Paling Popular
Terkini

Sekitar tahun 2015, seorang kakitangan kerajaan murung setiap kali datang kerja. Rambut sering tidak bersikat, seringkali terganggu masa kerja berlari-lari ke sana ke sini kerana isterinya disahkan menghidap kanser Limfoma Hodgkin tahap 4.

Bayangkan jika ahli keluarga anda tiba-tiba dimaklumkan oleh doktor menghidap kanser tahap 4, apakah perasaan anda ketika itu?

Sebagai kakitangan awam, gaji pegawai yang baharu meningkat naik bukanlah tinggi, sekadar cukup menyara keluarga di samping membayar ansuran kereta, rumah dan hutang-hutang lain.

Dia penjawat awam yang sangat mahir dan bijaksana, namun apabila isterinya menghidap kanser Limfona Hodgkin tahap 4, dunia menjadi kelam-kelabu. Seluruh anggota badan jadi lemah longlai tidak bermaya.

Hari-hari pertama, dia membawa isterinya ke hospital kerajaan mendapat rawatan kanser. Disiplinnya tinggi membawa isterinya mengambil rawatan kemoterapi.

Namun selepas kemoterapi kali ketiga, isterinya dalam keadaan nazak dan tidak lagi mampu meneruskan kemoterapi pusingan keempat.

Selepas pembedahan tempurung kepala dan radioterapi, sahabat saya sudah hampir putus asa.

Melihat isterinya terlantar di hospital tidak bermaya, malah kelihatan nazak menjadikan dirinya semakin hari semakin tidak bermaya.

Anak-anaknya masih kecil lagi terpaksa ditinggalkan di rumah. Berlari ke tempat kerja, berlari ke rumah, berlari ke hospital. Itulah rutin hidupnya setiap hari yang menyesakkan hati saya jua.

Doktor pakar yang merawat isterinya membuat cadangan untuk membeli ubat imunoterapi dari luar negara.

Doktor pakar memberitahu satu dos ubat berharga lebih kurang RM14,400.00! Terduduk sahabat saya itu! Di mana nak cari wang? Menitis lagi air mata seorang suami.

Doktor pakar mencadangkan sekurang-kurangnya minimum lapan dos diperlukan, bermakna wang yang diperlukan sebanyak RM115,200.00! Hati dan jiwa bagai diperah kesakitan memikirkan wang sebanyak itu.

Akhirnya permohonan dibuat kepada kerajaan. Surat permohonan dibentang kepada Najib Razak selaku perdana menteri dengan permohonan sebanyak RM115,200.00 untuk lapan dos ubat yang diperlukan itu. Semuanya dipohon melalui prosedur dan tatacara kerajaan.

Selepas dibentangkan di depan Najib, dengan hidayah, taufik dan inayah Allah SWT, Najib bukan sahaja meluluskan lapan dos tetapi 16 dos ubat kanser yang bernilai RM230,400.00. Mungkin Najib berfikir, dos selebihnya untuk kegunaan rakyat lain yang memerlukan pula.

Alhamdulillah, isteri sahabat saya itu sudah sihat walafiat. Sahabat saya itu pun sudah berpindah ke beberapa jabatan kerajaan, di mana kali terakhir saya bertemu, rambutnya sudah kemas bersikat, senyumannya semakin indah dan prestasi kerja semakin mantap.

Itulah sekelumit kisah Najib. Jika Najib terbaca kisah ini, sahabat dan isterinya serta anak-anaknya ingin sekali bertemu Najib untuk mengucapkan terima kasih.

Kepada penjawat awam, ketahuliah walau apa pun kedudukan kita di dalam kerajaan, JPA sentiasa menjaga kebajikan kita dan keluarga kita.

Kedua, inilah sekelumit kisah mulia Najib dan banyak lagi sebenarnya yang tidak diketahui rakyat Malaysia.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI ialah penganalisis politik kerajaan juga merupakan penceramah Dasar-Dasar Kerajaan dalam bidang Kenegaraan, Keselamatan & Patriotik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS