Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jumlah Kes Covid-19 di negeri Sabah semakin hari semakin meningkat. Namun begitu, sangat mengejutkan kita semua kerana kerajaan negeri meneruskan juga PRN Sabah tatkala pendemic virus Covid-19 semakin meningkat dengan kluster baru di Kunak, Lahad Datu dan Tawau.

Persoalannya, adakah kita menunggu lebih ramai lagi akan dijangkiti dan membawa kepada risiko kematian baru kita hendak bertindak? Melihat kepada suasana kempen, ternyata majority penyokong parti yang terlibat gagal mematuhi sepenuhnya SOP.

Mereka tidak boleh disalahkan kerana kempen politik sukar dikawal. Undang-undang denda RM1000.00 jelas tidak dipedulikan dan tidak berjaya dikuatkuasakan.

Lihatlah di sekeliling anda, ramai yang tidak memakai pelitup muka, hand senitizer diabaikan, mengabaikan jarak satu atau dua meter diabaikan, apatah lagi pengambilan suhu badan tidak dilakukan. Pihak berkuasa yang sepatutnya bersuara tegas tidak dapat memberi ketegasan di PRN Sabah kerana kemahuan gila politik tidak mampu dihalang.

Jika Kerajaan khususnya kerajaan negeri Sabah bertanya pakar keselamatan kesihatan, jawapan yang diterima ialah PRN Sabah hendaklah ditangguhkan demi keselamatan rakyat Sabah.

PRN Sabah ini sudah pasti akan meningkatkan risiko tinggi jangkitan kepada mereka yang berisiko tinggi seperti golongan tua dan yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, obesiti dan sebagainya. Harus diingat, banyak penyebar Covid-19 adalah di kalangan orang muda yang biasanya tidak mempunyai simptom dan tidak mustahil mereka akan menyebarkan penyakit ini semasa mereka berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan sebanyak RM186 juta anggaran peruntukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini. Wang ini sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri Sabah dan membantu rakyat Sabah yang berhadapan krisis ekonomi semasa pandemic Covid-19 ini. Namun, kegilaan politik tidak memikirkan perkara ini, sebaliknya nafsu politik lebih diutamakan.

Mereka yang menggadai nyawa rakyat Sabah menampakkan level Patriotisme mereka sangat rendah. Salah satu sifat Patritosime yang penting ialah berusaha tidak menyusahkan rakyat sebaliknya membina negara ini dengan melindungi rakyat daripada mara bahaya.

Walaupun pencalonan yang ramai di sesetengah DUN menunjukkan sistem demokrasi hidup subur tetapi jika ia mengundang risiko keselamatan, kita yang waras sepatutnya dapat mengelakkannya.

Pencalonan tidak dapat dikawal dengan meletakkan jumlah yang ramai. Contoh, di sesetengah DUN jumlah calon mencecah lapan atau lebih calon. Jika semua calon ini bergerak, berkempen dan berceramah dengan melibatkan kumpulan rakyat yang ramai, maka risiko penularan wabak Covid-19 akan meningkat.

Kesimpulan, isu keselamatan ini akhirnya kembali kepada kesugguhan rakyat jua. Kerakusan politik tidak dapat dikawal oleh undang-undang. Sempena Hari Malaysia 16 September 2020, sepatutnya kerajaan negeri Sabah lebih matang dan lebih bijak ketika berhadapan krisis keselamatan rakyat.

Semangat patriotik sepatutnya dipupuk dan diamalkan oleh Kerajaan, barulah rakyat dapat mencontohi dan mengamalkannya. Jika Kerajaan negeri Sabah pun memandang enteng isu keselamatan rakyat, maka jangan dihukum rakyat dengan undang-undang yang akan menyusahkan mereka pula.


Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan penganalisis politik dan kerajaan, keselamatan negara, patriotisme dan pembinaan negara bangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS