Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Zafrul umpama korek lubang untuk diri sendiri

Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul menulis panjang di akhbar sebab-sebab mengapa dia tidak mahu beri rakyat moratorium pukal.

Secara ringkas dan mudah faham, dia kata sebabnya ialah kerajaan telah beri macam-macam bantuan kepada rakyat, oleh itu memberi moratorium pukal ini seperti terlebih beri bantuan kononnya umpama "pakai tukul untuk pecah kacang".

Oleh itu jika kita tafsir perumpaan Zafrul ini, masalah rakyat berkenaan pinjaman bank ini kononnya umpama kacang saja, tidak perlulah hendak bantu lebih-lebih.

Dan dia kata dasar moratorium pukal ini adalah dasar yang populis.

Oleh itu, dia kata lagi, hanya kerana kita (kerajaan) boleh (bantu), tidak bermakna kita (kerajaan) perlu bantu.

Dan sekali lagi dia kata dia (Menteri Kewangan) tidak ada kuasa untuk arah bank-bank untuk beri moratorium kepada rakyat.

Tetapi pada masa yang sama, dia guna hujah yang pemegang-pemegang saham terbesar bank-bank ini adalah institusi-institusi kerajaan seperti KWSP (yang dulu tidak mahu beri i-Sinar), PNB, Lembaga Tabung Haji, Socso, dan KWAP.

Oleh itu dia lawan hujahnya sendiri.

Sebab jika institusi-institusi kerajaan ini yang kebanyakannya di bawah Menteri Kewangan yang memegang saham (oleh itu pemunya) terbesar bank-bank ini, sebagai pemunya, takkanlah kerajaan terutamanya Menteri Kewangan tidak ada kuasa atau pengaruh langsung untuk arah bank-bank ini?

Kenyataan Zafrul ini tidak masuk akal, mengarut dan kebudak-budakan.

Jika kita ikut kenyataan Zafrul ini, maka Zafrul umpama mengaku bahawa dia adalah Menteri Kewangan yang paling lemau dalam sejarah (mungkin sama lemau dengan Menteri Kewangan "RM30" sebelum dia semasa era 22 bulan dahulu).

Bank-bank dan institusi-institusi kewangan adalah syarikat-syarikat yang besar. Dalam masa krisis pun mereka membuat untung berbillion ringgit dan mempunyai rizab yang besar.

Mereka (bank-bank ini) boleh tampung untuk ikat perut yang buncit selama beberapa bulan sahaja, tidak seperti kebanyakan rakyat yang rata-rata kerugian dan tidak mempunyai rizab langsung semasa krisis.

Zafrul kata, jika kerajaan arah moratorium ini kepada bank, bank akan hilang keuntungan, dan bila ini berlaku ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kerana ia kononnya akan menghentikan manfaat ekonomi daripada aliran modal yang cekap terutama kepada pasaran kewangan dan pasaran modal (untuk pelaburan).

Mengenai aliran modal yang disebut oleh Zafrul untuk pelaburan dan sebagainya, kebanyakan aliran modal dari bank ini hanya berkitar di antara syarikat-syarikat dan komuniti korporat dan orang-orang kaya, bukannya antara rakyat biasa.

Aliran modal ini adalah terhad dan secara efektifnya tidak menyeluruh dan tidak inklusif.

Jika kerajaan arah moratorium pukal, aliran modal yang kebanyakannya 'terhad' kepada komuniti korporat ini akan lebih terbuka dan pergi lebih jauh dalam bentuk aliran tunai kepada rakyat dengan lebih inklusif walaupun buat sementara waktu di kala krisis.

Inklusiviti kewangan tidak bermaksud populisme, malah ia jauh dari itu.

Inklusiviti kewangan ini penting untuk merangsang ekonomi dari segi penggunaan domestik yang amat perlu digerakkan segera untuk pemulihan ekonomi.

Umpama korek lubang sendiri

Ekonomi negara bukan sahaja hanya melibatkan pasaran kewangan dan pelaburan modal. Sektor terbesar ekonomi negara adalah penggunaan domestik.

Di kala krisis, penggunaan domestik ini yang merudum dan menjadi masalah utama dan perlu diberi fokus dahulu, bukannya pasaran modal dan pelaburan.

Di kala darurat dan krisis, pelaburan adalah bukan isu kritikal berbanding penggunaan domestik rakyat; Siapa yang ingin buat pelaburan dan membesarkan perniagaan di kala darurat dan ketidaktentuan wabak? Ia bukanlah keutamaan (prioriti) utama waima pelabur di masa ini.

Keutamaan utama sepatutnya adalah meningkatkan akses dan aliran tunai rakyat biasa.

Ini penting untuk seluruh ekosistem ekonomi termasuklah bank-bank.

Kerana secara ringkas, jika rakyat tidak ada duit, mereka tidak boleh beli barang, jika mereka tidak beli barang, perniagaan-perniagaan akan tutup, bila perniagaan-perniagaan tutup, bank pun akan lingkup.

Oleh itu perkara ini (aliran wang kepada rakyat) inilah yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dahulu, kerana masalah rakyat ini yang sedang kritikal dan ia boleh dibantu dengan pemberian moratorium pukal.

Bukannya aliran modal dan keuntungan bank kepada sektor korporat, pelaburan, dan institusi-institusi kewangan yang besar dan tidak akan kebuluran.

Dan dengan moratorium pukal, hampir semua duit ini tetap akan mengalir di dalam negara, ia tidak pergi ke tempat lain. Dengan ini ia akan dapat membantu pemulihan ekonomi Malaysia dengan lebih efisyen dan efektif dengan segera.

Dalam minggu ini Zafrul telah buat pelbagai kenyataan dan sebab musabab serta alasan hanya kerana dia tidak mahu bagi rakyat moratorium pukal.

Saya lihat apa yang Zafrul buat ini seperti mengorek lubang untuk diri sendiri, lebih banyak kenyataan dia buat, lebih dalam lubang yang dia korek untuk dirinya sendiri.

Saya harap dia tidak heret rakyat untuk terkambus sekali bersamanya.


ISHAM JALIL ialah Ketua Penerangan BN Selangor

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS