Apabila tumbangnya kerajaan Turki Uthmaniyyah sebagai kuasa besar umat Islam, kuasa-kuasa Barat mula mengalih pandangan mereka kepada Kepulauan Melayu sebagai kuasa Islam yang ada potensi untuk mengembalikan kekuatan Islam.
Namun, kekuatan itu telah cuba dilemahkan dengan pelbagai cara melalui penjajahan dan neo-kolonialisme yang masih berlangsung sehingga sekarang.
Dalam sejarah kesultanan Melayu, telah menjadi kefahaman umum bahawa Raja atau Sultan Melayu menjadi pelindung kepada ajaran Islam. Bahkan, fahaman itu memang sedia terwujud menjadi bahan fikiran penjajah sekalipun.
Lantaran itulah, dicatatkan bahawa residen British tidak mencampuri hal ehwal istiadat dan agama Islam, kerana hal yang demikian berada di bawah kuasa raja-raja Melayu.
Sehinggalah merdeka, fahaman umum itu tercatat dalam perlembagaan dan perundangan seperti yang digubal oleh Lord Reid yang bertanggungjawab menyusun perlembagaan negara. Maka, fahaman penjajah British dan fahaman umum masyarakat Melayu bahawa Islam berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu, tiadalah khilaf lagi.
Mungkin ramai di kalangan kita masih teringat pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan kehadiran pembangkang vokal dalam Parlimen. Pada ketika itu, timbul ketakutan yang mendadak dalam kalangan pimpinan Umno-BN.
Tidak dinafikan bahawa suara pembangkang yang ketara jelas lantangnya adalah di kalangan Islamis sendiri, iaitu parti PAS. Lalu, telah wujud cadangan dalam Parlimen, iaitu menggugurkan nama dan istilah Islam dalam mana-mana organisasi yang berorientasikan Islam.
Langkah ini diambil, kononnya untuk menutup ruang ke atas pihak tertentu yang mempergunakan nama Islam sehingga mengelirukan pandangan orang awam terhadap Islam itu sendiri.
Walaupun syor itu mendatangkan kesan ke atas agensi-agensi kerajaan sendiri seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tiada kepentingan politik, tetapi ramai pihak menjangkakan syor dan cadangan yang dibangkitkan itu, sebenarnya adalah untuk menamatkan riwayat PAS itu sendiri.
Maka, sudah tentulah antara wakil pembangkang yang aktif mempertahankan nama Islam daripada digugurkan dalam organisasi berorientasikan Islam itu adalah wakil PAS sendiri.
Konflik itu akhirnya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagai lembaga yang berkuasa penuh ke atas hal-ehwal Islam. Dalam tempoh itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpuasa nazar dan berdoa supaya nama Islam tidak digugurkan daripada mana-mana organisasi yang berorientasikan Islam.
Akhirnya, Majlis Raja-Raja Melayu memutuskan bahawa penggunaan istilah Islam dibenarkan dengan syarat, penggunaan istilah Islam itu tidak mendatangkan kekeliruan ke atas masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Berbalik kepada hal istilah Islam Hadhari yang menyaksikan penokokan istilah hadhari di akhir Islam, maka ia wajib mendapat 'restu' kelulusan daripada Majlis Raja-Raja Melayu. Ia adalah lojik yang terpakai dan boleh diterima oleh semua pihak.
Iaitu, kalau hal menggugurkan istilah Islam dalam konteks Malaysia perlukan kelulusan restu Majlis Raja-Raja Melayu, maka tidakkah penambahan istilah 'hadhari' patut mendapatkan restu dan kelulusan Sultan Melayu juga, walaupun kita tidak mendapatkan restu daripada Allah!
