Saya tertarik untuk memberi pandangan mengenai isu menukar nama bagi saudara baru yang memeluk Islam. Sebenarnya, isu ini telah lama diperkatakan oleh saudara baru dan juga di kalangan golongan agama, cuma ia tidak mendapat liputan sehinggalah keputusan Majlis Fatwa Perlis mengenainya diberi liputan oleh pihak media.
Saya tidak berhasrat untuk mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Perlis ataupun menyokong pihak yang mempertikaikannya. Cuma saya ingin mengajak pembaca memikirkan beberapa persoalan berkaitan isu ini.
Saya ingin memetik kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abd Rahman dalam akhbar Berita Harian bertarikh 12 Januari 2007, sebagai berkata: "Sebelum ini, bagi saudara baru, kita hanya putuskan nama awal perlu ada nama Islam, tetapi bin atau binti, tidak kisah. Sama ada mereka hendak kekalkan nama keturunan atau tidak, tidak mengapa."
Satu kenyataan lagi datangnya dari Pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perlis, Abd Rahim Abdullah, yang dilaporkan sebagai berkata: "Pada saya, dengan menukar nama kepada nama Islam, mungkin ini lebih memberi keselesaan kepada pergaulan antara saudara baru dengan umat Islam yang sedia ada. Dengan mengekalkan nama asal, mereka mungkin berasa kurang selesa dan mungkin mewujudkan rasa sangsi di kalangan masyarakat."
Daripada kenyataan di atas, kita dapati persepsi kedua-dua individu berkenaan dalam isu ini ialah keperluan "nama Islam" untuk saudara baru. Niat mereka mungkin baik, tapi cuba kita buat analisis yang lebih teliti mengenai "nama Islam" yang mereka nyatakan? Apakah yang dimaksudkan dengan "nama Islam"? Adakah Islam mentakrifkan sesuatu sebagai "nama Islam"?
Islam menetapkan kaedah umum untuk menamakan seseorang. Nama-nama yang tidak membawa satu maksud yang keji dan tercela, tidaklah dihalang. Ini terbukti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya, yang bermaksud dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Anak perempuan Umar bernama 'Ashiyah' (si durhaka). Maka di tukar oleh Rasulullah SAW dengan Jamilah (si cantik)."
Justeru, apakah "nama Islam" yang Datuk Mustafa dan saudara Abd Rahim maksudkan? Adakah nama Lim Jui Soon, contohnya, tidak diiktiraf oleh Islam? Dimanakah ukuran atau ketetapan yang menetapkan itu bukan "nama Islam" dan perlu diletakkan Ahmad di hadapannya terlebih dahulu? Bagaimana pula dengan nama Awang, Mek, Nik, Putih, Comel dan sebagainya yang bukan dari bahasa Arab pun, tapi tidak diminta untuk diubah kepada "nama Islam"?
Jadi, jelaslah di sini, kita telah "memelayukan" Islam dan tidak perlulah kita salahkan orang lain yang beranggapan bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu. Hal ini perlu diubah supaya sedikit sebanyak ia dapat memurnikan tanggapan orang bukan Islam terhadap Islam.
