Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila platform komunikasi kita dikuasai sektor teknologi, keadaan telah berbeza dengan 10-20 tahun dahulu. Kita masih mampu berkomunikasi antara satu sama lain walaupun tidak menggunakan suara. Dengan ledakan komunikasi secara digital ini, menjadi suatu yang janggal apabila ada yang ketinggalan dan masih tidak mampu untuk berada dalam era yang sama. Ditambah dengan keadaan kita berada dalam pandemik ini, memaksa kita mengoptimumkan penggunaan peranti digital.

Adalah menjadi ketidakpuasan hati, apabila timbul isu-isu berkaitan akses digital kepada pendidikan. Umum maklum dengan keadaan Covid-19 ini, semua pelajar sekolah mahupun mahasiswa di universiti terpaksa menjalani pembelajaran secara dalam talian. Namun tidak semua antara mereka yang mampu menjalani norma baharu ini. Kisah Veveonah Mosibin, seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan akses internet di kawasan rumahnya, Pitas, Sabah sudah cukup membuktikan masih ramai lagi yang tidak mampu menjalani norma baharu ini.

Dengan penutupan sekolah sehingga Januari tahun hadapan, pelajar sekolah terpaksa meneruskan pembelajaran melalui dalam talian. Bagaimanapun, kajian KPM telah menyatakan bahawa 1.7 juta pelajar tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer yang membolehkan mereka belajar secara dalam talian. Manakala lebih daripada 52% pelajar di negeri Sabah tidak mempunyai kemudahan akses ini. Sedang kita berlumba ke arah era pendigitalan secara total, masih ramai yang belum mampu berada dalam perlumbaan sebenar. Isu terbesar kepada akses ini ialah soal kemiskinan yang sebenar dialami sehingga tidak mampu mempunyai peranti digital ini. Jangan dilupakan juga soal infrastruktur menjadi persoalan terbesar walaupun saban tahun belanjawan negara akan membawa agenda digital dan infrastruktur.

Melihat kepada peranan sebagai ahli komuniti, terdapat keperluan untuk sentiasa cakna dan menyediakan kemudahan untuk akses ini di tempat sendiri. Di Hulu Langat, saudara Ariff Affandi menggerakkan tuisyen secara percuma untuk pelajar asnaf tingkatan lima yang bakal menjalani peperiksaan SPM tahun hadapan. Dengan menggunakan modal sendiri, graduan Universiti Leeds ini menyewa satu rumah kedai khas digunakan sebagai pusat tuisyen untuk pelajar asnaf. Adab Youth Garage (AYG) yang digerakkan oleh sebilangan pekerja belia turut menyediakan kelas percuma SPM di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Bangi. AYG menyediakan satu ruang yang kondusif dengan mematuhi semua SOP untuk kegunaan anak-anak, remaja dan belia di kawasan kos rendah.

Selain itu terdapat salah satu platform yang dapat memudahcarakan bantuan digital ini iaitu equrban2u.com.my (EQ2U). Mirip konsep portal/aplikasi Online Shopping, EQ2U menyediakan peluang kepada masyarakat untuk mengiklankan peranti-peranti digital untuk diwakafkan dan disumbangkan.

Masyarakat perlu melihat dari sudut peranan diri masing-masing dalam aspek kebajikan bagi memastikan akses pendidikan dalam pandemik ini dapat dirasai semua golongan. Kita tidak boleh lagi hanya bergantung pada usaha kerajaan dan membungkam diri. Keharusan untuk menggerakkan agenda merakyatkan inovasi perlu digembleng bersama bagi membantu mencapai kestabilan sosioekonomi.

Era digital perlu keluar daripada bendung mimpi dan diubah realitinya oleh setiap daripada diri kita sekarang!

ZAKIR ABDUL Razak ialah mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS