Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SURAT | Ada banyak sandiwara pernah dan akan berlangsung di negara ini. Antaranya ialah sandiwara politik yang amat menyeronokkan (baca: menggelikan) hati jika ia diikuti dengan hati yang dingin dan bersahaja.

Jauhkan marah-marah, elak serius memberi komentar. Makian-makian yang sarat dalam media sosial diambil sebagai hiburan ringan lagi santai sambil mencicip kopi berteman ubi kayu rebus.

Apabila hujan renyai-renyai dihambur awan yang bergerak laju dari arah utara, suasana makin mengkhayalkan.

Fana semua peminum-peminum dan pelakon-pelakon sandiwara.

Tetapi jangan terlalu leka. Air kopi boleh tersembur keluar tiba-tiba dan ubi kayu termuntah sama tatkala nama syaitan dijeritkan dari belakang. Untuk siapa label syaitan itu?

Kelihatan lembaga berjubah hitam dan berserban pada tubuh garang di atas mimbar menempelak lawan politiknya dalam sandiwara yang belum ada tanda-tanda berakhir.

Katanya, syaitan ada di mana-mana. Ke sana ada syaitan, ke sini pun ada syaitan.

Lebih 1,400 tahun lalu, manusia mulia lagi terpuji pernah menyatakan: “Anjing hitam adalah syaitan”.

Terkesima manusia yang mendengarnya. Apakah maksud baginda Rasulullah SAW yang mulia itu? Apakah setiap anjing hitam itu adalah syaitan jin dan bukannya seekor anjing yang tidak boleh berfikir selain hanya pandai menjelir lidah?

Ulama Islam memberikan naratif yang sangat baik. Begini kisahnya. Ia adalah bahasa kiasan dan cara berkias atau bermetafora Rasulullah. Ia merupakan amalan biasa kesusasteraan di bumi Arab.

Baginda mahu memberitahu kepada para sahabat bahawa kebiasaannya anjing yang paling bahaya, ganas dan liar ialah yang bewarna hitam. Sehingga ia dibenarkan dibunuh sekiranya terbukti seseekor anjing hitam itu memiliki tiga sifat tadi.

Baginda menggunakan terma syaitan kerana perkataan syaitan itu - jika tidak dirujuk kepada jin yang jahat mengganggu ahli-ahli politik di kalangan manusia sepanjang umur Bumi ini - membawa maksud bahaya, ganas dan liar.

Bermakna, jika kita mahu memanggil syaitan pada seekor ular yang berbisa lagi suka membelit, atau pada seekor monyet yang melompat, mencuri roti pelawat malah mencakar muka anak-anak muda mentah yang baru mengenali zoo kebinatangan, bolehlah.

Dalam sandiwara politik Malaysia, apakah ada yang bergelar syaitan?

Apabila syaitan politik didakwa banyak berkeliaran di media, maka kita fahamlah dakwaan itu adalah sebuah kiasan. Memang sedap bahasanya, berlapik tanpa mahu menjulang-julang maksud hakikinya.

Eloklah guna syaitan daripada bahaya, ganas dan liar kepada manusia yang boleh berfikir.

Sandiwara kesyaitanan

Cumanya, apabila manusia memanggil manusia lain sebagai syaitan, dia juga boleh dipanggil syaitan, walaupun berpakaian jubah atau berserban besar. Apatah lagi kalau dia hanya berkot dan berseluar, kan?

Bukan kerana warna pakaian mereka hitam. Bukan sama sekali. Sebabnya agamawan di kebanyakan negara umat Islam turut memakai jubah. Namun di sebalik jubah hitam itu, susuk diri mereka tetaplah terpuji.

Beberapa tokoh agamawan dalam negara juga sering berjubah hitam dan tetap memiliki akhlak yang baik lagi terpuji.

Maka perumpamaan syaitan dalam kiasan itu bukanlah kerana fitrah hitamnya pakaian, atau serban, atau tali leher atau seluar atau dakwat pena.

Panggilan syaitan sesuai kepada sesiapa sahaja jika pada diri itu ada sifat bahaya pada tindakan, ganas pada pena dan liar pada lidah. Tidak lain tidak bukan, ia ada kaitan dengan hati yang sudah bertukar daripada kemerahan menjadi kehitaman.

Kesimpulannya, sandiwara kesyaitanan memang benar-benar wujud dalam negara ini, khususnya dalam dunia politik yang serba mungkin.

Syaitan-syaitan itu bermesyuarat, berunding, mencari konsensus dan - jangan terkejut - sesekali pandai juga memberi tazkirah. Jangan salah sangka terlalu cepat dan meloncat bingkas terlalu segera.

Tazkirah adalah majlis memberi peringatan kepada orang. Isinya pula biasanya bukan kepada diri sendiri. Ia disasarkan kepada audien yang di luar daripada pemberi tazkirah. Maka jika wujud 'kehitaman' dalam susuk itu, tidak mudah untuk menyedarinya.

Maka, benar sangatlah bahawa syaitan itu ada di mana-mana. Siapa agaknya syaitan dalam hidup anda? Awas, jangan biarkan dia terus bersandiwara dan menjadi misteri.


IBNU JUBBAH ialah anak muda yang suka membaca artikel-artikel ‘nakal’ di media sosial termasuk Malaysiakini. Dia juga berhasrat melihat setiap ahli politik sentiasa ceria bersama rakyat dan tidak marah-marah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS