Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Soalan paling panas minggu ini adalah apakah Dr Mahathir yang menjadi Presiden Umno selama 22 tahun itu akan meninggal di luar habitatnya? Soal itu, yang jika ditanya tiga tahun lalu kedengaran tidak masuk akal, kini menjadi sebaliknya.

Kemungkinannya boleh dilihat dengan kritikan 'ganas' Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak akhir-akhir ini. Tentu kita masih ingat Datuk Onn Jaafar. Seorang yang berfikir mendahului zamannya. Dia keluar dari Umno selepas idea untuk menjadikan parti itu parti multi etnik (seperti Keadilan) ditolak mentah-mentah oleh parti perkauman itu.

Bekas Pegawai Daerah Batu Pahat itu nekad keluar Umno dan menubuhkan Parti Negara. Kita tahu dia kecewa, sehingga terpaksa bertanding di Terengganu untuk menjadi ahli Parlimen. Apapun, Datuk Onn seorang yang bermaruah dan 'gentleman'. Ideanya ditolak dan dia keluar dari Umno. Tempatnya diganti anak raja dari Kedah, Tunku Abdul Rahman. Dia seorang yang lucu, dan katanya, dia adalah 'Perdana Menteri paling gembira di dunia'. Dr Mahathir dipecat dari Umno di zaman Tunku.

Mengikut riwayatnya, Tunku memberi kata dua kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memilih antara beliau atau Dr Mahathir. Sudahnya pemilik Klinik Maha itu dipecat dan ketika itulah dia 'bergerila' dengan PAS.

Tunku yang suka ketawa, kemudian dikejutkan dengan peristiwa 13 Mei. Negara panik dan Tunku sudah tentu lagi terkejut. Awalnya berpunca dari kekalahan besar Perikatan dalam pilihanraya umum. Doktor Klinik Maha pun mencelah. Dia menulis surat layang dari Filipina, kononnya Tunku sedang bermain judi semasa api marah membakar Kuala Lumpur.

Surat layang Dr Mahathir dipungut Ibrahim Ali, yang kemudiannya menganjurkan demonstrasi menentang Tunku. Tunku kecewa, hingga sakit. Dalam hospital beliau menulis buku bertajuk 'Sebelum dan Selepas 13 Mei' yang jelas mengatakan kekesalannya dengan tuduhan liar Dr Mahathir.

Tunku meninggal pada tahun 1989 tanpa sempat mengisi borang Umno Baru selepas beliau bersama anak raja Kelantan, berjuang dalam Semangat 46. Tunku adalah penasihat parti 'hijau kuning' itu. Selepas Tunku berundur dan memberikan kerajaannya kepada Tun Razak, Dr Mahathir kembali dalam Umno dibawa oleh Datuk Harun Idris. Beliau kemudiannya 'koliborasi' dengan Tun Musa Hitam, Tengku Razaliegh dan setiusaha Tun Razak, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Di pihak lain ada Datuk Harun, King Ghaz dan Khir Johari masing-masing mahu menunjuk taat setia pada Tun Razak. Biarpun dari kem berbeza. Tun Razak meninggal mengejut. Dia negarawan yang menyatu dan memajukan negara. Hussein Onn mengantikan beliau, tercari-cari siapa yang mahu menjadi timbalannya. Ikut hatinya mahu diberi kepada King Ghaz, tapi Mahathir, Musa dan Ghafar yang ketika itu merupakan Naib Presiden Umno menentang keras.

Satu surat dihantar kepada Hussein, pilih salah seorang dari mereka atau ketiga-tiganya meletak jawatan. Hussein mengalah dan memilih Mahathir. Ghafar yang merupakan Naib Presiden nombor satu gigit jari. Di zaman Tun Razak, PAS dibawa masuk dalam kerajaan. Datuk Mustapha Ali sempat menjadi Setiausaha Parlimen di zaman itu. Zaman Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri, PAS di sepak dari Umno. Ibrahim Ali tukang buat kacau di Kota Bharu, darurat diistiharkan, PAS di sepak keluar, dan Umno ambil alih Kelantan. Mahathir rancang semuanya.

Kini selepas tiga tahun letak jawatan, pesara bernama Dr.Mahathir itu buat kacau lagi. Dia nekad hendak serang Abdullah. Berpatah arang berkerat rotan. Bersama Ibrahim Ali (watak Ibrahim Ali ini muncul) berceramah di sebuah kelab di pinggir Kuala Lumpur. Seperti kata Nazri Aziz, "Mahathir sanggup duduk semeja dengan orang yang memanggilnya 'Firaun' ketika menjadi PM dahulu,".

Tapi Dr Mahathir kata, dia tidak bersama pembangkang. "Saya bersendirian". Mengenali Dr Mahathir, dia akan melakukan apa saja demi memenuhi cita-citanya. Dr Mahathir menggunakan semua jentera kerajaan, menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menganggapnya sebagai ayah dan guru. Hanya kerana Anwar mahu mencabarnya.

Dr. Mahathir desak Majlis Raja-raja menarik nama Islam pada pertubuhan politik dan NGO. Apakah kita lupa? Kini Dr Mahathir kembali menyerang kerajaan. Dia mungkin akan 'berdamai' dengan sesiapa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatinya.

Persoalannya kini, apakah anak guru sekolah dari Alor Setar Kedah itu, akan meninggal di luar Umno, akan terus diperkatakan. Jauh di sudut hati, saya berdoa, dia tidak meninggal untuk setahun dua ini. Dan saya cuma nak pesan, Lawan Mahathir Lawan.

ADS