Sambutan hari kemerdekaan pada 31 haribulan Ogos telahpun berlalu dan negara kita telah merdeka selama 49 tahun lamanya. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah adakah rakyat benar-benar merdeka? Adakah hari kemerdekaan benar-benar dirasai oleh semua rakyat ?
Walaupun Malaysia adalah negara berbilang kaum, masih ada golongan atasan yang masih berani bermain isu perkauman. Malangnya ada yang menggunakan isu perkauman untuk mencari nama. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah kenyataan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menuduh kaum Cina akan mengambil kesempatan jika Umno lemah.
Adakah negara kita benar-benar akan merdeka selamanya jikalau pemimpin negara bersifat perkauman? Negara kita dapat mencapai kemerdekaan bukan kerana sumbangan dari satu kaum sahaja, tetapi oleh semua kaum. Kaum Melayu, Cina dan India telah banyak berkorban untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris. Mengapakah setiap kaum masih lagi tidak tahu berterima kasih antara satu dengan yang lain?
Pemimpin yang bersifat perkauman akan memberi kesan negatif yang serius kepada rakyat yang berbilang kaum. Sifat perkauman adalah racun yang paling berbisa dalam sesebuah negara kerana ia akan merosakkan perhubungan antara kaum.
Oleh itu, pemimpin negara tidak harus mempunyai sifat tersebut kerana jikalau mereka bersifat perkauman, rakyat juga akan bersifat perkauman. Pemimpin negara sepatutnya memberi laluan yang betul kepada rakyat dan bukannya memberi laluan ke Holland seperti yang diperkatakan oleh (Presiden Gerakan) Datuk Seri Lim Keng Yik.
Khairy patut meminta maaf kepada kaum Cina atas kenyataannya yang bersifat perkauman. Memang benar setiap parti politik bertanggungjawab menjaga hak setiap kaum. Tetapi, cara Khairy menyedarkan ahli Umno adalah salah sama sekali kerana kenyataannya mempunyai
sentimen perkauman.
Pemimpin seharusnya pintar dan cekap ketika mencari jalan menyedarkan ahli-ahlinya tanpa mengguris hati kaum yang lain. Jikalau sifat perkauman tidak dihapuskan, negara kita hanyalah merdeka atas nama sahaja dan Malaysia yang aman damai memerlukan pemimipin yang cekap dan bertimbangrasa untuk mencapai wawasan 2020.
