Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Pengerusi SPR tiada pilihan kecuali letak jawatan

Apabila Tan Sri Dato' Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), mengeluarkan perkataan "bodoh" yang ditujukan kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dipetik oleh pihak media ketika mengulas tindakan memboikot pilihanraya kecil Batu Talam, ia menggambarkan bahawa beliau sebenarnya dalam keadaan tertekan.

Perkataan "bodoh" yang diungkapkan di hadapan umum sebegitu memang agak kasar dan ia biasanya tidak diucapkan oleh seseorang yang terhormat dalam keadaan yang tenang dan biasa.

Apatah lagi yang dibodohkan oleh pengerusi SPR itu adalah sebuah parti politik yang juga merupakan pelanggan yang setia kepada badan tersebut selama lebih setengah abad lamanya.

Lebih menakjubkan, ianya keluar dari mulut yang sama, yang seminggu sebelumnya, mengakui SPR memang beroperasi dalam sistem dan ruang lingkup perundangan yang lapuk dan ketinggalan zaman. Dalam kata lain, SPR diakui oleh pengerusinya sendiri, tidak berupaya untuk memastikan perjalanan pilihanraya yang adil dan telus, tanpa rombakan strukturnya.

Apa sukarnya membersihkan daftar pemilih SPR daripada sebarang keraguan? Di zaman teknologi maklumat ini, nama orang yang telah lama mati, masih tersenarai dalam daftar pemilih bukan seorang dua, tetapi puluhan ribu nama. Kalau inipun tidak dapat diselesaikan oleh SPR, tentulah pengerusinya tidak layak untuk membodohkan sesiapapun melainkan dirinya sendiri.

Terdapat ratusan warga asing yang tidak layak mengundi, telah tersenarai dalam daftar pemilih SPR dan ini telah dibuktikan tanpa sebarang keraguan dalam kes petisyen pilihanraya Likas. Mahkamah mendapati SPR gagal mengambil tindakan mengeluarkan nama warga asing tersebut, walaupun pelbagai bantahan dibuat kepada suruhanjaya tersebut. Pengerusi SPR seharusnya telah meletakkan jawatan secara bermaruah ekoran penghakiman tersebut.

Pengendalian daftar pemilih adalah perkara asas yang seharusnya boleh ditangani secara tuntas oleh SPR dengan penuh tanggungjawab. Kalau inipun SPR tidak mampu, apa lagi yang boleh kita harapkan tentang aspek-aspek lain perjalanan pilihanraya seperti keadilan dan kesamarataan kepada parti politik yang bertanding.

Nasihat saya kepada Pengerusi SPR ini mudah sahaja. Anda dibayar gaji oleh rakyat untuk memastikan perjalanan pilihanraya yang adil, telus, bersih, dan berwibawa demi menjaga kelangsungan sistem politik negara. Sekiranya anda tidak mampu melakukannya, maka anda tidak ada pilihan selain meletak jawatan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS