandang oleh Yang Dipertua Negeri (YDPN). Kuasa-kuasa Sultan dan YDPN pula adalah diperuntukkan dalam perlembagaan negeri masing-masing.

YDPA dan Sultan/YDPN secara umumnya mempunyai tiga fungsi utama dalam pentadbiran. Yang pertama mereka berperanan sebagai simbol negara.

Ini dizahirkan melalui upacara-upacara rasmi yang berbentuk istiadat seperti pembukaan sesi Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN), menerima watikah pelantikan duta asing, dan istiadat penganugerahan darjah kebesaran negara/negeri.

Dalam konteks ini YDPA/Sultan menjadi lambang kekuasaan Negara/negeri. Baginda menampilkan kekuasaan negara serta imej kerajaan yang bersifat ‘above politics’.

Peranan kedua ialah apabila YDPA/Sultan menjalankan tugas sebagai ketua badan eksekutif.

Bagaimanapun, realitinya kuasa-kuasa baginda ini dijalankan mengikut nasihat oleh kerajaan yang memerintah (government of the day).

Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan misalnya memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah menurut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.

Peruntukan seperti Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan juga wujud dalam semua PerlembagaanNegeri.

Peranan ketiga dapat dicerap apabila YDPA/Sultan melaksanakan kuasa-kuasa budi bicara baginda. Proses ini dapat dilihat dalam proses pelantikan perdana menteri/menteri besar yang baharu serta hak untuk tidak memperkenankan pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Prinsip undang-undang perlembagaan menghendaki YDPA/Sultan mesti menurut nasihat daripada jemaah menteri. Jemaah menteri pula terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya. Justeru, susunan sebegini ialah manifestasi kuasa rakyat dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Pertukaran kerajaan dari PH ke PN tidak hanya terhad di peringkat persekutuan, ia turut melibatkan pertukaran tampuk kepimpinan di beberapa buah negeri termasuklah Johor.

Terbaru kita mendapati kenyataan oleh sultan Johor meluahkan rasa kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku. Menurut baginda, "Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor (DUN) serta merta," titah sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda.

Reaksi warga siber kepada kenyataan ini adalah bercampur-campur. Ada dari kalangan mereka menyebut bahawa sultan memang ada kuasa sebegitu berdasarkan perlembagaan negeri.

Yang berkata begitu bersandarkan kepada Fasal 23(2), Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor. Ia berbunyi: "Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan Dewan Negeri". Teks bahasa Inggeris bagi Fasal yang sama berbunyi : "The Ruler may prorogue or dissolve the Legislative Assembly"

Perlembagaan negeri Johor, seperti juga dokumen undang-undang lain hendaklah dibaca secara menyeluruh. Dalam aspek pentadbiran negeri, raja pemerintah bertindak mengikut nasihat 'government of the day'.

Ini dinyatakan dalam dalam Fasal 7(1) Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor yang menyatakan: "..The Ruler shall act in accordance with the advice of the State Executive Council..". Manakala Fasal 7(2): " The Ruler may act in his discretion in the performance of the following functions: - (a) the appointment of a Menteri Besar; (b) the withholding of a consent to a request for the dissolution of the Legislative Assembly".

Oleh sebab itu, perlu difahami bahawa dalam banyak keadaan tindakan sultan adalah berdasarkan nasihat kerajaan yang memerintah. Pada masa yang sama baginda boleh mendapatkan apa-apa maklumat berkaitan pentadbiran daripada menteri besar dan ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Justeru, pembubaran Dewan Undangan Negeri mestilah dengan permintaan oleh menteri besar. Fasal 4(6) Bahagian II Perlembagaan Negeri Johor menyatakan: "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request the Ruler dissolves the Legislative Assembly". Jika ini berlaku, baginda ada kuasa budi bicara untuk memperkenan atau tidak memperkenan permintaan tersebut.

Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, serta prinsip undang-undang perlembagaan, dapat disimpulkan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri boleh berlaku hanya apabila ada permintaan daripada menteri besar. Inilah juga pandangan yang diambil oleh Prof Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan terkemuka negara kita.

Prinsip undang-undang perlembagaan adalah jelas iaitu sultan hanya boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri setelah dinasihatkan oleh menteri besar. Ia bertujuan menjaga sultan daripada terheret dalam kancah politik kepartian. Sedangkan baginda sebagai raja perperlembagaan hendaklah dilihat neutral dan 'above politics' seperti yang dinyatakan pada awal makalah ringkas ini.

Apa yang dinyatakan di atas ialah isu ini dari sudut undang-undang perlembagaan serta peruntukan perlembagaan yang berkaitan. Tiada siapa yang menjangka bahawa dunia politik Malaysia pada tahun 2020 adalah sangat dinamik.

Ramai ahli politik bertukar tempat ke sana ke sini sekalipun kita sedang menghadapi wabak Covid-19. Sebagai rakyat marhaen, kita mendoakan yang baik-baik untuk negara kita.


DR NIZAMUDDIN ALIAS adalah pensyarah, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS