Sedih sungguh membaca berita ibu yang membawa anak-anaknya menamatkan riwayat mereka di landasan keretapi beberapa hari yang lalu. Penulis merasakan permintaan daripada komuniti India agar filem yang mempunyai adegan membunuh diri diharamkan adalah berpatutan. Tiada apa yang dapat dicontohi dari filem seperti itu.
Masyarakat sebenarnya terlalu banyak belajar mengenai kehidupan daripada filem - mungkin lebih daripada apa yang difikirkan oleh pembuat filem itu sendiri. Ini kerana kehidupan masyarakat Malaysia - bahkan masyarakat dunia sendiri - terlalu banyak berputar di sekeliling cerita yang ditonjolkan dalam babak-babak filem.
Masyarakat merasakan apa yang diceritakan dalam filem itu adalah kisah benar belaka; sedangkan ia adalah rekaan semata-mata. Filem-filem sepatutnya lebih banyak menonjolkan kisah-kisah yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat tentang realiti kehidupan dan bagaimana untuk berikhtiar tanpa berputus asa sekalipun mengalami kesempitan.
Namun begitu, persaingan yang terlalu sengit untuk mengaut kekayaan mungkin telah mengaburi mata pembuat-pembuat filem yang merasakan mereka perlu mempersembahkan sesuatu yang lain daripada yang lain: maka hasilnya, babak-babak seperti membunuh diri atau membunuh orang lain, menjadi aset untuk tontonan umum.
Lembaga penapis filem juga perlu memainkan peranan mereka. Mereka dibayar gaji untuk memastikan kualiti filem bersesuaian dengan imej dan nilai-nilai tempatan - bukan sekadar untuk memastikan filem yang ingin ditayangkan mempunyai kualiti audio dan video yang baik.
Lebih banyak pihak perlu campurtangan dalam menjaga nilai dan budaya masyarakat tempatan di Malaysia agar pengaruh filem dan televisyen tidak terlalu menjejaskan kualiti hidup warga tanah air.
