Malaysiakini
SURAT

SURAT | Pekerja wanita sektor pembuatan gesa jaminan cuti bersalin berbayar 98 hari

Idawati Idrus & Selvakumari Abraham

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Mac 2021, 12:11 pagi

Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia, mewakili beribu-ribu pekerja-pekerja wanita di sektor pembuatan di Semenanjung Malaysia, menggesa kerajaan Malaysia segera meratifikasikan Konvensyen 183 dan Konvensyen 190 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) demi pelindungan hak-hak wanita.

Walaupun Malaysia telah dikategori sebagai negara berpendapatan menengah ke atas (upper-middle income countries), hak-hak dan faedah-faedah pekerja wanita masih ketinggalan zaman.

Misalnya cuti bersalin berbayar Filipina telah bertambah ke 105 hari, di Thailand telah bertambah ke 98 hari, pekerja wanita Malaysia di sektor swasta masih menikmati cuti bersalin berbayar 60 hari sahaja di bawah Akta Kerja 1955.

Lain pula dengan sektor awam yang mendapat cuti bersalin 90 hari.

Konvensyen 183 berkenaan pelindungan materniti mewajibkan kerajaan menjamin cuti bersalin berbayar 98 hari (14 minggu), ia menjadi satu piawaian antarabangsa apabila ILO meluluskan konvensyen tersebut pada tahun 2000.

Sebenarnya, Konvensyen 103 ILO pada tahun 1952 telah mewajibkan cuti bersalin berbayar 84 hari (12 minggu). Jelasnya, undang-undang sedia ada kita telah gagal mencapai piawaian antarabangsa 70 tahun dahulu.

Selepas MTUC dan MEF menolak Konvensyen 190 berkenaan keganasan dan gangguan (seksual) dan kerajaan Malaysia mengambil sikap berkecuali dalam persidangan ILO di Geneva pada Jun 2019, pimpinan baru badan-badan tripartit belum menunjukkan pendirian jelas mereka dalam isu ratifikasi Konvensyen 190.

Ratifikasi Konvensyen 190 adalah penting kerana undang-undang Malaysia kini tidak mencukupi untuk membanteras perlakuan gangguan seksual di tempat kerja dan di ruang awam.

Akta Kerja 1955 meletakkan semua tanggungjawab ke atas majikan dalam siasatan gangguan seksual, mekanisme ini tidak mencukupi melindungi hak-hak pekerja wanita sebab jika pihak atasan di tempat kerja merupakan pelaku gangguan seksual, umumnya pihak pengurusan akan berpihak kepada pihak atasan.

Kerajaan harus memahami hubungan kuasa tidak sama rata di tempat kerja dan cuba menyelesaikan punca masalah ini.

Setelah meratifikasi Konvensyen 190, kerajaan harus menggubal atau meminda undang-undang untuk mencegah keganasan berdasarkan gender dan gangguan seksual di dunia kerja.

Kami menyeru kerajaan sekurang-kurangnya memperkasakan mekanisme siasatan gangguan seksual dalam Akta Kerja 1955, malah kami juga memberi sokongan sepenuhnya kepada inisiatif menggubal satu Akta Antigangguan Seksual tersendiri.

Kuasa kepada wanita, hak saksama antara wanita dan lelaki!


IDAWATI IDRUS dan SELVAKUMARI ABRAHAM ialah pengerusi Bersama Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.