Matawang bercirikan anti-rasuah
Dalam program 'Isu Semasa' baru-baru ini, saya tertarik untuk menyentuh salah satu isu yang dibangkitkan oleh pengerusinya, Datuk Anuar Zaini dalam menangani gejala rasuah. Seperti yang dibincangkan dalam program itu, wacana anti-rasuah seperti itu tidak lagi meriah diwacanakan di mana-mana.
Memang sukar menangani rasuah jika ia cuma terbeban kepada agensi-agensi tertentu saja. Kita juga tidak boleh bergantung kepada kempen anti-rasuah di media saja. Ini kerana, kempen itu bermusim, sedangkan agenda anti-rasuah itu mestilah dijalankan secara berterusan.
Lagi pula, kempen-kempen itu kadangkalanya kelihatan seperti tidak lagi menghairahkan masyarakat untuk menghidupkan wacana anti-rasuah. Salah satu objektif dan kaedah untuk memastikan wacana itu berterusan ialah dengan meletakkan matlamat melahirkan masyarakat anti-rasuah.
.
Apa yang berlaku kini ialah semangat mengganyang rasuah ini kelihatannya seperti hanya wujud di kalangan pihak tertentu dan mewakili agenda pihak atasan saja. Dalam mana-mana peradaban pun, kita dapat melihat, sesuatu agenda itu akan gagal jika pihak berkuasa sahaja yang berusaha membawanya, tetapi agenda itu tidak dikongsikan bersama rakyatnya.
Al-Quran memperincikan hal ini dalam surah Yusuf ayat 108. Dalam ayat itu disebutkan bahawa agenda dakwah dan tauhid itu mestilah, pertamanya dibawa oleh penguasa, lalu disambut pula oleh rakyatnya.
Atau, dalam kata lain, agenda itu mestilah disepadukan antara penguasa dan rakyat. Kalau agenda dakwah itu cuma dibawa oleh penguasa, tetapi tidak disambut rakyat, maka ia akan sia-sia. Lebih malang lagi jika agenda dakwah cuma terbeban oleh rakyat dan diketepikan oleh pihak penguasa.
Ringkasnya, gandingan agenda yang baik dan murni mestilah hadir dalam hati dan jiwa penguasa dan rakyat bersama-sama. Jika kita sudah sepakat untuk bersama mengganyang penyelewengan serta salahguna kuasa, maka dalam kes anti-rasuah ini, kita mesti memikirkan kaedah berkesan untuk memikat perhatian khalayak ke atas agenda ini dalam setiap sudut dan sendi kehidupan.
Menurut hemat saya, suatu kaedah terbaik untuk melahirkan masyarakat anti-rasuah ialah dengan memprogramkan minda setiap ahli masyarakat dengan meletakkan simbol dan lambang anti-rasuah di mana-mana sahaja.
Seperti yang disebutkan oleh Datuk Pirdaus Ismail dalam rancangan tersebut, hal anti-rasuah sudah wujud pada lencana penguatkuasa polis. Tetapi, bukankah ia hanya membabitkan pihak polis saja? Bagaimanakah kita dapat melibatkan semua pihak dalam agenda anti-rasuah ini? Apakah pula lambang yang harus ada pada masyarakat awam?
Salah satu cara terbaik ialah dengan mencetak pada wang kertas nilai-nilai murni seperti seruan semua kaum dan agama mengganyang amalan rasuah. Dalam sudut pandangan Islam, mungkin kita boleh letakkan ayat al-Quran dan hadis yang bermaksud 'pemberi dan penerima rasuah itu adalah penghuni neraka'.
Dan, ada banyak lagi nas-nas yang boleh kita letakkan pada wang kertas yang mengajak dan menyeru masyarakat supaya anti-rasuah. Dengan cara ini, kita harap sedikit sebanyak ia akan melahirkan perasaan gerun di hati perasuah dan penerima rasuah ketika mereka terpandang ayat-ayat suci tersebut.

