Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Kehidupan pasca penularan Covid-19 telah menyaksikan aneka cabaran ekonomi yang perlu ditempuh semua masyarakat dunia.

Di United Kingdom (UK)), angka berikut memberi gambaran jelas tentang realiti ekonomi semasa:

- Indeks Harga Makanan naik mendadak pada kadar 5.9 peratus pada Mac 2022, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
- Indeks Harga Sewa meningkat 12.9 peratus sejak tahun 2015.
- Harga bahan api meningkat sebanyak 54 peratus pada April 2022 di UK dan 24.8 peratus di Ireland mulai Mei 2022 yang disebabkan oleh krisis Ukraine-Rusia.
- Inflasi tertinggi sejak tahun 1992 di UK diunjurkan sebanyak 9 peratus pada April 2022 dan tertinggi sejak 40 tahun yang lalu di Ireland iaitu sebanyak 7.7 peratus pada bulan yang sama.

Semua angka ini membuktikan kos sara hidup sedang melambung tinggi di seluruh UK dan Ireland yang kesannya dirasai segenap lapisan masyarakat di sini lebih-lebih lagi pelajar tajaan JPA-MARA yang elaun mereka tidak berubah sejak tahun 2012.

Dalam pada itu, tinjauan yang dijalankan oleh JPA-MARA Special Operation pada Februari lalu menunjukkan di kota-kota utama seperti Bristol, Edinburgh dan London lebih 60 peratus pelajar tajaan JPA dan MARA yang majoritinya merupakan golongan B40 terbeban dengan perbelanjaan harian mereka.

Rata-rata pelajar tajaan JPA dan MARA di kawasan-kawasan ini terpaksa menanggung purata £500 - £730 (RM2,720 - RM3,970) sebulan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti yang mencakupi 60 peratus hingga 70 peratus daripada elaun diterima, meninggalkan mereka hanya 30 peratus hingga 40 peratus sahaja baki untuk perbelanjaan rumah, universiti, peribadi dan kecemasan.

Masalah kesenjangan pendapatan pelajar JPA dan MARA ini berpunca daripada klasifikasi elaun kawasan Zon A dan Zon B yang tidak selari dengan keperluan semasa sehingga menyebabkan pemberian elaun yang tidak setara dengan kos sara hidup berlaku.

Misalnya, elaun sara hidup yang diterima pelajar JPA dan MARA ketika ini di beberapa kota utama seperti London (£1,045) didapati jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 (setakat September 2021).

Akibatnya, perbezaan antara nilai tersebut terpaksa ditanggung kebanyakan pelajar melalui pemotongan bajet seperti dengan cara mengikat perut, mendapatkan penempatan yang jauh daripada universiti serta bekerja sambilan di luar waktu kelas semata-mata untuk menampung keperluan harian.

Jika dibiarkan keadaan ini dijangka menjadi lebih teruk dalam bulan-bulan akan datang.

Tambahan lagi, menurut Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar, 89 peratus pelajar tajaan MARA merupakan golongan bumiputera B40.

Pelajar-pelajar ini tidak mempunyai sumber kewangan lain bagi terus menampung keperluan pengajian mereka di luar negara.

Oleh sebab itu, satu langkah segera mesti digerakkan bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar-pelajar dalam kalangan B40 ini yang juga memegang tanggungjawab besar mengubah nasib keluarga.

Menyedari akan situasi kritikal ini, Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi bersama-sama membantu mencari penyelesaian segera untuk menangani krisis kos sara hidup yang melanda pelajar-pelajar tajaan JPA-MARA ini.

Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab menjalankan kajian terperinci berkenaan sebarang cadangan polisi sebelum dibentangkan kepada JPA, MARA dan kabinet untuk tindakan susulan.

Konsensus terbaik dalam usaha meningkatkan elaun sara hidup mengambil kira situasi ekonomi negara yang juga masih dalam fasa pemulihan pasca-Covid 19 perlulah dibincangkan segera bersama semua pemegang taruh.

Hal ini agar pelajar-pelajar harapan bangsa ini tidak terus terbeban dihimpit krisis kos sara hidup angkara konflik dunia yang tidak berpenghujung.


Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS