Walaupun Lee Kuan Yew sudah menghantar surat penjelasan dan "meminta maaf" kepada Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaannya bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, tetapi apakah muslihat beliau membuat dakwaan tersebut?
Kuan Yew bukan tokoh politik biasa di rantau ini. Pengalamannya sangat luas dan dalam. Pengetahuannya pun tinggi. Dia telah berjaya membangunkan Singapura sehingga menjadi pusat perdagangan dan kewangan yang penting.
Di segi lain pula, dia juga boleh dikatakan berhasil menekan musuh-musuh politiknya melalui bermacam-macam tindakan dan cara yang tidak demokratik, seperti merampas hak kebebasan mereka untuk bersuara, berorganisasi dan sebagainya, termasuk penggunaan ISA yang mahazalim itu.
Sebagai Perdana Menteri, dia berkuasa selama 31 tahun. Dalam tempoh itu, entah berapa ratus atau mungkin ribu tokoh politik berhaluan kiri, kesatuan sekerja dan pelajar Cina yang telah dipenjarakannya. Said Zahari, wartawan Utusan Melayu yang progresif itu, pernah ditahan di bawah ISA selama 17 tahun.
Begitu juga dengan Chia Thye Poh, bekas Ahli Parlimen Barisan Sosialis yang ditahan pada 28 Oktober 1966. Chia merupakan pemegang rekod paling lama ditahan oleh Lee Kuan Yew selama 23 tahun tanpa bicara!
Apabila Goh Chok Tong menggantikan tempatnya, Lee tidak berundur dari arena politik, sebaliknya dia meletakkan dirinya sebagai menteri kanan. Kini dalam kabinet anak lelakinya Lee Hsien Loong, dia menyandang jawatan sebagai menteri mentor pula. Pendek kata, dalam usia yang sudah mencatat 83 tahun pun, dia masih lagi di tampuk kekuasaan.
Mungkin juga, oleh kerana sifat pemerintahannya yang ala fasis dahulu, maka hingga hari ini, dia terus-menerus dibayangi kebimbangan untuk melepaskan sepenuhnya cengkaman ke atas pemerintahan di Singapura.
Dengan latarbelakang tersebut, sangat susah bagi saya (walaupun dalam bulan puasa ini) untuk menerima mentah-mentah keikhlasan beliau "meminta maaf" itu serta mengisytiharkannya ke seluruh dunia.
Saya masih belum berpeluang untuk membaca keseluruhan kandungan surat penjelasan Lee kepada Abdullah. Tetapi, mengikut apa yang dilaporkan oleh media massa, dia telah meminta maaf atas kenyataannya itu.
"Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung," katanya dalam suratnya bertarikh 29 September.
Apakah Abdullah sudah merasakan 'keselesaan' itu selepas menerima surat tersebut? Pada hemat saya, sekiranya ditanyakan kepada Dr Mahathir Mohamad, saya percaya beliau akan bertambah marah. Melalui suratnya itu, langsung tidak nampak keikhlasan Lee atau sikap rendah hatinya untuk mengaku, apatah lagi membetulkan kesalahannya.
Lebih teruk lagi, dengan cara nakalnya, dia telah cuba pula untuk mengaitkan pihak yang ketiga iaitu "pemimpin sebelum anda" ke dalam senario ini. Dengan itu, bukankah sudah tampak kaki ular?
Sungguh, bukannya senang Kuan Yew hendak memohon maaf kepada sesiapapun, apa lagi Abdullah Ahmad Badawi.
Tetapi, diitinjau dari sudut lain pula, sama ada disengajakan ataupun tidak, dengan kenyataan perkaumannya yang provokatif dan kemudian 'meminta maaf' itu, Lee sebenarnya telah membantu menaikkan kredibiliti Abdullah yang merosot kebelakangan ini.
Sementara banyak orang Cina yang mungkin bersetuju dan menyokong Lee, tidak sedikit pula orang Melayu yang telah ditolak oleh arus perkauman itu, lalu berpaling semula dan memihak kepada Abdullah.
Sekiranya itulah yang menjadi muslihat Kuan Yew, agaknya dia sudah hampir-hampir berjaya. Tetapi walau apapun, Abdullah masih tetap boleh berterima kasih kepada Lee kerana telah membantu beliau untuk meneruskan agenda perkauman di Malaysia.
