Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Fahami perlembagaan, undang-undang tertinggi negara

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama negara Malaysia dan semua undang-undang perlulah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin keabsahan peruntukan tersebut.

Perlembagaan merupakan asas rujukan bagi rakyat dalam memperoleh dan menjamin hak asasi sendiri seperti kebebasan bergerak, bercakap, berhimpun, berpersatuan, beragama dan lain-lain kebebasan seperti termaktub dalam Bahagian Dua Perlembagaan.

Beberapa isu semasa boleh dikait rapat dengan perlembagaan.

Pelantikan perdana menteri

Kuasa pelantikan ketua kerajaan adalah terletak pada budi bicara DYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sepertimana Perkara 40(2)(a) Perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa baginda sebagaimana Perkara 43(2) (a)dengan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Pelantikan perdana menteri mustahak demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan supaya kehidupan dan kesejahteraan rakyat terlindung.

Perdana Menteri juga merupakan seorang anggota pentadbiran dalam maksud Perkara 160(2).

Pada tahun 2019, Mahkamah Persekutuan dalam satu kes memutuskan bahawa Perdana Menteri juga adalah seorang pegawai awam dan perlulah bertanggungjawab ke atas tindakan sendiri.

Perdana menteri perlu mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan YDPA sebagaimana dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

Perdana menteri hendaklah terus memegang jawatan tersebut sehingga pembubaran parlimen untuk pilihan raya ataupun telah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat setelah gagal undian majoriti. Jikalau seseorang perdana menteri gagal mendapat majoriti maka beliau hendaklah meletakkan jawatan atau meminta YDPA untuk membubarkan parlimen sepertimana Perkara 43(4).

Jawatan timbalan perdana menteri

Jawatan timbalan perdana menteri (TPM) merupakan satu konvensional dan protokol kerajaan. Jawatan ini pertama kali disandang oleh Tun Abdul Razak Hussein pada 31 Ogos 1957.

Pelantikan timbalan perdana menteri tidak dinyatakan dalam perlembagaan namun penyandang berperanan penting untuk membantu perdana menteri dalam melaksanakan kerja pentadbiran negara dan memenuhi harapan, janji dan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Pengisytiharan darurat

Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat sepertimana Perkara 150(1) dengan berpuas hati bahawa adanya berlaku ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam.

Ordinan Kuasa-Kuasa Perlu, Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) dan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 juga dimasyhurkan sebagaimana Fasal 150 (2B) dan satu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat telah ditubuhkan untuk memberikan nasihat berkenaan darurat.

Jawatankuasa bebas- elibatkan semua wakil parti dan pakar bidang yang dikepalai oleh bekas Ketua Hakim Negara.

Tindakan kerajaan mengumumkan darurat dilihat sebagai langkah kerajaan bersifat keprihatinan dan cuba sedaya upaya untuk memerangi pandemik serta membela rakyat dengan pakej bantuan ekonomi.

Semakan kehakiman

Semakan kehakiman ialah proses kehakiman yang membolehkan individu memohon kepada mahkamah atasan untuk memastikan pelaksanaan mana-mana fungsi awam dan kewajipan adalah menurut kedaulatan undang-undang negara bagi menjamin ketelusan pentadbiran dan kesaksamaan semua rakyat.

Punca kuasa semakan kehakiman terletak pada Perkara 121 Perlembagaan, Aturan 53 Kaedah Mahkamah 2012 dan seksyen 25 serta Perenggan 1, Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Proses semakan kehakiman ini biasanya terdiri daripada dua peringkat iaitu permohonan kebenaran dan pendengaran substantive.

Contohnya, mahkamah tidak membenarkan permohonan semakan apabila terdapat individu yang mencabar pengisytiharan darurat apabila ia dikira di luar bidang kuasa mahkamah (non-justiciable).

Menjamin kesucian agama

Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dijamin bawah Perkara 3(1) Perlembagaan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman.

Negeri berkuasa menggubal undang-undang biasanya Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam untuk melarang penyebaran agama lain kepada Muslim.

Keharmonian negara telah dijamin dengan peruntukan sebegini dan rakyat dapat dengan sejahtera.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kerajaan Malaysia perlu menerapkan pendidikan Perlembagaan dan Undang-Undang Malaysia (LOM) yang komprehensif dalam sukatan pelajaran bagi membolehkan pelajar untuk mengenali undang-undang tertinggi negara dengan lebih mendalam lagi bak kata pepatah “tak kenal maka tak cinta”.

Rakyat Malaysia perlu terus menjunjung dan mematuhi prinsip perlembagaan pada segala masanya demi kemaslahatan sejagat.


LIM SAN SHIEN merupakan mahasiswa Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya dan pengasas serta Yang Dipertua Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya. Dia turut merupakan Ikon Siswa (Kepimpinan) Johor dan sentiasa aktif menyumbang idea dan tenaga demi negara tercinta. Lim boleh dihubungi melalui [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS