Malaysiakini
SURAT

SURAT | Kenaikan harga dedak akhirnya akan rugikan pengguna

Mohd Anas Asmawi

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Nov 2020, 12:05 tengahari

Tular hampir di semua kumpulan Whatsapp dan Facebook penternak berkenaan kenaikan harga dedak dan bahan makanan ternakan yang berlaku sekarang.

Sekurang-kurangnya sudah tiga kali harga makanan ternakan naik sejak bulan Feb 2020.

Ini menjadikan ada sesetengah harga makanan ternakan telah naik melebihi 12 peratus dalam masa kurang satu tahun.

Kadar ini adalah jauh lebih tinggi dari kadar inflasi negara.

Bahan mentah makanan ternakan terutamanya jagung dan soya majoritinya diimport daripada negara luar.

Banyak faktor-faktor luaran seperti kadar pertukaran wang asing, kos mengimport, dan harga dari negara pengeluar akan mempengaruhi harga di pasaran Malaysia.

Bagaimanapun, kenaikan harga ini perlu dikawal oleh kementerian yang berkenaan supaya tidak memberi kesan yang besar kepada negara.

Hampir 70 peratus kos menternak adalah pada kos makanan ternakan.

Sama ada penternak komersial atau penternak skala kecil-sederhana, kenaikan harga makanan ternakan pastinya memberi kesan yang besar kepada operasi mereka.

Kekurangan modal tunai dan aktiviti jualan yang perlahan mungkin akan menyebabkan banyak penternak-penternak kecil terpaksa gulung tikar.

Untuk penternak skala komersial yang mempunyai aliran tunai yang tinggi (ditambah mampu membuat pinjaman besar daripada bank), mereka masih boleh bertahan.

Tetapi kenaikan kos pada makanan ternakan tadi pastinya akan disalurkan kepada pengguna dengan menaikkan harga jualan produk.

Kesannya, negara akan menyaksikan kenaikan mendadak pada harga produk-produk makanan termasuklah harga ayam mentah, telur, daging segar dan produk-produk yang berkaitan.

Harga makanan di restoran-restoran juga tidak akan terkecuali, akan turut meningkat tinggi dan perlu ditanggung oleh pengguna.

Situasi ini akan mengakibatkan kesan domino yang tidak baik kepada negara.

Tutup kandang, reban

Penternak kecil terpaksa tutup kandang dan reban.

Usahawan-usahawan baru akan menjauhi sektor penternakan kerana dilihat sebagai perniagaan yang tidak menguntungkan.

Syarikat besar yang memonopoli akan menaikkan harga jualan produk untuk mengekalkan margin yang diperlukan.

Harga-harga makanan menjadi semakin mahal. Penjaja makanan akan lebih banyak memberhentikan beroperasi.

Penduduk yang sedia ada terseksa kesan Covid-19 kini terpaksa ikat perut.

Banyak lagi kesan buruk akan menyusul.

Akhirnya, sekiranya isu kenaikan harga makanan ternakan ini tidak diatasi dengan baik, mungkin akan ramai rakyat Malaysia bakal mengalami masalah kekurangan nutrisi.

Harapan kami sebagai penternak skala kecil dan sederhana supaya pihak kerajaan, terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Bersama-sama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dapat lebih menjiwai jerih-perih yang kami alami.

Langkah-langkah awal mengawal kenaikan harga bahan makanan ternakan perlu diambil segera.

Dan pelan jangka panjang untuk memastikan bekalan makanan dan kelansungan aktiviti penternakan skala kecil perlu dirangka sebaiknya.


MOHD ANAS ASMAWI ialah pengurus Penternakan Sumber Unggas Sdn Bhd, syarikat yang terlibat secara langsung dalam sektor penternakan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan