Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Setelah meneliti Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan Malaysia diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Pemuda Sosialis ingin mengutarakan beberapa pandangan, khususnya mengenai anak muda.

Haluan ekonomi kerajaan ini jelas kelihatan masih bergantung besar kepada pihak kapitalis dengan kebanyakan insentif dan pelaburan diberi kepada perniagaan swasta.

Kepercayaan yang diberi ini masih mendedahkan pekerja kita kepada mana-mana keputusan yang difikir wajar oleh pihak swasta untuk kepentingan mereka sendiri.

Sebagai contoh, pekerja kita masih terdedah kepada kehilangan pekerjaan pada zaman krisis seperti pandemik Covid-19, tekanan majikan yang ingin membayar gaji yang lebih rendah serta kebebasan bersuara terkekang akibat kuasa yang lebih tertumpu kepada pihak majikan.

Pemberian insentif untuk menggaji rakyat miskin, golongan OKU serta ibu-ibu yang ingin kembali bekerja juga kelihatan seolah-olah menormalisasikan diskriminasi terhadap mereka. Dilihat kerajaan kini masih mempunyai mentaliti sama seperti kerajaan-kerajaan lepas berpaksikan kapitalisme yang menjadi sebab kesengsaraan rakyat.

Isu struktur

Tumpuan kepada ekonomi gig dalam belanjawan ini berpotensi mengembangkannya juga. Pekerja dalam sektor ini antara yang paling ditindas dengan gaji tidak tetap serta kekurangan hak yang wujud dalam sektor lain. Kerajaan Malaysia harus membawa perubahan kepada Akta Kerja supaya pekerja-pekerja sektor ini terbela secepat mungkin.

Cubaan menumpu kepada ekonomi setempat serta sektor pertanian dihargai tetapi pendekatan bertumpu kepada perniagaan terlalu simplistik dan tidak menggugat isu-isu struktur yang wujud.

Rancangan kerajaan yang dapat memanfaatkan rakyat biasa patut komprehensif dan meminimumkan cabaran luaran daripada pihak kapitalis melalui penglibatan kerajaan sendiri.

Pemuda Sosialis sejak beberapa tahun yang lepas telah bercadang suatu Skim Jaminan Kerja dimulakan supaya setiap orang yang ingin bekerja dijamin akan diberi sesuatu pekerjaan oleh kerajaan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak swasta yang jelas menindas pekerja.

Ini dapat dilakukan dalam pelbagai sektor, seperti pekerjaan sosial, penjagaan warga emas serta kanak-kanak, penyelidikan, sektor hijau dan pertanian yang menjadi tumpuan kami juga. Model ini memberi jaminan kepada semua yang tiada pekerjaan bahawa mereka akan ada mata pencarian yang tidak tergugat oleh mana-mana pihak swasta.

Pada masa yang sama, suatu tandingan konsisten terhadap pihak swasta dapat diwujudkan atas sebab mereka tidak lagi dapat mengambil kesempatan daripada orang ramai yang tiada pekerjaan untuk menawarkan gaji dan faedah pekerjaan yang rendah.

Jika syarikat swasta inginkan pekerja, mereka perlu meningkatkan tawaran lebih lumayan daripada yang ditawarkan kerajaan sendiri melalui Skim Jaminan Kerja.

Beban hutang anak muda

Pemuda Sosialis amat kecewa bahawa kerajaan ini tidak melaksanakan pengampunan hutang pinjaman PTPTN.

Anak muda kini terbeban oleh pelbagai jenis hutang seperti pinjaman PTPTN dan PTPK berkait dengan pendidikan, pinjaman sewa beli untuk kenderaan dan hutang ibu bapa yang kini menjadi tanggungjawab mereka

Pemuda Sosialis percaya bahawa segala jenis pendidikan harus percuma, dari pra-sekolah hingga pendidikan tertiari. Atas sebab ini, Pemuda Sosialis bercadang pemansuhan hutang PTPTN dan PTPK patut dilaksanakan serta merta supaya perkembangan anak muda tidak terjejas akibatnya

Pendekatan simplistik kerajaan ini bukan hanya melibatkan ekonomi, malah langkah-langkah memupuk keharmonian dan perpaduan juga.

Aktiviti-aktiviti yang disyorkan seperti liga sukan, pertandingan kebudayaan dan gotong-royong , walaupun berpotensi mewujudkan hubungan baik, permasalahan antara komuniti dalam negara ini memerlukan usaha yang lebih besar.

Antara persoalan yang perlu ditangani adalah posisi orang Melayu berbanding komuniti lain, kebebasan beragama, diskriminasi antara kaum dalam pekerjaan, perumahan dan sewa beli serta punca dan cara menangani jurang ekonomi antara kaum. Rancangan sedia ada, terutamanya dalam Belanjawan 2023, tidak memadai.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2023 tidak begitu lain daripada belanjawan-belanjawan sebelumnya. Idea-idea lapuk masih diagungkan walaupun adanya ura-ura pendekatan yang lebih progresif. Cukai barangan mewah dan kajian terhadap cukai keuntungan modal dipuji tetapi rakyat marhaen mengharapkan lebih daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


ARVEENT KATHIRTCHELVAN merupakan ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS