Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Pendidikan untuk semua – kecuali kanak-kanak autisme?

Perkataan ‘istimewa’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ditakrifkan sebagai kelebihan atau keutamaan, lain daripada yang lain.

Persoalannya, benarkah kita memberi kanak-kanak istimewa ini keutamaan yang wajar mereka terima?

Berbeza dengan negara negara jiran atau negara Barat, kita tiada suatu data lengkap berkenaan taburan kanak-kanak autisme di negara ini.

Sekadar berpandukan nisbah yang didapati dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, iaitu 1:68 dan 1:100 masing-masing. Malaysia mungkin mempunyai lebih daripada 400,000 kanak-kanak autisme.

Tapi, adakah data itu sesuai dengan negara kita? Atau mungkin kita ada jauh lebih ramai daripada angka itu?

Setiap tahun, setiap pelajar yang didaftarkan di mana-mana institusi pendidikan kerajaan bermula dari prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi akan menerima Bantuan Geran Per Kapita dari Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menampung kos pembelajaran.

Sekitar empat tahun lepas, bantuan tersebut bernilai RM800.

Pastinya kini, bantuan tersebut lebih tinggi nilainya, barangkali mencecah sehingga RM1,000.

Bersama bantuan ini, boleh kita laungkan pendidikan memang untuk semua tanpa perlu risau akan sebarang kekangan kewangan.

Cuma persoalannya, bagaimana dengan kanak-kanak autisme yang tidak diterima masuk ke sebarang institusi pendidikan awam, malah kadangkala ditolak dari taska kerana kanak kanak autisme ini susah untuk ditangani?

Ditinggalkan tanpa sebarang pilihan, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak autisme terpaksa menghantar anak-anak mereka ke institusi terapi dan pendidikan swasta bagi memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak istimewa ini.

Tetapi, yuran institusi pendidikan autisme swasta memerlukan kos secara purata RM2,000 – RM 2,500, malah ada yang mencecah hingga RM13,000 sebulan!

Adakah masih ada bantuan geran perkapita bagi mereka ini?

Percaya atau tidak, jauh lebih mudah untuk mendapatkan dana bagi membangunkan sebuah institusi pendidikan swasta berbanding membangunkan sebuah pusat terapi autisme.

Dalam kawasan Lembah Klang sahaja, kita boleh lihat sebuah institusi pendidikan swasta hampir setiap 10km!

Ini kerana institusi pendidikan swasta, selain daripada menawarkan silibus pembelajaran yang diubahsuai dari negara-negara maju, institusi institusi ini juga adalah satu perniagaan yang amat menguntungkan.

Maka, lebih ramai orang berkenan untuk melaburkan dana dalam institusi pendidikan swasta berbanding pusat terapi autisme.

Jadi, adakah kanak-kanak autisme suatu pelaburan yang merugikan?

Tidakkah kanak-kanak autisme juga berhak mendapatkan pendidikan yang setara dengan kanak-kanak lain, jika tidak lebih berhak?

Hanya kerana kanak-kanak autisme tidak mampu menyuarakan pendapat atau keinginan mereka, tidak bermakna mereka tidak mahu atau tidak perlu.

Malah kanak-kanak autisme ini lebih memerlukan pendidikan yang istimewa dan unik bagi membina kemahiran hidup mereka, di samping membolehkan mereka hidup berdikari pada masa hadapan.

Sebagai contoh, Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (Insani) adalah satu institusi yang menawarkan pendidikan dan terapi berkualiti tinggi kepada kanak-kanak autisme, tetapi tanpa meletakkan diri ibu bapa atau penjaga mereka di hujung gaung kemiskinan.

Insani bermula untuk memberi jawapan kepada persoalan ramai ibu bapa anak-anak autisme; Mampukah anak saya hidup berdikari apabila saya tiada bersamanya nanti?

Insani percaya bahawa anak-anak autisme mempunyai hak yang sama seperti anak-anak lain bagi pendidikan yang baik, berstruktur dan berkualiti tinggi.

Tetapi, perjalanan ini sangat tidak mudah, kerana mendapatkan dana bagi sebuah pusat terapi autisme jauh lebih sukar dari yang dijangka.

Mungkin kerana Insani memilih untuk melaburkan tenaga dan masa kami bagi pulangan modal insan, dan bukannya pulangan kewangan?

Jadi, persoalan yang wajar kita tanyakan, benarkah pendidikan untuk semua?


MUNQIZA NAQHIYA adalah eksekutif penyelidikan di Yayasan Pendidikan Insani, sebuah organisasi menyokong perkembangan pusat autisme untuk menampung keperluan keluarga berpendapatan rendah.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS