Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di Malaysia, sama seperti semua negara lain di dunia, bank pusat kita Bank Negara Malaysia (BNM), hanya menghasilkan 5% daripada jumlah wang negara, yakni dalam bentuk wang kertas dan duit syiling.

Sebanyak 95% wang dalam negara dicipta oleh bank apabila mereka memberikan pinjaman atau pembiayaan.

Bertentangan dengan kepercayaan popular bank tidak memberi pinjaman dari deposit; bank adalah pencipta wang baru apabila mereka memberi pinjaman atau pembiayaan.

Wang ini adalah dalam bentuk nombor dalam akaun bank atau hanya catatan perakaunan (accounting entry).

Fakta bahawa wang baru diciptakan apabila bank memberikan pinjaman disahkan oleh Bank England, The Federal Reserve dan Bundesbank of Europe.

Rata-rata di dunia 84% pinjaman bank dihala kepada pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan, harta tanah komersial, dan sektor kewangan termasuk derivatif; dan hanya 16% masuk ke ekonomi tampak atau ekonomi sebenar.

Ini menimbulkan inflasi yang paling teruk ditanggung oleh golongan miskin; dan inflasi gelembung perumahan yang ditanggung oleh rakyat jelata.

Rata-rata di dunia 80% pekerjaan dihasilkan oleh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS); di Malaysia 60%. Sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah antara 60% hingga 80%.

Apabila terlalu kecil pinjaman bank dihala ke sektor PKS; kurang daripada 3% secara keseluruhan, ini menghasilkan pengangguran graduan dan anak muda. Ini adalah fenomena seluruh dunia yang dialami oleh semua negara yang mengamalkan sistem monetari yang sama. China mempunyai dua juta graduan menganggur, Indonesia dan Filipina masing-masing 1 juta, sebagai contoh.

Terdapat kepincangan besar antara kepentingan negara dan kepentingan bank-bank di Malaysia sekarang. Terutama sekali apabila bank yang memberi pinjaman, adalah bank yang sama yang menjalankan sistem pembayaran. Dasar-dasar menjejas kepentingan rakyat disantun kepada bank oleh pemerintah hanya untuk memastikan sistem pembayaran tidak gagal.

Kini terdapat suatu gerakan reformasi yang besar di dunia untuk mereformasi sistem monetari. Mereka telah membentuk International Movement for Monetary Reform yang dianggotai NGO nasional yang berjuang mereformasi sistem monetari masing-masing. Mereka ini termasuk Positive Money di UK, Monetative di Jerman dan Positiva Pengar di Sweden, antara lain. Gerakan Keadilan Monetari Malaysia adalah ahli terbaru IMMR.

Reformis monetari

Reformis monetari di seluruh dunia sekarang sedang memperjuangkan pelaksanaan sistem wang sovereign di negara mereka.

Wang sovereign bermaksud hak mencipta wang dipindah dari bank bank swasta dan diserah balik menjadi hak negara.

Di Malaysia kami mencadangkan agar penciptaan wang bawah sistem wang sovereign diletak di bawah kawalan langsung parlimen.

Kami mencadangkan bank dibahagikan kepada dua aliran. Satu, bank pembayaran yang mengendalikan sistem pembayaran negara tanpa keuoayaan memberi pinjaman. Kedua, bank pelabur yang melabur atau memberikan pembiayaan tanpa terlibat dalam Sistem Pembayaran. Ini akan mematikan keupayaan bank bank untuk mencipta wang.

Kami mencadangkan BNM dikeluarkan dari Kementerian Kewangan dan diletakkan bawah kawalan terus jawatankuasa monetari parlimen. Ini akan mengelakkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh parti memerintah.

Tidak seperti penciptaan wang oleh bank swasta; penciptaan wang negara bawah sistem wang sovereign akan ditujukan sepenuhnya kepada sektor ekonomi tampak yang akan mewujudkan pekerjaan dan output ekonomi yang sekali gus menafikan berlakunya inflasi hiper atau bahkan inflasi umum, saperti disalah anggap tanpa banyak usul periksa oleh individu tertentu. Di Zimbabwe penciptaan wang berada di bawah kawalan langsung presiden. Ini tidak boleh berlaku dalam sistem yang dicadangkan untuk Malaysia.

Sovereign money disokong oleh Ketua Pengulas Ekonomi Financial Times UK, Martin Wolf, dan diketengahkan oleh mantan gabenor Bank England Mervyn King, mantan Ketua Lembaga Perkhidmatan Kewangan England, Lord Adair Turner, dan Naib Presiden Bank Pusat Eropah, Vitor Constâncio.

Antara kelebihan sistem wang sovereign adalah seperti berikut:

i) Pelaksanaan dasar monetari yang lebih berkesan.

ii) Sistem pembayaran yang selamat yang tidak terikat dengan nasib bank.

iii) Dividen warganegara adalah lebih berkesan untuk merangsang ekonomi daripada mencuit kadar faedah di sana sini.

iv) Menguncup jurang kemiskinan

v) Penurunan kebergantungan kepada hutang

vi) Peningkatan pembiayaan untuk ekonomi sebenar terutamanya sektor PKS

vii) Menurunkan harga rumah

viii) Ke arah inflasi sifar

ix) Ke arah pengangguran sifar graduan dan anak muda

x) Memperkukuhkan ekonomi negara


MUHAMMAD ZAHID ABDUL AZIZ ialah timbalan pengerusi, Gerakan Keadilan Monetari Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS