Most Read
Most Commented
Read more like this

Sekitar tahun 1950-an, Semenanjung Malaysia pernah menyaksikan perjuangan orang Islam di dalam membela kesucian akidah seorang gadis belasan tahun (Maria Huberdina Hertogh-Natrah) yang baru memeluk agama Islam daripada usaha untuk dimurtadkan. Perjuangan yang pasti akan dikenang di dalam lipatan sejarah tersebut telah menyaksikan orang Islam di seluruh Tanah Melayu dan Singapura bangun bersatu tanpa mengira perbezaan bangsa, darjat mahupun pegangan ideologi politik masing-masing demi membela kesucian agama Islam.

Selepas Merdeka cabaran yang dihadapi oleh agama Islam di negara kita terus sengit. Islam pada hari ini sentiasa dicabar, diserang serta diperlekeh kedaulatanya daripada semua sudut oleh pelbagai golongan anti-Islam dan penganut agama Islam yang goyah kefahamanya terhadap Islam tidak terkecuali di dalam soal murtad.

Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, institusi kehakiman tidak pernah sunyi daripada tuntutan-tuntutan untuk menukar pegangan agama Islam kepada agama-agama lain. Di dalam rekod perundangan Malaysia tercatat kes-kes seperti Daud Mamat, Jamaluddin Othman, Kamariah Ali, Dhalip Kaur, Soon Singh, Aishah Bukhari, Mohamad Said Nabi dan ramai lagi yang menunjukkan kepada kita betapa besarnya gejala sedemikian.

Kenyataan yang dibuat oleh Mufti Perak Dato Seri Harussani Zakaria mengenai bilangan orang murtad di Malaysia yang sudah mencecah ke angka 100,000 harus direnung dengan penuh keinsafan. Soal sama ada angka tersebut tepat atau sebaliknya tidak perlu menjadi punca perbalahan, kerana masalah orang murtad sudah semakin membarah. Ketelusan mufti di dalam perkara di atas tidak harus dipersoalkan kerana sudah menjadi tugas para mufti untuk menasihati Raja-Raja Melayu di dalam hal-ehwal agama Islam.

Jikalau dahulu kemarahan orang Melayu akan tercetus apabila satu orang Islam murtad, maka kita tanya diri sendiri, apakah perasaan dan tindakan kita apabila menatap berita di dada akhbar mengenai kes-kes murtad yang semakin banyak berlaku?

Terbaru, perasaan umat Islam dan kedaulatan agama Islam dirobek lagi dengan kes permohonan untuk membuang perkataan Islam di dalam kad pengenalan seorang warganegara Malaysia berketurunan Melayu dan beragama Islam yang bernama Azlina Jelani. Beliau yang telah mengaku murtad kini menggunakan nama Lina Joy. Kes beliau ini telah didengar di peringkat mahkamah persekutuan dan dijangka akan diputuskan pada awal bulan Ogos tahun ini.

Marilah kita semua berdoa kepada Allah s.w.t agar panel hakim-hakim yang mendengar kes ini diberikan hidayah dan kekuatan untuk terus mempertahankan kedudukan agama Islam dan keluhuran perlembagaan persekutuan. Jika tidak, maka kita akan menyaksikan keruntuhan besar benteng pertahanan Islam di dalam sistem perundangan Malaysia. Kedudukan istimewa agama Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama persekutuan akan terhakis, begitu juga dengan perkara 121 (1A) mengenai bidang kuasa mahkamah Syariah sebagai forum memutuskan kes-kes murtad juga akan terjejas.

Perkara 11(4) untuk menyekat dakyah agama lain kepada penganut Islam sudah tidak bermakan lagi jika kes Lina Joy dibenarkan, dan yang paling menyedihkan peruntukan istimewa Perkara 160 yang menafsirkan orang Melayu sebagai beragama Islam, berketurunan Melayu, mengamalkan budaya Melayu dan bercakap Melayu perlu dipinda bagi memasukan peruntukan bahawa orang Melayu juga boleh beragama selain Islam. Nauzubillah

Berpeganglah bahawa Islam itu melangkaui batas definisi undang-undang. Islam adalah identiti bangsa Melayu di Malaysia. Sejak kerajaan Kesultanan Melayu Melaka diruntuhkan oleh bangsa penjajah, orang Melayu terus nekad dan istiqomah mempertahankan kekuatan akidah mereka walaupun kuasa Kristian menjajah selama lebih 500 tahun.

Apakah anda rela melihat umat Islam pada masa akan datang tergugat daripada segi pegangan akidahnya dan hidup di negara sendiri bagai melukut di tepi gantang. Harus diingat, keadaan dunia sekarang sudah kembali kepada era penjajahan, kejatuhan negara-negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan memungkinkan pemurtadan berleluasa umat Islam di negara-negara terbabit berlaku.

Aku percaya ibubapa Lina Joy, Aishah Bukhari, bahkan mana-mana ibubapa jua pun pasti tidak sanggup melihat anak-anak yang lahir hasil daripada pengorbanan dan kasih-sayang mereka semenjak kecil memungkiri segala ajaran agama yang telah diberikan. Tiada ibubapa yang sanggup melihat anak-anak yang dibesarkan dengan penuh pengharapan umpama menatang minyak yang penuh, di didik dengan pengajian Al-Quran di awal usia, diberikan pendidikan agama di sekolah dan universiti, di ajar dengan adab dan akhlaq di dalam pergaulan akhirnya menidakkan kewujudan Allah S.W.T sebagai satu-satunya tuhan yang patut disembah, dan Muhammad S.A.W sebagai rasulnya.

Tiada seorang pun di antara kita yang sanggup melihat sesorang yang rapat sama ada mempunyai petalian darah ataupun tidak, baik ibu-bapa, anak, abang, kakak adik, ataupun sahabat akhirnya memilih untuk derhaka kepada Penciptanya.

Tiupkanlah ruh dan kesedaran perjuangan di dalam dirimu, mantapkanlah ilmu di dadamu buat menagkis segala serangan musuh-musuh Islam untuk mencabut akar akidahmu dan keluaraga mu. Infaqkanlah harta mu untuk perjuangan membela kedaulatan dan kesucian Islam dan akhirnya berserahlah kepada Allah Tuhan Seru Sekelian Alam, melalui pengaduan doa dengan penuh khusyuk.

Janganlah sekali-kali lupa bahawa Dialah sebaik-baik tempat mengadu dan meminta pertolongan, mudah-mudahan Allah selamatkan umat Islam seluruhnya daripada sebarang kecelakaan dan musibah.

ADS