Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) melihat statistik 12,705 pelajar IPT telah berdaftar dan menggunakan aplikasi Sugarbook sebagai sebuah perkara yang merisaukan.

Dianggarkan bilangan tersebut meningkat sebanyak 40% sejak kegawatan pandemik Covid-19 bermula.

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman sesawang Sugarbook semalam dilihat satu tindakan awal untuk membendung kerisauan ini.

Pepias prihatin jika benar aplikasi sebegini mengundang kepada aktiviti pengeksploitasian dan merendahkan kedudukan wanita demi mendapatkan kelebihan peribadi sugar daddy, ia dipercayai bakal merisikokan pelajar IPT kepada kes eksploitasi seksual dan penganiayaan (SEA).

Pepias menyambut baik tindakan penubuhan sebuah jawatankuasa melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk meneliti perkara ini dalam aspek perundangan, sosial, pencegahan dan intervensi ke atas pihak terlibat.

Pada masa yang sama Pepias mencadangkan pihak KPT untuk mengenal pasti situasi sebenar pelajar yang menggunakan aplikasi tersebut dengan melihat faktor kos sara diri.

Pepias juga mencadangkan langkah awal dengan melaksanakan program kesedaran tentang prosedur berkaitan kes SEA.
Pepias memandang serius isu ini kerana pembangunan modal insan dalam kalangan belia wanita masih perlu diperkasakan dengan proaktif, lebih-lebih lagi dalam kalangan mahasiswa.

Oleh itu, Pepias sentiasa membuka ruang kerjasama kepada semua pihak yang senantiasa bersama-sama berganding bahu memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita terutamanya belia dan mahasiswa universiti.


MUHAMMAD ZAKIR ABDUL RAZAK ialah setiausaha agung Pepias.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS