Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
SURAT | ‘Lockdown’: Beri keadilan buat peniaga Malaysia

Di saat peniaga Malaysia sesak mempertahankan perniagaan, peniaga China bergembira mengepos barang-barang terus kepada pembeli di Malaysia tanpa dikenakan cukai, hinggakan barang 20sen pun mereka kirim dengan mudah sekali. Adakah peniaga kita boleh menjual pula kepada mereka? Ini saya akan jawab kemudian.

Itulah yang berlaku ketika PKP pertama. Rakyat Malaysia hebat berjoli di atas talian. Mereka semua ada wang yang boleh dibelanjakan. Jadi mereka mahu beli apa yang mereka mahukan. Tidak kira daripada mana, asal saja barang itu yang dihajati.

Walaupun kerajaan menyatakan hanya perniagaan barang asas saja yang dibenarkan ketika itu, nampaknya kemahuan rakyat Malaysia memang luar biasa. Adalah ini kesalahan rakyat Malaysia juga? Selain yang asyik dikatakan tidak patuh SOP sehingga kes mencanak setiap hari.

Ketika PKP1.0, masih ramai yang mempunyai wang banyak apabila morotarium automatik yang diberikan pihak bank. Pekerja sektor kerajaan langsung tidak terjejas, malah masih diberikan bonus walaupun banyak jabatan yang langsung tidak berfungsi berbulan-bulan. Malah ramai pula yang menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), untung besar pekerja kerajaan. Nampaknya PRU nanti jutaan penjawat awam pasti mengundi untuk PN.

Ini berbeza dengan peniaga yang seksa mencari wang, beratur panjang di pajak gadai. Mereka ini kebanyakannya peniaga kecil, ataupun pekerja swasta yang ditamatkan kerja. Perasaan malu terpaksa dibuang untuk sesuap nasi, untuk anak-anak yang menanti kelaparan di rumah. Namun, bagi mereka yang punya wang pula, bergasak berjoli dalam talian kerana hanya sedikit saja peniaga di Malaysia yang dibenarkan beroperasi.

Maka mereka pun membeli daripada China. Wah, untung betul rakyat China. Seronok melayan pelanggan daripada Malaysia, berbilion duit gaji kerajaan hangus pada mereka. Peniaga kita pula jangan harap mahu jual barang dengan mereka, sistem aplikasi itu sendiri pun tidak membenarkan itu berlaku. Jadi wang Malaysia hanya boleh keluar, masuk tak boleh.

Walaupun 80 peratus memang barang-barang yang dijual di Malaysia buatan China, tapi melalui perniagaan tempatan, kerajaan masih dapat menjana pendapatan dari hasil jualan. Bos akan membayar gaji anak-anak Malaysia, rakyat akan dapat wang dan kerajaan juga pungut cukai pendapatan dan perniagaan.Tapi jika rakyat Malaysia terus membeli daripada peniaga China, apa yang kerajaan Malaysia dapat? Malah penyedia aplikasi juga bukan berasal dari Malaysia. Ini semua juga salah rakyat Malaysia kerana tidak sahut seruan kerajaan untuk membantu peniaga tempatan, rakyat juga yang salah.

Sekat jualan barangan bukan asas dari luar

Sistem dalam sesebuah organisasi sangat penting. Jika kerajaan menyatakan semua rakyat perlu bersama berkorban untuk menentang Covid-19, semua masalah rakyat perlu didengar dan diselesaikan dengan betul.

Kerajaan harus menyekat penjualan bukan asas kepada syarikat e-dagang, jadi peniaga seperti Ah Lok yang menjual aksesori telefon berasa adil kerana peniaga China juga tidak dapat berniaga sepertinya sewaktu lockdown.

Mudah saja, semua barang ada di syarikat penghantaran,jika penguat kuasa menyekat barang bukan asas.Tentulah tiada perniagaan ini. Maka duit gaji pekerja kerajaan dan yang lainnya dapat diselamatkan, lebih ramai akan menyimpan di ASB atau Tabung Haji.

Malah bila tamat lockdown, peniaga e-dagang dan runcit di Malaysia dapatlah merasai bonus dari rakyat Malaysia yang mula berbelanja. Kerajaan juga dapat jana cukai pendapatan kepada negara.

Peniaga terpaksa curi-curi buka kedai untuk mengambil barang dan menjual secara dalam talian. Mengapa? Kerana mereka rasa tidak adil, peniaga China bebas menjual tapi kita kena sekat dari jual barang yang sama.

Jadi ini juga salah rakyat Malaysia yang tidak mematuhi saranan kerajaan untuk hanya membeli barang asas. Para peniaga bukan asas pula hanya boleh meleleh air liur melihat lambakan kotak yang sampai daripada China. Jam tangan, rak baju pensel warna, mainan kanak-kanak - semuanya dihantar terus dari China semasa lockdown. Bonus, bonus, bonus lagi, peniaga Malaysia gigit jari.


MOHD ARIFF ialah warga Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS