Apabila kita memberi khidmat dan sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan maka itu dinamakan ikhlas. Ikhlas adalah satu nilai murni yang mesti menjadi ciri amalan atau budaya kepada sebuah masyarakat kelas pertama.
Kalau kepada orang Islam yang dimaksudkan dengan ikhlas itu adalah semua perbuatan dan tindakan kita hanyalah kerana Allah semata. Adalah dicela kalau kita berbuat baik dengan niat untuk mengharapkan balasan.
Berbuat baik yang dimaksudkan di sini mestilah selari dengan ajaran agama. Kalau ada orang yang meletupkan dirinya bagi memberikan rasa gerun kepada musuhnya walaupun niat dia begitu ikhlas untuk memperjuangkan Islam, ini tidaklah boleh dikatakan sebagai ikhlas yang selari dengan kehendak Islam.
Dengan kata lain perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas itu mestilah juga selari dengan nilai agama atau norma-norma masyarakat yang baik. Semasa perang Vietnam satu masa dulu, kebanyakan rakyat Vietnam percaya fahaman kominis adalah fahaman yang terbaik dan mereka berjuang begitu ikhlas untuk memperjuangkan fahaman tersebut. Mereka sanggup menggadai harta benda malah nyawa mereka sendiri demi memperjuangkan fahaman kominis.
Setelah mereka berjaya dan setelah beberapa lama kominis diamalkan di Vietnam, keadaan negara itu tidaklah sebaik mana, fahaman kominis telah melunturkan semangat daya saing kepada manusia. Bukan saja Vietnam bahkan negara-negara kominis lain pun tidak dapat maju seperti negara bukan kominis.
Walaupun perjuangan mereka dilakukan dengan ikhlas tetapi belum tentu apa yang diperjuangkan oleh mereka itu adalah suatu yang betul. Dulu di awal perjuangan Umno menuntut kemerdekaan ramai orang-orang Melayu memberi sumbangan untuk menggerakkan perjuangan ini. Kaum wanitanya tidak teragak-agak menyumbangkan barang-barang kemas mereka untuk tujuan tersebut. Mereka lakukan dengan ikhlas hati demi ingin melihat negara tercinta ini terlepas dari belenggu penjajah.
Di dalam parti PAS juga ada individu-individu yang memberi sumbangan terutamanya dalam bentuk wang ringgit kepada parti. Malah ada yang memotong sebahagian gaji mereka tiap-tiap bulan sebagai sumbangan ikhlas kepada parti. Mereka lakukan dengan niat ikhlas demi perjuangan menegakkan negara Islam.
Begitu juga ada yang memberi sumbangan dan derma ikhlas kepada badan-badan kebajikan sukarela bagi membantu badan-badan ini menjalankan aktiviti-aktiviti mereka.
Sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan balasan ini sangatlah dialu-alukan. Tetapi dalam pada itu ada juga orang atau syarikat yang memberi sumbangan dengan mengharapkan balasan. Sebagai contoh, mereka memberi sumbangan wang kepada satu-satu parti politik dengan mengharapkan pemimpin parti politik itu akan membalas dengan memberikan kepadanya atau syarikatnya tender-tender projek kerajaan yang di bawah kuasa parti politik tersebut.
Dalam usaha menangani rasuah telah dibuat satu peraturan pegawai dan kakitangan kerajaan di negara kita tidak dibenarkan menerima hadiah dalam bentuk apa pun dari orang perseorangan mahupun dari syarikat. Ini adalah untuk mengelakkan pegawai tersebut menjadi pilih kasih atau akan boleh mempengaruhi pegawai tersebut dalam memberikan tender-tender kerajaan.
Dalam Islam hadiah bukanlah suatu perkara yang dilarang malah ia amat digalakkan bagi menjalin keakraban antara anggota masyarakat. Tetapi pemberian hadiah dalam Islam mestilah dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Yang menjadi kesalahan bila kita bagi hadiah dengan mengharapkan suatu balasan. Samada kita ikhlas dalam pemberian hadiah itu hanya Tuhan saja yang tahu.
