Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Vaksin: Salahkan negara maju ibarat lepas batuk di tangga

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan untuk mengambil langkah segera berikutan peningkatan trend Ro melebihi 1.0, yang menyaksikan peningkatan trend jangkitan Covid-19 di negara kita semakin menjadi-jadi.

Sebanyak 1,889 kes baru Covid-19 dan lapan kematian dilaporkan semalam, rekod tertinggi sejak 40 hari yang lalu.

Keadaan ini juga menyaksikan banyak daerah di Kelantan diisytiharkan PKP selama dua minggu.

Kerajaan digesa untuk menguatkuasakan SOP yang ketat selama tempoh PKP tersebut, agar ia tidak menjadi PKP separa masak lagi.

Gambar hiasan

Sewajibnya, SOP dilaksanakan tanpa mengikut pangkat dan darjat, antara kayangan dan marhaen.

Amat memilukan apabila PKP yang dilaksanakan bakal memberi kesan lebih mendalam kepada rakyat marhaen golongan B40.

Kluster kayangan tidak perlu berfikir tentang “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Rakyat marhaen yang kini terpaksa “kais pagi dan petang” hanya untuk sesuap nasi makan malam sahaja.

Vaksin: ‘Kita terkebelakang’

Mengikut Fasa 1 Program Vaksinasi, sejumlah besar pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri sudah diberikan dua dos vaksin Covid-19.

Seharusnya, pemimpin kerajaan juga patuh SOP, walaupun sudah divaksin.

Mungkin parlimen juga sudah boleh dibuka semula kerana semuanya sudah divaksin.

Prestasi vaksinasi Covid-19 di Malaysia amat perlahan jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura dan Indonesia.

Pada masa yang sama, negara kita juga terkebelakang jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Bangladesh dan India.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri bertanggungjawab umpama melepaskan batuk di tangga apabila menyalahkan kelembapan penerimaan vaksin dan monopoli negara maju sebagai penyebab kadar vaksinasi negara kita perlahan, iaitu hanya 1.88% sahaja yang telah divaksin daripada jumlah keseluruhan penduduk negara kita.

Persoalannya, adakah Bangladesh setaraf dengan negara maju yang lain berbanding Malaysia?

DPIM berharap kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak mengulangi kesilapan PKP2.0 yang separuh masak dengan penuh kelonggaran bagi kilang-kilang, pusat beli belah, kedai-kedai emas dan sebagainya.

Akibatnya, PKP2.0 gagal mencapai objektif apabila kes harian masih berlegar antara 1,000 hingga 2,000 sehari.

Pada masa yang sama, menteri-Menteri banyak melanggar SOP PKP atau PKPB dengan memperhebat penganjuran majlis-majlis besar dan tidak penting seperti fun ride basikal.

Akibatnya, rakyat turut mengambil mudah untuk patuh kepada SOP yang ditetapkan.


SHAHIR ADNAN ialah ketua DPIM merangkap timbalan pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS