Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Tak wajar hukum individu cuba bunuh diri

Mutakhir ini kita kerap mendengar berita kes bunuh diri dan kesihatan mental ini dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung.

Isu ini hangat dibincangkan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) malah menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam kenyataannya sebelum ini menjangkakan pertengahan tahun ini kerajaan akan meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Pandemik Covid-19 memberi impak psikologi yang cukup besar buat masyarakat dunia ketika ini. 

Menurut setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pandemik Covid-19 kini menjejaskan keluarga dan masyarakat dengan tekanan tambahan malah ia turut disahkan oleh Ketua Jabatan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Devora Kestel bahawa kes tekanan mental meningkat mendadak di tengah krisis ini.

Semalam, saya dikhabarkan seorang lelaki yang melakukan percubaan bunuh diri dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM 3,000 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Lelaki tersebut dikatakan tidak bekerja dan mengalami tekanan. Di saat krisis pandemik serta kemelesatan ekonomi global ini saya kira tidak wajar lelaki berkenaan dijatuhi hukuman sedemikian rupa.

Hari ini pula kita dikejutkan dengan berita kematian bunuh diri seorang bekas juruterbang yang diberhentikan oleh syarikat swasta yang dipercayai terjun dari unit kediamannya di tingkat 12 sebuah kondominium Bandar Kinrara.

Menurut Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan “mangsa dipercayai tidak dapat mengawal diri dan bertindak terjun dari rumahnya.”

Saya percaya kes depresi meningkat semenjak krisis pandemik Covid-19 secara global ini memberi kesan kepada ramai orang. 

Tidak wajar golongan yang sedang menghadapi masalah depresi akibat tekanan hidup ini dijatuhkan hukuman apatah lagi individu tersebut tidak bekerja.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini begitu komited dalam meminda akta lama ini namun saya khuatir usaha ini terbantut setelah pertukaran kerajaan pada awal bulan Mac yang lalu.

Saya berharap usaha baik ini akan terus dilaksanakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membantu individu yang mengalami depresi.

Golongan ini sepatutnya dibantu bukannya dihukum. Menteri Kesihatan Dr Adham Baba perlu mengambil serius isu kesihatan mental dan meneruskan usaha baik yang telah dilaksanakan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini Dr Dzulkefly Ahmad.

Saya berpendapat baik pihak kerajaan dan pembangkang perlu mencapai kata sepakat dalam menangani krisis global ini.

Jika benar prihatin akan isu rakyat sewajarnya dibentangkan segera di parlimen untuk tindakan susulan supaya dapat menyelamatkan lagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental ini.


LENY AZMI ialah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS