Dominasi penggunaan bahasa Inggeris merangkumi segenap aspek kehidupan kita, dari seawal kehidupan murid sekolah rendah sehinggalah sebagai antara syarat penting untuk memohon pekerjaan, baik di sektor awam atau swasta.
Cadangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kepada modul pembelajaraan di taman bimbingan dan kanak-kanak (Tabika) Kemas memerlukan kajian dan perbincangan tuntas, terutamanya dengan melibatkan golongan akademik serta pakar kanak-kanak.
Kementerian itu juga harus jelas tentang penetapan skala pencapaian rancangan tersebut serta kaedah terbaik perlaksanaan modul pembelajaran di dalam bahasa Inggeris serta sejauhmana keberkesanannya. Usaha yang telah dimulakan seperti mempersiap 800 guru Kemas untuk mengikuti latihan khusus dibeberapa institusi latihan perguruan di seluruh negara, jelas menunjukan keseriusan kementerian itu untuk melaksanakan cadangan tersebut.
Namun apa yang perlu diambil kira ialah penyediaan suasana persekitaran yang kondusif untuk mewujudkan suasana pembelajaran dalam bahasa Inggeris yang lebih berkesan. Dr Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak di Universiti Perguruan Sultan Idris, menerangkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak pada usia awal, boleh dilaksanakan.
Ini kerana dari sudut biologi, kanak-kanak seusia dua tahun sudah dikurniakan kemahiran mengesan perbezaan bahasa yang dituturkan oleh ibu-bapa mereka. Namun, untuk memastikan penguasaan bahasa Inggeris yang mapan diperingkat awal usia, maka harus diwujudkan persekitaran yang menggalakkan kepada komunikasi bahasa berkenaan di rumah mahupun di sekolah, bagi membantu mereka mencapai matlamatnya.
Selain itu, sikap menggunakan bahasa rojak ataupun campuran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, juga menyumbang kepada kegagalan penguasaan serta kefahaman kanak-kanak terhadap bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
Dalam hal ini, kesediaan serta sikap guru untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, harus dinilai serta diperkasakan. Namun satu perkara yang harus difikirkan bersama ialah bagaimana kedudukan bahasa Melayu selepas perlaksanaan modul pembelajaran tersebut.
Apakah generasi pada masa depan akan berhadapan pelbagai masalah untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu? Bagaimana pula dengan soal budaya dan jatidiri anak-anank Melayu? Apakah ianya akan turut terhakis apabila penguasaan bahasa Inggeris diutamakan seawal waktu pembelajaran di Tabika?
Persoalan sedemikian harus diambil kira oleh kementerian sebelum melaksanankan cadangan tersebut. Latar belakang keluarga kanak-kanak terbabit, seperti yang tinggal di luar bandar dan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, juga wajar untuk diambilkira bagi mengenalpasti kaedah terbaik untuk menguasai bahasa Inggeris bagi kanak-kanak terbabit.
Perkara sedemikian wajar diberikan pertimbangan, kerana peranan ibu-bapa juga amat penting dalam membentuk kefahaman anak-anak mereka tentang apa yang diajar di sekolah. Modul pembelajaraan sedia ada, juga perlu untuk diperkasakan.
Pendidikan yang tertumpu kepada perkara-perkara asas ke arah penguasaan kemahiran 3M membaca, menulis dan mengira yang dijalankan dalam suasana yang menyeronokan, bersesuaian dengan fitrah usia mereka harus disemarakan perlaksanaannya.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berpandangan bahawa persediaan sewajarnya harus dirangka dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan sepenuhnya konsep Tabika Cemerlang yang menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di seluruh negara menjelang 2010.
Konsep Tabika Cemerlang ini juga tidak harus sampai membebankan kanak-kanak terbabit dalam urusan pembelajaran kerana pada peringkat awal usia, kefahaman menyeluruh terhadap apa yang diajar, cetusan rasa ingin tahu terhadap apa yang diajar, serta galakan kreativiti dalam membentuk minda kreatif kanak-kanak, perlu untuk diutamakan.
PKPIM juga menggesa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memastikan cadangan tersebut tidak sampai menjejaskan penguasaan kanak-kanak tersebut di dalam bahasa kebangsaan.
Penulis adalah Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
