Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Protes Nik Nazmi Nik Ahmad bagi pihak Anwar Ibrahim dalam suratnya bertajuk Kerajaan teruskan budaya takut di LSE dan Cambridge adalah terlalu simplistik dan tidak berasaskan kepada realiti kehidupan pelajar Malaysia, khususnya pelajar tajaan, di United Kingdom.

Nik Nazmi hanya menyalahkan pihak Jabatan Penuntut Malaysia yang kononnya mengugut pelajar supaya jangan menganjur atau menghadiri program Anwar. Bagaimana pun, hakikat sebenarnya ialah kebanyakan pelajar tidak perlu diugut, malah memang tidak berminat untuk mengambil tahu tentang politik negara.

Pemimpin pelajar Malaysia di United Kingdom kebanyakannya telah pun 'dibeli' dengan tajaan-tajaan lumayan untuk program 'glamour' penuh publisiti yang diberikan oleh pihak korporat, khususnya GLC. Oleh itu, mereka sangat berhati-hati dalam menghadiri program anjuran pembangkang kerana bimbang 'periuk nasi' mereka tergugat.

Pandangan mereka ini adalah reflektif terhadap sikap kebanyakan golongan elit dan menengah atas di Malaysia yang rata-rata takut untuk terlibat secara aktif dalam protes-protes dan kritikan (walaupun membina) kerana hidup dalam suasana 'self-censorship' yang mengongkong.

Suasana takut ini sebenarnya diasaskan oleh Anwar sendiri sewaktu beliau berkuasa dahulu. Semasa Anwar menjadi Menteri Pelajaran (dahulu Menteri Pendidikan) beliau melantik sahabat dekatnya untuk menjadi pentadbir di Jabatan Penuntut Malaysia dan juga di universiti-universiti tempatan. Mereka ini mengugut pelajar jangan memberi ruang kepada pembangkang.

Semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, para lantikannya di Jabatan Penuntut Malaysia bukan sahaja menghalang pelajar daripada menganjur dan menghadiri majlis oleh pihak pembangkang (seperti Fadzil Noor, Hadi Awang, Mustafa Ali, Muhammad Sabu, Lim Guan Eng dan sebagainya) tetapi juga menggantung biasiswa mereka yang engkar.

Mungkin Nik Nazmi terlalu muda, tetapi sewaktu Anwar melawat London sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1997, pelajar yang menghadiri majlis beliau di Dewan Malaysia disaring terlebih dahulu oleh Jabatan Penuntut Malaysia dan hanya soalan tertentu (yang tidak begitu kritikal) diizinkasn untuk ditanya kepada beliau.

Sekarang apabila Anwar berada di barisan pembangkang, masalah yang sama datang menghantui beliau. Tetapi Anwar jangan lupa bibit-bibit negatif ini disemai oleh dirinya sendiri sewaktu berkuasa dahulu.

Jangan lupa bahawa Anwar adalah seorang ahli politik. Setiap majlisnya bertujuan untuk menimba pengaruh dan sokongan politik. Pihak kerajaan yang telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menaja pelajar-pelajar, khususnya bumiputera, ke United Kingdom tentu tidak mahu Anwar mempengaruhi mereka dan melupakan tujuan asal mereka dihantar ke sana.

Pelajar-pelajar harus memberikan tumpuan pada pengajian masing-masing dan balik ke tanah air sebagai teknokrat yang berguna. Ceramah-ceramah Anwar hanya akan mempengarahui mereka supaya menyertai pembangkang dan melanggar syarat perkhidmatan yang telah dijanjikan dengan para penaja. Tentunya kerugian berjuta ringgit itu tidak ditanggung oleh Anwar atau partinya, tetapi oleh kerajaan dan penaja.

ADS