Saya merujuk kepada berita malaysiakini bertajuk Bad economy: Chinese may 'return' to China .
Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bertapak di bumi nyata sama sekali. Jika ini bukan kesempitan fikiran naif Dr Mahathir, maka ini merupakan satu kenyataan yang sengaja difaktakan.
Warga Malaysia keturunan Cina (WMKC) tidak ada negara asal selain daripada Malaysia seperti juga dengan orang Melayu. WMKC merujuk Malaysia sebagai satu-satunya tanah tumpah darah dan tanahair mereka. WMKC taat dan sayang pada Malaysia, tidak lebih, tidak kurang daripada orang Melayu atau orang India.
Malaysia bukannya semata-mata untuk mengaut keuntungan. Malaysia membawa nostalgia pahit manis WMKC, biarpun bagi rata-ratanya, nostalgia itu pahit lebih daripada manisnya, disebabkan dasar-dasar diskriminasi yang meminggirkan warga bukan bumiputera.
Tiada negara lain yang sama kedudukan seperti Malaysia bagi WMKC. Umpamanya, tatkala pasukan badminton Malaysia berentap dengan pasukan negara Cina, yang disokong WMKC adalah pasukan Malaysia, biarpun Lee Shong Wei ataupun Hafiz Hashim, tanpa berbelah-bagi.
Kenyataan Dr Mahathir hanya logik jika 'peniaga Cina' itu merujuk kepada warga asing yang merupakan warganegara Republik China. Bagi mereka sepertimana pelabur asing dari Indonesia, Thailand dan Eropah di mana ada keuntungan di situ mereka berada kerana Malaysia bukan negara mereka.
Mereka tidak ada tanggungjawab untuk melabur di sini, tetapi lain pula bagi WMKC. Malaysia bukan semata-matanya tempat pelaburan, tetapi WMKC menganggap Malaysia tanahair mereka dan juga tanah perkuburan di masa depan. Maka taat setia WMKC kepada Malaysia tidak berbelah-bagi seperti juga dengan orang Melayu.
Surat ini semata-mata untuk menyangkal pandangan serong dan bias sesetengah orang politik yang memang 'ada udang di sebalik batu'. Dengan ini, diharap hakikat yang sebenar dapat disampaikan kepada semua rakyat Malaysia, tidak kira Cina, Melayu, India, Kadazan dan lain-lain.
