Saya mahu membangkitkan kelemahan yang wujud dalam Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK).
Setelah sekian lama PPAK hanyut ibarat sebuah rakit buruk di sungai yang deras alirnya, yang tiada kemudi dan pengayuh atau galah untuk menuju destinasi.
Rasa pelik dan musykil ke mana hilangnya Pengarah PPAK sejak sekian lama?
Selain itu kealpaan pengurusan atasan PPAK telah juga mengakibatkan natijah yang menyedihkan serta mengaibkan semua pihak. Akibatnya PPAK menangung beban hutang lapuk ratusan ribu ringgit malah hampir mencecah satu juta ringgit dengan pembekal-pembekal.
Malah ada beberapa orang kakitangan pentadbiran PPAK menyembunyi fakta dan melindungi kisah khianat yang berlaku dalam organisasi ini.
Moral dan identiti buruk warga PPAK juga turut terpalit akibat dari perbuatan seorang manusia yang selama ini diberi mandat untuk mentadbir sebuah jabatan kerajaan, tetapi mengkhianatinya dan memusnahkannya segala hasrat dan kebajikan warga kerja dan kerajaan negeri.
Setelah sekian lama berkhidmat di PPAK, tiada kebajikan langsung diberi kepada majoriti warga kerja. Penilaian prestasi tidak pernah dibuat samada sejak dalam skim SSB atau SSM. Kakitangan yang sejak 21 tahun memegang jawatan sambilan hinggalah saat ini masih juga jawatan sambilan bergaji harian.
Semangat kami sudah sekian lama luntur untuk berkhidmat, dengan jaya. Mentaliti pilih bulu dan kroni serta berpuak-puak menambahkan lagi sikap dingin untuk berkhidmat.
Harapan kami pada Ahli-Ahli Lembaga PPAK untuk membela nasib kami sudah lama dikuburkan.
Kalau syarikat-syarikat GLC mengalami kerugian yang ditadbir oleh bijak pandai dalam korperat, maka apalah sangat dengan PPAK. Kalau ramai mengatakan parti Umno/BN yang korup dan menipu dalam segala urusan pentadbiran negara, maka apa yang boleh diharapkan dengan parti PAS pula?
Pernah beberapa kali saya dan beberapa orang warga kerja veteran (semuanya lelaki) berhasrat untuk menemui tokoh politik yang berada dalam Lembaga PPAK, untuk membincang dan mengkhabarkan apa yang berlaku di PPAK.
Ke manakah lagi kami hendak mengadu? Kalau tokoh politik PAS pun kami curigai, apakah perlu kami menemui Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz untuk luahkan segala perasaan ini?
